Minda Hijrah Headline Animator

Monday, March 18, 2013

[Pakatan Koyak Rabak] PRU13: Hindraf nekad tentang Pakatan DAP, PAS & PKR

"Itu Pakatan sudah kencing sama HINDRAF"


Antarapos.com - Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf) bertekad meletakkan calonnya untuk bertanding di kerusi Parlimen Kota Raja dan kerusi negeri Seri Andalas pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) nanti.

Kedua-dua kerusi berkenaan kini disandang oleh Dr Siti Mariah Mohamud dan Dr Xavier Jayakumar dari PKR.

Menurut pemimpin utama Hindraf, P Uthayakumar, keputusan itu dibuat selepas kedua-dua parti Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat didakwa gagal mempersetujui pelan tindakan lima tahun Hindraf yang disifatkan sebagai tawaran 'praktikal dan komprehensif' bagi membasmi kemiskinan rakyat India di negara ini.

Beliau turut mengakui bahawa Hindraf telah berputus asa dengan kerajaan BN yang didakwa gagal mempertingkatkan sosio-ekonomi kaum itu, dan begitu juga dengan Pakatan Rakyat melalui manifesto yang dibentangkan baru-baru ini.

“Jadi kami sudah berputus asa dengan kerajaan BN dan walaupun menaruh harapan kepada kerajaan Pakatan, tetapi kami hanya nampak sedikit sahaja perbezaan berbanding kerajaan BN.

“Jika Pakatan memberi laluan, kita sanggup bertanding di atas tiket Pakatan. Tapi jika Pakatan tidak memberi laluan kepada kita di Kota Raja dan juga di Seri Andalas, kami terpaksa bertanding sebagai calon bebas,” kata beliau kepada Antarapos.

Ini merupakan penampilan kali pertama kumpulan hak asasi India itu dalam pilihan raya sekiranya mereka meletakkan calon bebas untuk bertanding tiga penjuru menentang BN dan Pakatan.

Pada Oktober 2008 Hindraf pernah diisytiharkan sebagai pertubuhan haram oleh kerajaan apabila mendapati pertubuhan itu bertentangan dengan Akta Pertubuhan 1966 (Akta 335) dan boleh memudaratkan ketenteraman awam, keamanan, keselamatan, ketertiban dan nilai-nilai moral di Malaysia.

Hindraf berjaya mengumpulkan lebih 30,000 orang India untuk turun ke Kuala Lumpur pada 25 November 2007 dalam satu demonstrasi bagi memperjuangkan nasib masyarakat India yang didakwa terpinggir di Malaysia.

"Berdasarkan kuasa di bawah Sekyen 5(1) dan Akta Pertubuhan 1966 (Akta 335), diisytiharkan Hindraf adalah sebuah pertubuhan yang menyalahi undang-undang," kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar pada ketika itu.

Namun pada Januari tahun ini, Kementerian Dalam Negeri menarik semula pengharaman pertubuhan itu yang diumumkan melalui satu surat kepada Pengerusi Hindraf, P Waythamoorthy.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam satu kenyataan semalam berkata kerajaan BN mempunyai beberapa rancangan untuk mempertingkatkan standard pembelajaran dan ekonomi komuniti India.

Beliau berkata kelas pra-sekolah akan diperkenalkan di sekolah jenis Tamil, selain menambah bilangan pelajar India ke institusi pengajian tinggi dan kakitangan kerajaan.

Najib turut memperuntukkan sejumlah RM300,000 kepada PIBG Sekolah Jenis Kebangsaan Methodis Kapar, menyelesaikan masalah perumahan di estet Bukit Raja dan membina 'Little India' di Tengku Kelana sekiranya BN kembali memerintah di Selangor.

No comments:

Post a Comment