Minda Hijrah Headline Animator

Tuesday, February 12, 2013

Tuding Jari Sikap Buruk MB Selangor, Khalid Ibrahim




Kelemahan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang paling jelas adalah sikapnya yang gemar menuding jari kepada pihak lain, kata Pengerusi Gabungan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS), Hamidzun Khairuddin.
 
Beliau berkata sejak memerintah Selangor, Khalid seringkali meletakkan kesalahan dan tanggungjawab ke atas bahu pihak ketiga walaupun sesuatu perkara itu dalam lingkungan kuasanya sebagai ketua negeri.
 
"Ini adalah kelemahan Menteri Besar, yang gagal menunjukkan mutu kepimpinan yang baik dan akhirnya memberikan kekeliruan terhadap pelbagai pihak,".
 
"Tindakan menyalahkan pihak lain, adalah menunjukkan betapa MB sentiasa menutup kelemahan dirinya, setelah hampir lima tahun beliau menjadi MB apa yang ditunjukkan di sini beliau gagal mentadbir negeri Selangor," katanya. 
 
Hamidzun berkata demikian mengulas tindakan terbaru Khalid yang menuding jari kepada Majlis Perbandaran Selayang (MPS) bersabit isu kontroversi, pembatalan projek pembinaan kondominium 29 tingkat oleh syarikat pemaju Dolomite Properties Sdn Bhd.
 
Khalid sebelum ini mengumumkan projek itu dibatalkan selepas hanya sekali sahaja jawatankuasa bebas pembangunan Batu Caves bersidang.

 
Selepas membatalkan projek itu, Khalid berkata Dolomite harus mendapatkan penjelasan daripada MPS mengenai rasional pembatalan projek kondominium itu bagi membolehkan kerajaan negeri membuat tindakan susulan.
 
“Pihak berkuasa Selayang membekukan pembangunan atas dasar beberapa perkara yang belum dapat dipenuhi oleh syarikat tersebut,” kata Khalid kepadaAntarapos
 
“Saya mencadangkan pihak berkuasa tempatan Selayang supaya mengemukakan perkara-perkara yang mana permohonan Dolomite dan perkara-perkara yang sepatutnya Dolomite lakukan sebelum perancangan pembinaan dilakukan,” tambah beliau.
 
Namun MPS ketika dihubungi Antarapos minggu lalu berkata belum mendapat apa-apa 'arahan' daripada kerajaan negeri sebelum berdepan dengan Dolomite.
 
Pengarah urusan Dolomite, Lew Choong Keong sebelum ini memberitahu pihaknya sehingga kini masih belum diberitahu pihak berkuasa mengenai pembatalan projek itu kecuali melalui laporan media semata-mata.
 
Sebelum isu Dolomite, Khalid dilihat berkali-kali melepaskan diri dan meletakkan bebanan kesalahan di tangan pihak lain umpamanya, isu bekalan air di Selangor, beliau menyalahkan SYABAS.
 
Khalid juga menuding jari kepada Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) bersabit dakwaan yuran Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS) mahal, walaupun beliau adalah pengerusi lembaga pengarah KUIS.
 
Khalid juga menyalahkan Majlis Perbandaran Sepang (MPSp) bersabit perobohan sebuah altar di Sepang pada November tahun lalu, walaupun pihak berkuasa tempatan itu di bawah kuasanya sebagai ketua kerajaan negeri.
 
Mengulas lanjut, Hamidzun berkata sikap buruk Khalid itu menyebabkan Selangor kerugian begitu banyak pembangunan mapan sejak tahun 2008.
 
"Saya yakin bahawa dalam tempoh lima tahun beliau menjadi menteri besar, ini kelemahannya yang nyata dan ini adalah  yang amat rugi dalam lima tahun ini.
 
"Yang mana pelbagai polemik dan politik yang membantutkan negeri Selangor," tegasnya.

No comments:

Post a Comment