Minda Hijrah Headline Animator

Wednesday, January 9, 2013

Amaran Sonamu ditarik balik

Majlis Keselamatan Negara (MKN) semalam mengumumkan ribut Sonamu tidak dijangka melanda negeri-negeri di pantai timur Semenanjung Malaysia.

Berdasarkan maklumat terkini yang dibekalkan Jabatan Meteorologi, majlis itu berkata, amaran hujan lebat dan angin kencang ditarik balik pada 8.35 malam, Isnin.

Bagaimanapun MKN masih memantau perkembangan di Terengganu, Pahang dan Kelantan.

"Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada terhadap kemungkinan angin kencang dan laut bergelora di sepanjang pantai," katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi, Che Gayah Ismail berkata,sebarang aktiviti perikanan perlu dihentikan kerana angin kencang yang mencecah sehingga 60km/j akan menyebabkan laut bergelora.

"Orang ramai jangan panik kerana ribut ini tidak akan melanda semenanjung hanya menyebabkan laut bergelora.

"Kami menggesa orang ramai agar hanya mendengar maklumat yang tepat dari Jabatan Meteorologi atau dari MKN," katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Laman web Jabatan Meteorologi semalam mengeluarkan amaran angin kencang dan luat bergelora, yang dikesan akan berterusan sehingga Jumaat ini di kawasan perairan Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor Timur.

Selain itu, kawasan pantai di negeri-negeri terbabit juga terdedah kepada kejadian kenaikan paras air laut.

Keadaan angin kencang dan laut bergelora ini berbahaya kepada semua aktiviti pantai dan perkapalan termasuk pekerja di pelantar minyak.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat yang sahih dari Jabatan Meteorologi melalui laman web atau menghubungi talian 24 jam 03-79678116.

No comments:

Post a Comment