Minda Hijrah Headline Animator

Sunday, November 18, 2012

[Tolak Anwar Ibrahim] Muslimat, Ulama Pas hanya mahu Hadi jadi PM

Susulan syor perwakilan Muktamar Tahunan Pas ke-58 semalam, Dewan Muslimat dan Dewan Ulama hari ini melahirkan pendirian pihaknya hanya mahu Datuk Seri Abdul Hadi Awang menjadi Perdana Menteri jika Pakatan Rakyat (PR) mengambil alih Kerajaan Pusat.

Dewan Muslimat Pas Pusat menerusi Ketua Penerangannya, Aiman Athirah Al Jundi mengetengahkan pendirian itu ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Muktamar Tahunan Pas ke-58 hari ini.Namun kata Athirah, bunyinya memang lunak untuk menjadikan presiden mereka sebagai tonggak, tetapi ia harus dibuktikan dahulu menerusi kerja kuat yang diterjemahkan dengan kemenangan sekurang-kurangnya 60 kerusi Parlimen pada pilihan raya akan datang.

"Kemenangan itu tidak akan dicapai apabila kita bercakap kita akan menang, tidak juga melalui cabar-mencabar atau desak-mendesak agar kita menjadi ketua.

"Apabila kita mahu pemimpin kita Datuk Seri Tuan Guru Presiden yang dikasihi diangkat menjadi Perdana Menteri yang ketujuh maka wajib, kita berusaha sehabis mungkin untuk memastikan semua kerusi Parlimen dalam pilihan raya umum akan datang kita sapu," katanya sambil disambut sorakan para perwakilan.

Sementara itu, Naib Ketua Dewan Ulama Pas Pusat, Datuk Dr Mahfodz Mohamed berkata, tidak ada sebab untuk presiden parti itu tidak dilantik sebagai Perdana Menteri jika Pas berjaya menyumbang kerusi paling banyak pada PRU akan datang.

"Jadi lepas ini, jangan ada yang mempromosikan orang lain, kita sebulat suara mahu Hadi jadi PM," ujarnya yang disokong sebulat suara oleh seluruh perwakilan.

Semalam wakil Dewan Ulama Pas Pusat, Hairun Nizam Mat Hussain menyatakan hasrat sayap parti itu agar Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia, dan bukannya dari parti komponen Pakatan Rakyat, jika menang PRU.

Beliau yang ditemui Sinar Harian selepas itu mengulangi pendirian bahawa beliau yakin sebahagian besar ahli Pas mengharapkan Abdul Hadi yang menerajui Malaysia pada masa akan datang.

"Saya kira kalau rata-rata ahli Pas mahukan presiden (Abdul Hadi) sendiri jadi Perdana Menteri, tetapi tuan guru dia mempunyai sikap yang baik iaitu dalam masalah memimpin masyarakat itu yang terbaik adalah pelaksanaan amanah, siapa yang hendak menjadi yang paling tinggi, ia terserah kepada rakyat," katanya.

Malah Hairun semalam berkata, tidak sepatutnya parti itu berkempen untuk orang lain yang menjadi Perdana Menteri.

"Bukan sebagai alasan untuk menaik-naikkan beliau, tetapi beliaulah orang yang lain layak untuk menjadi pemimpin, Perdana Menteri pada masa akan datang dan kita sebagai anak didik kepada Pas, tidak sepatutnya, kita pula yang berkempen agar orang lain menjadi pemimpin sedangkan negara yang ingin dibawa adalah negara yang berdasarkan syariat.

"Kita meletakkan satu keyakinan bahawa presiden kita orang yang berkaliber untuk memimpin sebuah negara...," katanya.

Kenyataan itu dilihat bercanggah dengan beberapa pandangan sebelum ini yang menyatakan bahawa Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan individu paling layak untuk menjadi Perdana Menteri.

Abdul Hadi ketika diminta mengulas perkata itu berkata beliau lebih rela menjadi khadam.

3 comments:

  1. Cadangan ini pun sama macam hudud yang di canang-canang tu juga. Hanya retorik nak mendapatkan sokongan undi belaka. Ni semua kena dapatkan persetujuan DAP dan PKR. Di jamin 200% tak akan berjaya juga. Sama lah dengan cadangan nak Haji Hadi jadi PM. Ini hanya momok dan retorik untuk mendapatkan sokongan undi belaka. Balik-balik "kosong, kosong, kosong". Sebiji rupa bulan yang kosong tu.

    ReplyDelete
  2. Hadi kata dia lebih rela jadi khadam. Khadam siapa agaknya?

    ReplyDelete