Pengamal paranormal Syed Abdullah Hussein Al-Attas atau lebih dikenali sebagai Uncle Seekers dipercayai ditahan polis malam tadi berhubung penyiaran artikel dalam blognya minggu lalu, yang dikatakan berunsur provokasi, hasutan dan mengaibkan Sultan Johor.
Sinar Harian Online difahamkan beliau ditahan di Senawang, Negeri Sembilan kira-kira jam 10 malam sebelum dibawa ke Nusajaya, Johor.
"Saya difahamkan dia ditahan malam tadi. Orang beritahu saya dia ditahan. Saya belum dapat pengesahan. Dia pun belum hubungi saya," kata bapanya, Syed Hussein Alattas atau lebih dikenali dengan gelaran Pak Habib ketika dihubungi sebentar tadi.
Berdasarkan laporan media 1 Julai lalu, 30 individu membuat laporan polis terhadap Uncle Seekers berhubung penyiaran artikel dalam blognya yang dikatakan berunsur provokasi, hasutan dan mengaibkan Sultan Johor.
Laporan polis dibuat di Balai Polis Sentral, Johor Bahru bagi memohon pihak berkuasa menjalankan siasatan terhadap blog uncleseekers.blogspot.com yang turut berunsur mengaibkan Tunku Mahkota Johor, pemimpin dan penjawat awam kerajaan Johor.
Wakil kesemua individu berkenaan, seorang peniaga, Khairil Azlishah Jalil, 32, ketika ditemui pemberita berkata, pihaknya meminta blog berkenaan ditutup memandangkan terdapat dokumen-dokumen sulit yang dipaparkan pada blog tersebut.
"Sebagai rakyat Johor yang taat setia kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor Sultan Ibrahim dan kerajaan berperlembagaan, kami tidak puas hati dengan dakwaan-dakwaan serta hasutan yang boleh memecah belahkan rakyat Johor dan kesejahteraan negeri ini," katanya.
Sumber: Sinar Harian
No comments:
Post a Comment