Minda Hijrah Headline Animator

Monday, June 25, 2012

Tun Mahathir: Tidak perlu guling kerajaan ala 'Arab Spring'

Usaha menjatuhkan kerajaan ala 'Arab Spring' tidak seharusnya berlaku di negara ini, kerana Malaysia jelas mempunyai sistem demokrasi lebih baik berbanding negara Timur Tengah.

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, jika perbandingan demokrasi antara Malaysia dan negara Arab dibuat, jelas membuktikan negara mendahulukan kepentingan rakyat dalam setiap perkara.

 "Arab Spring ini adalah pemberontakan rakyat menjatuhkan kerajaan di negara tersebut, jika kita bandingkan negara-negara Arab ini, mereka tidak pernah demokratik, dan pemimpin mereka menerajui negara untuk kepentingan diri dan tidak memberi keutamaan kepada rakyat.

 "Rakyat semakin menderita, kadar peratusan kemiskinan meningkat, malahan ada lulusan universiti tidak mendapat pekerjaan yang seterusnya menjadi punca rakyat memberontak," katanya ketika menjawab soalan pada Majlis  Bicara Bersama Negarawan bertajuk 'Komitmen Graduan Pemangkin Kemajuan Negara', di Auditorium Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), hari ini.
 
Antara yang hadir pada majlis itu ialah Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Abu Zahar Ujang, Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas, Datuk Fuad Tan Sri Hassan dan Dekan Fakulti Perubatan yang juga Pengarah Pusat Perubatan UKM Prof Datuk Dr Raymond Azman Ali.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata, 'Arab Spring' mendedahkan pemerintah negara tidak demoratik, memerintah secara autokratik hingga menyebabkan rakyat menjatuhkan kerajaan.
 
"Kita di sini ingin 'Arab Spring' tapi soalnya adakah kerajaan terlalu zalim? Adakah kerajaan tidak beri perhatian kepada nasib rakyat, tidak membangunkan dan memajukan negara?
 
"Kita buat perbandingan dengan negara Arab yang agak berlainan dengan Malaysia, justeru tidak perlu untuk kita bertindak di luar undang-undang untuk menjatuhkan kerajaan," katanya.
 
Dr Mahathir berkata seharusnya rakyat sedar, usaha menjatuhkan kerajaan adalah agenda pihak yang tidak yakin akan kemampuan untuk memenangi pilihan raya.

"Saya faham perasaan mereka yang tidak dapat menjadi kerajaan, mereka berfikir jika bertindak secara 'Arab Spring' dapat menjatuhkan kerajaan tanpa bergantung kepada proses pilihan raya," katanya.
 
Beliau turut menasihatkan rakyat bahawa penilaian menggunakan akal fikiran yang waras perlu sebelum melakukan sesuatu tindakan.
 
Sementara itu, mengulas isu pergolakan yang berlaku dalam kepimpinan PKR, Selangor, Dr Mahathir berkata, PKR Selangor sebenarnya dipimpin oleh seorang yang kurang berkemampuan.

 "Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebenarnya orang Umno, dan memilih parti lawan kerana kecewa tidak mendapat sesuatu, dia masuk parti lawan bukan sebab percaya kepada prinsip perjuangan, tetapi lebih kepada kerana kecewa.
 
"Dia ada sedikit kebolehan tentang pentadbiran tetapi tidak akan berjaya kerana dia bukan orang politik, tetapi masuk politik kerana kecewa," katanya.

Beliau berkata pergolakan tersebut sedikit sebanyak akan mengganggu perjalanan PKR Selangor, namun meminta Barisan Nasional (BN) untuk tidak terlalu gembira dengan situasi tersebut.

"Sedikit sebanyak pergolakan yang berlaku akan menjejaskan PKR, namun BN perlu terus berusaha mendapatkan kembali Selangor pada pilihan raya nanti, tak usaha pun tak boleh, dan jangan harap orang lemah saja untuk menang," katanya. - Bernama

No comments:

Post a Comment