Minda Hijrah Headline Animator

Monday, June 25, 2012

PKR Selangor Desak Faekah Husin Disiasat, Gantung Kerja

PKR Selangor mendesak Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim menggantung sementara Setiausaha Politiknya, Faekah Husin bagi menyiasat kebenaran dakwaan penyalahgunaan kuasa yang dilakukannya berhubung isu penggunaan kepala surat Pejabat Menteri Besar.

 

Perkara ini dinyatakan oleh Ketua Penerangan PKR Selangor, Shuhaimi Shafie dimana Pengerusi PKR Selangor diterajui oleh Azmin Ali, Timbalan Presiden PKR.

 

"Saya rasa adalah lebih baik digantung dulu tugas pegawai yang terlibat (Faekah) supaya siasatan dapat dilakukan. Untuk mengelakkan rasa tidak puas hati… saya berpandangan elok digantung dulu seperti kes-kes sebelum ini dan tindakan itu dilihat jauh lebih konsisten.

 

"Jadi tidaklah nanti menjadi tuduhan-tuduhan besar, Menteri Besar melindungi Setiausha Politiknya," katanya kepada Antarapos.

 

Pada 21 Jun lalu, laman sel13.com mendedahkan dua dokumen berupa dua pucuk surat iaitu sepucuk surat dari firma guaman yang bernama Sidrek Zeenat Asyiqin & Associates kepada Faekah untuk memohon agar dilantik sebagai panel peguam kepada GLC negeri Selangor, manakala sepucuk surat lagi adalah dari Faekah Husin kepada Ketua Pegawai Eksekutif Permodalan Negeri Selangor Berhad, Dato' Haji Ahmad Bin Omar, menggunakan kepala surat Pejabat MB Selangor meminta agar firma guaman tersebut diberi peluang sebagai panel peguam PNSB.

 

"Permohonan itu dilakukan oleh salah seorang peguam yang menjadi rakan kongsi kepada firma berkenaan yang bernama Zeenat Asyiqin Binti Dato' Ahmad Zaki . Surat permohonan yang bertarikh 27 Jun 2011 itu dihantar melalui tangan dan diterima pada 28 Jun 2011 .

 

"Semakan yang kami lakukan , didapati Zeenat Asyiqin Binti Dato'Ahmad Zaki adalah anak saudara Faekah Husin. Anak kepada abang Faekah, Dato' Ahmad Zaki Husin yang kami difahamkan beliau adalah bekas Ketua Pengarah BPR satu masa dulu,"lapor sel13.com

 

Berdasarkan surat itu, Ketua Penerangan PKR Selangor meminta Khalid merujuk kepada perenggan terakhir surat yang ditulis oleh Faekah kepada Ketua Pegawai Eksekutif PNSB itu:

 

Perenggan itu berbunyi: "Pentadbiran ini (Tan Sri Abdul Khalid) juga berpandangan bahawa peluang HARUS diberikan (kepada syarikat Zeenat Asyiqin & Associates) selagi ia tidak menyalahi mana-mana peraturan syarikat."

 

Kata Shuhaimi ayat dalam perenggan itu tidak kena pada tempatnya kerana boleh diibaratkan sebagai cubaan mempengaruhi proses dalaman PNSB melantik panel guamannya.

 

"Cuma dalam para keempat (surat Faekah kepada PNSB), sepatutnya tidak harus wujud begitu. Dia sepatutnya terus mengatakan mesti tiada halangan meyokong tertakluk kepada syarat-syarat tertentu dan itu lebih lunak dan tidak mengganggu syarikat (PNSB)," kata Shuhaimi yang juga ADUN Sri Muda.

 

Katanya lagi Khalid juga harus dilihat konsisten dalam tindakannya, di mana dalam kes-kes sebelumnya, mana-mana kakitangan yang melakukan perkara yang sama seperti Faekah akan dikenakan tindakan.

 

"Kalau kita lihat seperti kes sebelum ini, maka adalah lebih baik kita konsisten dengan keputusan itu dan sewajarnya pegawai yang terlibat digantung daripada tugasnya untuk diadakan satu sisatan dalaman bagi membersihkan nama pegawai yang terlibat," katanya.

 

Pada tahun 2010, kerajaan negeri pimpinan Khalid memecat seorang Ahli Majlis Perbandaran Kelang kerana mengeluarkan surat sokongan kepada syarikat milik anaknya untuk mendapatkan kontrak pungutan sampah.

 

Sebelum itu, Khalid Ibrahim juga menggantung tugas Pegawai Khas beliau sendiri, Mohd Yahya Sahri kerana menyalahguna kepala surat Pejabat MB Selangor untuk tujuan mengutip derma dari syarikat swasta bagi sambutan 100 hari pemerintahan Pakatan Rakyat di Selangor.

 

Mohd Yahya Sahri juga dituduh menyalahguna kepala surat berkait dengan kelulusan kontrak pembersihan dan pelupusan sampah di kawasan Petaling Jaya. Beliau meletak jawatan pada Jun 2008.

 

Shuhaimi berkata Khalid harus konsisten dalam menangani isu penggunaan kepala surat Menteri Besar oleh Faekah demi mempertahankan kewibawaan kerajaan negeri.

 

Seorang lagi Exco Kerajaan Selangor, Iskandar Abdul Samad dari PAS turut menyokong gesaan PKR Selangor.

 

"MB sendiri perlu mempertimbangkan perkara ini. Bukan sahaja surat ini, malah jika ada surat-surat yang sebelum ini, (juga) perlu diteliti. Kenapa surat ini sahaja yang menjadi isu," katanya.

 

Iskandar berkata amalan mengeluarkan surat sokongan daripada pejabat Perdana Menteri tidak harus digalakkan.

 

"Seboleh-bolehnya tidak diteruskan. Surat ini tidak ada makna tetapi rakyat yang akan melihat perkara ini," katanya seperti dilaporkan Antarapos.

 

No comments:

Post a Comment