Minda Hijrah Headline Animator

Tuesday, April 3, 2012

Mansuh PTPTN Satu Idea Gila!!!

AYAT ini bukan penulis yang cakap, tapi terkeluar dari mulut seorang pemilik Kolej Universiti swasta terkemuka  di ibu negara bila membincangkan isu penghapusan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) jika Pakatan Rakyat mengambil alih Putrajaya nanti.

 

Asalnya penulis hairan juga, kenapa idea baik seperti ini dikatakan idea gila pula?  Terdorong dengan persoalan itu, penulis cuba dan akhirnya berjaya juga merapati individu tersebut bagi mendapatkan penjelasannya.

 

Menurut individu terbabit, PTPTN banyak membantu menggalakkan pelajar yang tidak mendapat peluang menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi di Insititut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) untuk menyambung pelajaran di peringkat Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS).

 

Walaupun jumlah pinjaman PTPTN tidak cukup untuk menampung keperluan pelajar di IPTS, tapi ia jauh lebih baik daripada pelajar terbabit menyambung pelajarannya ke luar negara yang menelan kos yang jauh lebih tinggi.

 

"Sekurang-kurangnya PTPTN dapat juga membantu untuk membayar yuran pengajian", kata individu itu lagi.

 

Katanya, ada besar kemungkinan penghapusan PTPTN juga akan menyekat golongan muda terutama yang berbangsa cina dari melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.  Pelajar cina memang diketahui sukar untuk mendapat tempat di IPTA, bukan kerana diskriminasi atau kuota tapi kerana gagal mendapat kepujian dalam Bahasa Melayu di peringkat SPM yang menjadi antara pra-syarat utama kemasukan ke IPTA.

 

Pendek kata, PTPTN memang penting untuk lebih ramai generasi muda mendapatkan pendidikan di peringkat tertinggi dan dalam masa yang sama menyuburkan perniagaan dalam sektor pendidikan swasta di negara ini.

 

Menurut perkiraannya, tanpa PTPTN, lebih 90% kolej swasta sedia ada akan ditutup kerana kemorosotan jumlah pelajar yang tidak mampu untuk membayar yuran pengajian.  Keadaan ini juga boleh menyebabkan masalah pengangguran di kalangan pensyarah dan kakitangan sokongan IPTS sedia ada.

 

Nak berharap kepada pelajar asing semata-mata mungkin sukar kerana pelajar asing, terutama dari benua Afrika sudah terbukti membawa banyak masalah sosial di negara ini, disebalik tujuan asal untuk belajar.

 

Di akhir perbualan itu, individu terbabit mahu Pakatan Rakyat menjelaskan dengan lebih terperinci bagaimana untuk menyelesaikan semua pertikaian yang dibangkitkan dalam isu penghapusan PTPTN ini, bukan menumpukan kepada 'membeli' jiwa peminjam untuk mengundi Pakatan Rakyat.

 

"Jika tidak, Pakatan Rakyat akan menghadapi risiko kehilangan sokongan yang jauh lebih besar", katanya lagi sebelum mengakhiri perbualan singkat itu.

 

Secara peribadi penulis melihat soal penghapusan PTPTN ini agak terlalu awal untuk dibincangkan, apatah lagi kita masih menanti Datuk Seri Anwar mendedahkan pelan penuh penghapusannya.

 

Tapi setelah mendapat maklum balas ini, penulis melihat ada keperluan untuk Pakatan Rakyat melihat secara penuh implikasi yang mungkin timbul dari penghapusan PTPTN ini.

 

Selain dari tujuan asalnya untuk menarik undi golongan muda (itupun terhad kepada peminjam PTPTN sahaja).

 

Mungkin saranan Ahli Parlimen Balik Pulau, YB Yusmadi Yusof semalam agar PTPTN ini dirombak (bukan dimansuhkan terus), perlu diberi pertimbangan serius kerana ia kelihatan lebih praktikal dan boleh diterima semua pihak.

No comments:

Post a Comment