"Apa pun saya dengan rendah diri memohon agar kita semua hormati undang-undang," kata Annuar hari ini.
Rata-rata penyokong bola sepak kurang bersetuju dengan tindakan FAM, yang menganggap kritikan Annuar terhadap prestasi skuad kebangsaan baru-baru ini satu kesalahan besar dan bakal berdepan dengan hukuman berat.
Annuar yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan berdepan dua pertuduhan iaitu melanggar Artikel 88 di bawah Perlembagaan FAM di mana memberi kenyataan media tanpa kebenaran Presiden dan Setiausaha Agung serta memberi kenyataan bercanggah serta mempertikai keputusan Eksekutif FAM.
Annuar yang terharu dengan sokongan moral dari seluruh negara terutama peminatnya berharap semua pihak akan mengawal perasaan dalam setiap tindakan yang diambil.
"Saya mohon agar kita tidak menyerang FAM secara melulu dan menyentuh kemuliaan Duli Yang Maha Mulia, Tuanku (DYMM) sebagai Presiden FAM.
"Saya redha hadapi isu ini secara berdepan dan akan menurut segala peraturan," kata Annuar menerusi laman social Facebook beliau.
Kelmarin, penyokong The Red Warriors melahirkan rasa marah dengan tindakan FAM ke atas Annuar. Lebih 500 orang mengadakan perhimpunan secara aman di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu.
Perhimpunan itu bagi membantah tindakan badan induk bola sepak kebangsaan yang mahu menggantung Annuar ekoran kritikan beliau terhadap prestasi skuad kebangsaan baru-baru ini.
Annuar turut menambah, pendiriannya tidak akan goyah dalam apa jua keadaan demi kebenaran dan tanggungjawab yang beliau pikul, sebaliknya akan menghadapi kes ini dengan tenang sehingga menemui ke akar umbi masalah yang beliau fikir membelenggu FAM dan bola sepak negara.
Justeru, "janganlah kita memusuhi FAM kerana FAM adalah tanggungjawab semua."
Annuar baru-baru ini mengkritik secara terbuka prestasi skuad kebangsaan yang kurang meyakinkan dan ragu-ragu terhadap kemampuan Malaysia mempertahankan Piala Suzuki AFF November ini.
Berikutan itu, Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah menegur Annuar sambil menyifatkan tindakan bekas menteri Kabinet itu sebagai satu kesalahan amat besar.
Annuar akan bertemu Jawatankuasa Disiplin badan induk bola sepak negara, 4 April ini.
No comments:
Post a Comment