Minda Hijrah Headline Animator

Monday, April 2, 2012

Hapus PTPTN : Anwar LUPA masuk dalam Buku Jingga ?

PENULIS tertarik dengan strategi untuk menghapuskan hutang Perbadanan Tabung Pinjaman Tinggi Negara (PTPTN) yang disebutkan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam majlis Dialog Bersama Professional Muda semalam.

Anwar dilaporkan dalam program semalam memberikan masa 3 tahun dengan beberapa strategi penjimatan dari bajet tahunan negara sebanyak RM 150 billion untuk tujuan penghapusan hutang PTPTN, selain menggunakan hasil dari syarikat kerajaan yang membuat keuntungan tinggi seperti Petronas.

Maklum balas yang penulis terima berhubung dengan kenyataan ini amat positif sekali, rata-rata peminjam PTPTN yang penulis temui amat berharap dengan janji yang diberikan Anwar ini akan dilaksanakan sebaik Pakatan Rakyat mengambil tampuk pemerintahan negara nanti.

Ini dapat mengurangkan beban yang ditanggung mereka dalam menghadapi kos kehidupan yang semakin meningkat.

Tapi ada juga segelintir yang ragu-ragu dengan perlaksanaan janji tersebut kerana jumlah lebih RM 40 billion yang telah dikeluarkan kerajaan (melalui PTPTN) sejak 1997 untuk menampung dana pinjaman ini pada para peminjam amatlah besar untuk dibayar kembali dengan menggunakan wang rakyat.

Malah ada kelompok rakyat yang tidak mendapat manfaat langsung dari pinjaman PTPTN ini merasakan tidak adil sekali wang mereka digunakan untuk membayar kelebihan yang hanya dimiliki sesetangah kelompok yang lain.

Ada juga segelintir ibu bapa yang mahu tahu sama ada selepas hutang PTPTN ini dihapuskan, adakah mereka terpaksa membayar untuk pengajian anak masing-masing atau kerajaan Pakatan Rakyat akan menjanjikan kemudahan pendidikan percuma di peringkat Universiti seperti mana di sesetengah negara di barat.

Maaflah kalau penulis katakan, setelah dicampur semua yang 'segelintir' di atas, jumlahnya penulis rasa jauh lebih ramai dari yang gembira dengan janji untuk menghapuskan hutang PTPTN ini.

Semua ini persoalan yang timbul ini perlu diperjelaskan semula dalam bentuk pembentangan strategi penuh yang bakal diambil oleh Pakatan Rakyat untuk menghapuskan PTPTN ini.  Apatah lagi bila janji penghapusan PTPTN ini tidak disebutkan dalam buku Jingga yang menjadi satu-satunya dokumen rasmi yang menunjukkan kerjasama antara parti pembangkang di Malaysia.

Penulis suka nak mengingatkan bahawa, selain PTPTN, Pakatan Rakyat telah membuat beberapa janji lain yang semuanya memakan wang rakyat yang besar, antaranya menaikkan royalti petroleum sebanyak 20% kepada rakyat di Sabah dan Sarawak (kenaikan sekali ganda dari jumlah yang dibayar sekarang), pengambilalihan syarikat konsesi untuk penghapusan tol, menurunkan harga minyak dan sebagainya.

Disamping itu kita masih lagi perlu meneruskan semua kemudahan-kemudahan yang sedang dijalankan kerajaan sekarang, antaranya skim perkhidmatan kesihatan, bantuan kebajikan masyarakat, rebat tenaga dan sebagainya.

Janji-janji itu pula didaftarkan dalam buku Jingga sedang PTPTN (seperti yang telah disebutkan di atas) tidak!!

Tidak hairan kenapa Barisan Nasional (BN) menggunakan strategi, negara akan bankrap jika Pakatan Rakyat berkuasa, dengan memanipulasi semua janji-janji yang telah dijelaskan dalam buku Jingga untuk menyokong fakta mereka.

Justeru penulis rasa amat penting untuk Datuk Seri Anwar sendiri dan Pakatan Rakyat mendedahkan secara penuh strategi yang bakal digunakan kerajaan Pakatan Rakyat nanti untuk menghapuskan hutang PTPTN, atau kita berhadapan dengan risiko rakyat menganggap semua janji itu sebagai modal untuk mendapatkan undi semata-mata.

 

 

No comments:

Post a Comment