Minda Hijrah Headline Animator

Thursday, December 22, 2011

Ustaz Nasha selar SUA PAS Mustafa Ali

Bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharuddin Mat Isa menyelar pihak tertentu dalam parti itu yang cepat melatah dengan menuduh tindakan beliau menyuarakan pandangan berbeza dari pucuk pimpinan sebagai terperangkap dalam agenda UMNO.

 

Sambil menyifatkan tuduhan tersebut terlalu jauh menyimpang daripada kebenaran serta langsung tidak berasas, Nasharuddin berkata, sepanjang pembabitannya dalam Pas, belum pernah beliau mengungkap kenyataan akan menyertai UMNO sebagaimana ditafsir oleh pihak-pihak tersebut.

 

"Janganlah gunakan alasan mudah seperti ini untuk menyimpulkan tindakan, pandangan atau perhitungan politik saya pada ketika kita mengharung gelombang percaturan politik yang jauh lebih mencabar. Saya tidak mempunyai niat sebesar zarah pun untuk menyertai UMNO.

 

"Dakwaan kononnya saya terperangkap dalam agenda musuh politik Pas iaitu UMNO adalah sesuatu yang terlalu jauh menyimpang daripada kebenaran dan tidak berasas. Malah, belum pernah saya ungkap mahu menyertai UMNO," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

 

Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali baru-baru ini mendakwa bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Hasan Ali dan Nasharuddin yang mengkritik perjalanan sistem parti itu sebagai terperangkap dalam agenda UMNO.

 

Ia kemudian diikuti dengan kenyataan Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar bahawa parti tersebut tidak akan menghalang mana-mana pemimpin Pas untuk menyertai UMNO, malah yakin perjuangan parti itu tetap teguh walaupun pemimpin berkenaan meninggalkan parti.

 

Dalam pada itu, Nasharuddin berharap, penjelasan beliau kali ini memadai untuk menghentikan segala tuduhan oleh pihak tertentu yang mempersoalkan kesetiaannya kepada Pas.

 

Menyentuh mengenai pelbagai tohmahan yang diterimanya, bekas pensyarah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu berkata, ia sebahagian daripada hakikat perjalanan hidup yang terpaksa diharungi oleh seorang pendakwah sepertinya, dalam usaha memartabatkan Islam.

 

"Saya menyedari sepenuhnya bahawa pembabitan di pentas politik nasional pasti mengundang 1,001 macam cabaran dan dugaan. Saya akur sepenuhnya dengan jalan dakwah yang saya lalui ketika ini malah ia telah lebih awal disusuri oleh para nabi, sahabat dan ulama," katanya.

No comments:

Post a Comment