Minda Hijrah Headline Animator

Friday, March 18, 2011

Kelab Chedet - NIK AZIZ DAN KRISIS JATI DIRI (Bahagian II)

"Sejak Nik Aziz mengaku beliau tidak berbangga jadi bangsa Melayu, sejak itu juga parti yang Nik Aziz dukung selama ini kerap menggunakan slogan"PAS For All". Dasar Islam yang diperjuangkan oleh PAS sekarang kononnya bertujuan untuk membahagiakan seluruh umat manusia bukan hanya untuk membahagiakan umat Islam saja. Kata Nik Aziz lagi Islam itu adil untuk semua.

 
Saya sangat sokong dengan kenyataan Nik Aziz ini bahawa agama Islam sememangnya diturunkan oleh Allah untuk seluruh umat manusia. Oleh itu saya ingin bertanyakan Nik Aziz, oleh kerana Nik Aziz pernah menuduh UMNO sebagai parti yang bercirikan kafir kerana enggan dan takut melaksanakan undang-undang Islam sepenuhnya, malah PAS sendiri sering menemplak mantan Presiden UMNO Tun Dr Mahathir kerana memperakui Malaysia adalah negara Islam tetapi masih tidak berani melaksanakan undang-undang Islam sepenuhnya, adakah PAS akan melaksanakan undang-undang Islam sepenuhnya untuk seluruh umat manusia selaras dengan slogan yang mereka cipta itu iaitu "PAS For All"??

Hari ini kita amat sangsi tentang keikhlasan slogan PAS itu terutama bila Nik Aziz sendiri mengaku bahawa undang-undang Islam itu hanya untuk disebut-sebut saja selagi ianya tidak dapat diterima oleh rakan-rakan PAS seperti DAP dan PKR, tetapi tidakkah Nik Aziz takut berdosa terhadap Allah kerana mahu menangguh-nagguhkan perintah Allah ini terutama setelah parti beliau menerima mandat dari orang-orang Melayu untuk memerintah negara ini sebagai sebuah negara Islam?? Adakah PAS takut menyatakan ketegasan mereka sekarang untuk melaksanakan undang-undang Allah ini semata-mata kerana mereka lebih takut dengan larangan parti DAP berbanding takutkan azab yang bakal mereka terima dari Allah nanti?

Jika benar PAS berjuang untuk semua kaum, sudah tentu prinsip Islam yang bakal dilakasnakan oleh PAS itu juga bertujuan untuk menjaga kebajikan semua kaum, jadi kenapa perlu PAS merasa takut untuk menyatakan dengan tegas sekarang bahawa mereka akan melaksanakan undang-undang Islam sepenuhnya jika PAS benar-benar percaya Islam itu dapat menjamin kebajikan untuk semua kaum jika mereka diberi kuasa untuk memerintah nanti??

PAS sepatutnya perlu meyakinkan rakan-rakan kafir mereka supaya menerima undang-undang Islam dibawah pentabiran mereka nanti kerana undang-undang Islam bukan saja memberi munafaat kepada orang Islam malah akan memberi munafaat untuk semua termasuk mereka yang tidak menganut agama Islam. Lebih-lebih lagi Nik Aziz sendiri sering mendakwa bahawa undang-undang Islam itu lebih adil daripada undang-undang peninggalan penjajah yang diamalkan oleh pentadbiran sekarang, tetapi hari ini ternyata PAS dan Nik Aziz sendiri telah gagal menyakinkan rakan mereka hingga terpaksa menunggu untuk melangkah mayat rakan mereka itu dulu sebelum PAS berani melaksanakan undang-undang Islam.

PAS dan Nik Aziz tentu tahu bahawa di Malaysia urusan pentadbiran yang berkaitan hal-ehwal agama Islam itu telah lama dikuasai sepenuhnya oleh kaum Melayu. Ini adalah kerana Perlembagaan Malaysia hanya mengiktiraf orang Melayu saja sebagai orang yang beragama Islam, sedangkan kaum-kaum lain bebas memilih agama yang mereka suka. Malah jika ada sekali pun orang Melayu yang tidak beragama Islam, mereka itu tidak boleh lagi dianggap sebagai orang Melayu kerana kedudukan mereka sudah bercanggah dengan takrif Perlembagaan untuk diterima sebagai orang Melayu. Sekali gus mereka ini tidak layak untuk diberi kepercayaan untuk mentadbir sebuah negara yang ingin diurus sebagai sebuah negara Islam seperti mana yang dicita-citakan oleh PAS itu.

Namun jika PAS hanya mahu memaksa orang Islam saja yang dikenakan undang-undang Islam, itu bermakna PAS dan Nik Aziz masih lagi bersikap rasis kerana masih mahu membeza-bezakan antara orang Islam dengan penganut bukan Islam sekali gus itu juga bercanggah dengan perintah Allah yang sebenarnya. Ini juga bermakna faedah undang-undang Islam itu hanya untuk dinikmati oleh orang Melayu saja sedangkan penganut bukan beragama Islam pula tidak layak untuk diambil kira kerana mereka itu bukan beragama Islam. Bukankah ini juga bermakna PAS bersikap rasis sama seperti UMNO kerana mengutamakan orang Melayu disebabkan PAS pun tahu hanya orang Melayu saja yang pastinya beragama Islam yang juga turut menjadi penyokong mereka sekarang??

 
Sebaliknya jika penganut bukan Islam tidak dikenakan undang-undang Islam oleh pemerintah PAS nanti, itu bermakna PAS sendiri yang mengabaikan perintah Allah kerana tidak berani memanjangkan undang-undang Allah ke atas seluruh umat manusia seperti mana slogan yang mereka cipta itu sekarang. Jika PAS berani mengabaikan perintah Allah kerana tidak berani menyabitkan penganut bukan Islam dengan undang-undang Allah, ini juga bermakna PAS sama saja seperti UMNO yang dikatakan takut melaksanakan undang-undang Islam itu.

PAS dulu sering menuduh UMNO sebagai kafir kerana UMNO dikatakan telah mengabaikan perintah Allah dan takut untuk melaksanakan undang-undang Islam sepenuhnya. Jadi, bagaimana PAS boleh mendakwa parti mereka itu lebih bersifat inklusif dan Islamik daripada UMNO dalam melaksanakan undang-undang Allah ini jika ada pihak dikalangan pakatan mereka sendiri diberikan kebebsan untuk menolak undang-undang Allah yang sedang PAS usahakan itu???

Sebenarnya Nik Aziz tidak perlu berbangga menjadi bangsa Melayu pun jika beliau sendiri merasakan bangsa lain itu lebih baik dari bangsa beliau sendiri, sepatutnya Nik Aziz perlu berbangga menjadi seorang pemimpin Islam yang sejati. Pemimpin Islam yang sejati itu pula adalah pemimpin Islam yang berani bercakap jujur dan bertegas untuk melaksanakan perintah Allah walau pun mendapat bantahan dan tentangan dari rakan pakatan politik mereka sendiri. Jika tidak, sampai bila pun Nik Aziz akan dianggap sebagai ulamak yang hanya bijak menggunakan agama untuk mendapat keuntungan politik.

Nama Nik Aziz akan dikenang sampai bila-bila sebagai ulamak yang tersesat dalam mencari identiti diri sebagai seorang pemimpin Islam kerana dosa-dosa Nik Aziz yang selama ini mempermain-mainkan hukum Allah untuk terus berkuasa diatas muka bumi ini. Nik Aziz perlu menanggung segala dosa yang beliau lakukan itu kerana menuduh orang lain sebagai kafir sedangkan beliau sendiri tidak adanya bezanya dengan orang yang beliau tuduh itu. 

Penulis adalah Nordin, Exco Kelab Chedet Malaysia



No comments:

Post a Comment