Minda Hijrah Headline Animator

Tuesday, March 1, 2011

Hari terakhir bayar saman kelam-kabut




KUALA LUMPUR 28 Feb. – Hari terakhir bayaran saman trafik di seluruh negara hari ini bertukar kelam-kabut apabila sistem dalam talian yang digunakan untuk urusan itu tergendala, ekoran penggunaan yang melebihi kapasiti.

Situasi itu menyebabkan orang ramai terpaksa menunggu serta beratur panjang berjam-jam lamanya untuk menyelesaikan urusan pembayaran tersebut sama ada di kaunter trafik di balai dan ibu pejabat polis daerah mahupun di pejabat-pejabat pos di seluruh negara.

Bagaimanapun, Ketua Trafik Pasukan, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Abdul Aziz Yusof (gambar) ketika dihubungi memaklumkan, sistem bayaran itu tidak lumpuh mahupun mengalami kerosakan, cuma ia menjadi perlahan berikutan penggunaannya yang terlalu tinggi hari ini.

“Berikutan masalah yang dihadapi itu, pihak polis membuat keputusan melanjutkan waktu pembayaran saman yang sepatutnya berakhir pukul 5 petang hari ini kepada pukul 12 tengah malam ini.

“Orang ramai boleh membayar saman di semua kaunter trafik di ibu pejabat polis daerah. Kita tetap menerima bayaran walaupun nombor giliran telah habis sejak petang ini,” katanya di sini hari ini.

Namun begitu, Utusan Malaysia difahamkan, sistem yang tergendala itu menyebabkan pihak polis terpaksa mengutip bayaran saman secara manual iaitu menerima bayaran terlebih dahulu hari ini dan proses dilakukan kemudian.
Kesemua saman yang dijelaskan hari ini dianggap telah dibayar dalam tempoh yang ditetapkan.

Dalam perkembangan sama, Abdul Aziz turut memberitahu, pihaknya telah mengutip sejumlah 875,836 saman di seluruh negara dalam tempoh enam hari dari Isnin lalu sehingga kelmarin.

“Jumlah saman itu adalah kutipan sepanjang enam hari sehingga Sabtu lalu. Ia tidak termasuk jumlah kutipan dua hari terakhir ini.

“Kutipan saman dijangka meningkat kerana ia belum termasuk kutipan semalam (Ahad) dan sehingga pukul 12 tengah malam ini,” ujarnya.

Tempoh bayaran saman yang berakhir hari ini mungkin tidak dilanjutkan lagi oleh kerajaan memandangkan Kabinet telah memberi kelonggaran masa selama enam bulan untuk orang ramai berbuat demikian.

Namun, sehingga hari ini, masih ramai pengguna jalan raya menunggu saat-saat akhir untuk melunaskan bayaran saman dan langkah itu ternyata menyusahkan mereka apabila sebilangan besar pesalah trafik turut membuat tindakan demikian.

Itu menyebabkan keseluruhan cawangan trafik setiap balai polis serta pejabat pos sesak dengan kehadiran mereka yang menunggu seawal 7 pagi lagi.-Utusan Malaysia-

ORANG ramai berebut-rebut untuk mendapatkan angka giliran bagi membayar saman trafik potongan 50 peratus di Pejabat Pos Malaysia, Jalan Merdeka, Kuching, Sarawak, semalam. – UTUSAN/AMIR HAFIZ ABD RAHMAN

3 comments:

  1. Biasalah manusia, bila nak terberak baru nak korek lubang, sikap rakyat M'sia yg suka ambil lewa serta tak ada sikap urgency maka apa yg terjadi sejak 3 hari yg lalu memandang mengundang padah. Kita sedia maklum tempoh 6 bulan cukup panjang, dalam tempoh tersebut kita boleh membayar mungkin satu saman satu bulan selama 6 bulan, tp kalau dah last minute 6 saman nak kumpul dan bayar serentak jual bulu ketiak pun tentu cukup dan nampak teramat banyak sgt. Jadi buang sikit "tak pa", "lambat lagi masa panjang", "k'jaan mesti bagi extention", etc etc etc.

    ReplyDelete
  2. tunggu berjam-jam sejak pagi tapi tiba-tiba sistem offline. tak dapat nak bayar. sakit hati adala. mcm ada sabotaj jer

    ReplyDelete
  3. aku beratur gak bila nak bayar katanya 'en mana ada saman..gullppp..abis yg aku beratur ni nak buat apa haaa..laaa org malaysia suka ikut2 kot he he..salah beratur daaaa..

    ReplyDelete