Minda Hijrah Headline Animator

Wednesday, February 16, 2011

Kerajaan digesa dakwa, saman Tony Pua


KUALA LUMPUR 15 Feb. – Kerajaan didesak supaya mendakwa Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua di bawah Akta Hasutan kerana memfitnah Kementerian Pertahanan dalam isu pembelian Kapal Tempur Pesisir (LCS) sehingga menimbulkan perasaan benci di kalangan rakyat kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Pada masa sama, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir menggesa Kementerian Pertahanan dan ATM memfailkan saman fitnah terhadap wakil rakyat DAP itu kerana sudah jelas segala tuduhan yang dilemparkan dalam isu LCS adalah satu pembohongan.

Katanya, tindakan tegas itu perlu diambil memandangkan peluang sudah diberi kepada Tony untuk mendedahkan bukti penyelewengan seperti yang didakwa kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), tetapi sehingga kini beliau gagal tampil dengan sebarang bukti.

Sambil menyifatkan Tony contoh pemimpin DAP yang pengecut kerana hanya berani menabur fitnah, beliau mahu pihak yang cuba mempolitikkan isu pertahanan berdasarkan fakta yang salah tidak dibiarkan kerana ia boleh menjejaskan keselamatan negara.

“Kerja DAP dan Tony Pua inilah...mengkritik dan memfitnah tanpa sebarang bukti. Bila dicabar kemukakan bukti penyelewengan kepada SPRM tiba-tiba menyembunyikan diri, tetapi sebelum ini bukan main lantang bersuara seolah-olah dia jaguh dalam aspek pertahanan tetapi hakikat sebenar cukup memalukan.

“Ini soal keselamatan, dedahkanlah kepada SPRM jika benar kapal itu mahal 870 peratus daripada kapal negara asing kalau benar dia patriotik dan bukan sekadar menjadi jurucakap kepada pihak tertentu bagi membongkar rahsia kekuatan pertahanan kita,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Semalam Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mendakwa Tony mempunyai agenda tersembunyi ekoran keengganannya melaporkan kepada SPRM berhubung dakwaannya bahawa kos membina enam buah kapal LCS lebih mahal daripada yang dibayar negara lain.

Dakwaan wakil rakyat DAP itu ekoran keputusan kerajaan meluluskan peruntukan RM6 bilion bagi membolehkan impian Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) untuk mengoperasikan kapal perang termoden bagi mengawasi keselamatan perairan negara terutama di Laut China Selatan menjadi kenyataan.

Apabila siap kelak, LCS akan menjadi aset tempur tercanggih dalam inventori TLDM kerana dilengkapi sistem pengurusan tempur termoden, sistem peperangan elektronik, radar tiga dimensi, sonar penjejak kapal selam, peluru berpandu pertahanan udara jarak sederhana, peluru berpandu anti kapal jarak jauh serta torpedo.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim berkata, Tony perlu berani mengemukakan bukti terhadap segala tuduhan jahatnya itu dan bukan hanya sekadar berani ‘baling batu sembunyi tangan’ apabila mengetahui langkahnya sudah tersilap.

Bagaimanapun, beliau yang merupakan individu pertama mencabar Tony supaya mengemukakan bukti penyelewengan kepada SPRM percaya wakil rakyat DAP itu tidak memiliki sebarang bukti bagi menyokong tuduhannya selain mendakwa pengetahuannya dalam bidang pertahanan negara juga lemah.

“Kerajaan perlu mengambil tindakan tegas ke atas Tony agar ia menjadi ingatan kepada semua pihak supaya isu pertahanan negara tidak dipolitikkan, apatah lagi ini bukan kali pertama dia memfitnah Kementerian Pertahanan dan ATM. Ini perbuatan jahat yang dibuat secara bersiri.

“Saya lihat dia ada agenda tersembunyi apabila berterusan memburukkan ATM dan Kementerian Pertahanan. Mungkin dia cuba menggagalkan usaha kerajaan membangunkan kekuatan pertahanan negara agar keselamatan Malaysia lebih lemah berbanding negara lain,” dakwanya. - Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment