Minda Hijrah Headline Animator

Wednesday, February 16, 2011

Zahid Hamidi : Tony Pua ada agenda tersembunyi

LUMUT 14 Feb. - Keengganan Tony Pua melaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaannya bahawa kos membina kapal tempur pesisir pantai (LSC) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) lebih mahal daripada yang dibayar negara lain, membuktikan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu mempunyai agenda tersembunyi.



Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, beliau dan pegawai-pegawainya bersedia disiasat jika benar berlakunya penyelewengan seperti didakwa Pua.

"Kita boleh berbeza pendapat tetapi dalam soal keselamatan dan pertahanan, tiada sebarang kompromi," katanya pada sidang akhbar selepas selepas melakukan lawatan kerja di Bousted Naval Shipyard Sdn. Bhd. (BNS) di TLDM di sini hari ini.

Hadir sama Panglima TLDM, Tan Sri Abdul Aziz Jaafar dan Pengarah Urusan Kumpulan Boustead, Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin.

Baru-baru ini, Pua dalam sebuah portal berita tempatan mendakwa, kos RM6 bilion bagi membina LSC TLDM adalah 870 peratus lebih mahal daripada apa yang dibayar negara lain untuk kapal yang sama.

Dalam nada kesal, Ahmad Zahid berkata, parti pembangkang secara membuta tuli menjatuhkan hukuman walaupun penjelasan terperinci mengenai perkara itu belum diberi.
"Belum pun penjelasan diberi sepenuhnya dari segi teknikal dan perincian, mereka sudah mahu 'belasah' seolah-olah ada unsur-unsur rasuah.

"Mahu rasuah apa? Sebab yang dapat adalah Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan Boustead Naval Shipyard Sdn. Bhd. (BNS) adalah anak syarikat LTAT. Jika syarikat persendirian barulah dituduh terdapat unsur rasuah," katanya.

Katanya, beliau sedia menjawab segala dakwaan Pua itu sekiranya isu tersebut dibangkitkan dalam persidangan Dewan Rakyat akan datang.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid menyifatkan saranan bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad agar undang-undang antarabangsa yang melarang kapal dagang membawa anak kapal bersenjata dipinda bagi membolehkan ancaman dan serangan lanun ditangani segera, merupakan satu cadangan yang bijak.

Katanya, pindaan tersebut mampu mengurangkan risiko bagi kapal-kapal yang melalui perairan di Teluk Aden.

"Ini cadangan yang cukup bijak dan ia akan dibawa ke jawatankuasa maritim bagi dibincangkan dalam mesyuarat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu," katanya. - Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment