Minda Hijrah Headline Animator

Tuesday, February 22, 2011

Harapan BN tawan Kedah terkubur jika dicantas

"BAGI mereka yang arif mengenai politik Parti Keadilan Rakyat (PKR) terutama yang dimainkan oleh pucuk kepimpinannya, bukan sesuatu mengejutkan apabila seorang lagi wakil rakyatnya keluar daripada parti itu 29 Januari lalu.

Ahli Parlimen Padang Serai, N. Gobalakrishnan membuat keputusan meninggalkan PKR kerana beliau mendapati parti berkenaan semakin rosak malah tersasar jauh daripada asas perjuangannya kerana dikuasai pemimpin tertentu.

Dalam konteks di Kedah, Gobalakrishnan merupakan wakil rakyat keempat yang bertindak meninggalkan PKR selepas Mohd. Radzi Salleh (Lunas); Tan Wei Shu (Bakar Arang) dan Zulkifli Noordin (Kulim-Bandar Baharu).

Pengurangan seorang demi seorang pemimpin PKR yang sebelum ini bersekutu dengan Pas dan DAP apabila bertindak keluar parti, tidak seharusnya mendatangkan keselesaan kepada Barisan Nasional (BN) khususnya di Kedah mengenai situasi yang berlaku.

Apa pun yang terjadi kepada pihak pembangkang, hasrat BN untuk menawan semula Kedah sukar dicapai jika tiada perubahan yang dimulakan dari dalam kepimpinan parti itu sendiri.

Antara perkara yang perlu diberi perhatian serius ialah menghapuskan sikap cantas-mencantas di kalangan pemimpin BN seperti yang diutarakan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad baru-baru ini.

Bekas Perdana Menteri itu percaya Kedah mampu ditawan kembali oleh BN pada pilihan raya umum akan datang jika sikap buruk berkenaan dapat diatasi.

Perkara itu turut diakui oleh Pengerusi BN Kedah, Datuk Ahmad Bashah Md. Hanipah yang memberi amaran bahawa negeri jelapang padi itu sukar ditawan seandainya calon yang dipilih mewakili lambang dacing tidak disokong oleh semua pihak.

Katanya, sikap cantas-mencantas menyebabkan calon yang berupaya untuk menang boleh tersungkur.

"Mengapa perlu ada sikap jatuh menjatuhkan kawan dalam parti? Mengapa tidak boleh menerima dengan hati terbuka calon yang dipilih.

"Musuh kita adalah calon parti lawan yang harus dikalahkan, bukannya mensabotaj calon daripada parti kita sendiri," katanya kepada Utusan Malaysia.

Tegasnya, sikap 'biar padan muka' wajib dibuang daripada setiap jiwa pemimpin BN.

"Marilah kita mengambil sikap tanggungjawab bahawa apabila parti kalah, ia adalah kekalahan kita semua dan kekalahan itu memalukan semua yang sayangkan parti," ujar beliau.

Seorang bekas wakil rakyat BN turut berkongsi pengalamannya 'dicantas' oleh pihak tertentu sehingga menyebabkan beliau kalah dengan majoriti kecil Pada Pilihan Raya Umum 2008.

Beliau yang enggan mendedahkan namanya berkata, antara perkara yang dialaminya adalah penyebaran khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada penyokong BN agar tidak keluar mengundi sehingga mengakibatkan ramai ahli UMNO di kerusi Dewan Undangan Negeri yang ditandinginya berbuat demikian.

Selain itu, dakwanya, para penyokong BN dipengaruhi agar tidak menyokong beliau.

"Jumlah undi rosak adalah dua kali ganda daripada undi majoriti yang diperolehi oleh lawan saya. Jadi apakah kesimpulan yang boleh kita buat, saya kalah kerana sabotaj dalaman parti sendiri," katanya.

Dalam pada itu, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang terlibat memantau masyarakat dan suasana politik di negeri ini, Warga Prihatin Kedah (Wardah) juga berkongsi nada sama bahawa kemenangan mampu dicapai BN dengan syarat calon yang diketengahkan diterima pengundi dan para pemimpin lain.

Presidennya, Mohd. Nizam Madowan berkata, tabiat cantas-mencantas mengakibatkan calon-calon berpotensi, berkelayakan dan mempunyai daya kerja yang cukup baik menjauhkan diri kerana kecewa dengan sikap sebilangan ahli politik yang mengamalkan politik menekan mereka.


Katanya, tabiat cantas-mencantas termasuk menggunakan jentera parti bagi menggagalkan aktiviti yang dijalankan pihak lain, melobi pihak atasan parti supaya tidak menyokong pihak tertentu serta memburukkan orang lain dengan menggunakan media termasuk media baru.

Menurut beliau, pihaknya tidak menolak fakta bahawa calon yang popular di kalangan pengundi kebiasaannya merupakan calon yang tidak popular di kalangan kepimpinan parti di kawasan berkenaan.

"Yang paling penting calon yang hendak diketengahkan perlu dilihat mampu menjalankan tugas untuk rakyat," katanya.

Sehubungan itu, jangan dileburkan harapan menggunung penyokong BN untuk menawan semula Kedah hanya kerana sikap dendam beberapa pemimpin sahaja. - Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment