Minda Hijrah Headline Animator

Tuesday, October 5, 2010

Kenapa Perkasa Diperlukan?

Salam Sejahtera,

Nampaknya kewujudan Perkasa sebagai NGO yang mewakili kepentingan Bumiputera terus mendapat perhatian dikalangan ahli politik dan rakyat Malaysia. Kali ini saya akan menerbitkan lagi pandangan yang diutarakan oleh Bro Nordin, Exco Kelab Chedet Malaysia berkaitan isu Perkasa. Semoga ianya memberi manfaat kepada kita semua

Wassalam

RockY-MY
Kelab Chedet Malaysia
Kenapa Perkasa diperlukan?

Orang-orang Melayu sebenarnya semakin hari semakin merasa cemas apabila mereka melihat kedua-dua parti politik terbesar Melayu iaitu UMNO dan PAS hari ini semakin ghairah bersaing untuk menjadikan parti mereka sebagai “parti untuk semua”. Keghairahan persaingan diantara PAS dan UMNO ini menyebabkan perjuangan asal mereka iaitu untuk membela bangsa Melayu dan agama Islam jadi semakin pudar dan tersasar.

Setelah kemenangan PAS berjaya direalisasikan dengan bantuan DAP, PAS semakin hari semakin tunduk dengan desakan DAP yang mahukan PAS mengubah perjuangan Islam mereka kepada “PAS Untuk Semua”. Oleh kerana PAS takut kehilangan sokongan DAP, PAS menurut saja khendak DAP konannya dilakukan atas semangat kerjasama Pakatan Rakyat.

Begitu juga dengan UMNO yang turut didesak oleh rakan-rakan komponen BN supaya mengubah haluan jika UMNO tidak mahu terus kehilangan sokongan dari pengundi bukan Melayu. Untuk menyayingi “PAS Untuk Semua” itu, UMNO sendiri mempunyai slogan baru iaitu “1Malaysia” untuk semua. UMNO percaya dengan slogan baru ini pengundi bukan Melayu tidak lagi akan merasa terpinggir apa lagi dengan kesediaan UMNO mengorbankan ekuiti Melayu bagi membuktikan UMNO juga bersedia bersikap adil untuk semua kaum seperti mana PAS lakukan sekarang.

Dengan persaingan UMNO dan PAS ini, yang rugi tentulah orang-orang Melayu sendiri apabila UMNO yang dulunya menjadi pembela kepada orang-orang Melayu kini sudah bertolak ansur sanggup mengorbankan hak Melayu hanya untuk mendapat sokongan kaum Cina. Begitu juga dengan PAS yang dulunya begitu lantang memperjuangkan negara Islam kini lebih mudah bertolak ansur dengan Cina DAP kerana takut kehilangan undi kaum bukan Melayu.

Kedua-dua parti Melayu ini seolah-olah sudah lupa bahawa mereka bukan saja mempunyai tanggungjawab menjaga kepentingan orang-orang Melayu yang beragama Islam itu tetapi juga mempunyai tanggungjawa terhadap raja-raja Melayu yang menjadi ketua agama Islam di negeri-negeri Melayu. Mereka seolah-olah mengabaikan tanggungjawab mereka ini semata-mata kerana mahu bersaing bagi mendapat sokongan kaum bukan Melayu.

Kebimbangan raja-raja Melayu melihat kerenah dan perilaku kedua-dua parti politik Melayu ini sudah acap kali disuarakan tetapi masih tidak dipedulikan oleh kedua-duanya. Dalam Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-215 yang berlangsung di Istana Maziah di Kuala Terengganu pada Oktober 2008 telah mengeluarkan satu kenyataan akhbar khas berhubung beberapa perkara yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan yang antara lainnya menyebut:
"Raja-Raja Melayu mempunyai peranan perlembagaan untuk melindungi keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Raja-Raja Melayu, melindungi Agama Islam, Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan kepentingan sah kaum-kaum lain di Malaysia.

"Tindakan pihak-pihak tertentu mempertikai dan mempersoalkan perkara-perkara tersebut yang menjadi asas utama pembentukan negara Malaysia dan termasuk dalam Perlembagaan Persekutuan telah menimbulkan kegusaran dan keresahan di kalangan rakyat”.


Bila suara raja-raja sendiri sudah tidak diendahkan lagi, dimana lagi orang-orang Melayu dapat menyalurkan suara kebimbingan mereka melainkan melalui NGO-NGO Melayu seperti Perkasa ini sebagai wadah baru untuk orang-orang Melayu terus bersuara.

Pada asasnya Perkasa tidak pernah berhasrat untuk mengantikan mana-mana parti politik Melayu yang sedia ada itu tetapi lebih kepada menjadi “referee” untuk meniup wisel amaran setiap kali bila kedua-dua parti Melayu ini melampaui garisan yang sudah ditentukan. Sudah tentu kedua-dua parti politik Melayu ini kurang senang dengan peranan yang dimainkan oleh Perkasa itu kerana itu hanya akan memperlahankan rentak persaingan mereka dan mereka juga bimbang keadaan itu akan membuat mereka terlepas peluang untuk memancing sokongan kaum bukan Melayu yang mereka anggap begitu penting buat mereka untuk menentukan kemenangan.

Orang Melayu nampaknya semakin hari semakin kuat menyokong Perkasa bukan kerana tertarik dengan personaliti Ibrahim Ali tetapi kerana mereka bersetuju dengan apa yang diperjuangkan oleh Ibrahim Ali itu. Kenyataan Ibrahim Ali bahawa orang-orang Melayu mestilah mengutamakan ketaatan mereka kepada raja sebenarnya membawa seribu makna. Hari ini orang-orang Melayu sudah tidak boleh lagi bergantung harapan kepada mana-mana parti politik Melayu jika kedua-dua parti Melayu ini sudah mula mengabaikan tanggungjawab perlembagaan mereka dalam menjaga kepentingan Melayu dan kesucian Islam di negara ini. Kedua-dua parti ini nampak sokongan kaum bukan Melayu itu lebih penting untuk menentukan kejayaan mereka. Namun kedua-dua kepentingan Melayu dan Islam ini sememangnya terletak dibawah perlindungan raja-raja Melayu seperti mana yang dinyatakan dalam kenyataan khas Majlis Raja-Raja itu maka itu orang-orang Melayu tidak ada pilihan lain melainkan meletakkan ketaatan mereka kepada raja.

Keghairahan PAS dan UMNO dalam memancing sokongan bukan Melayu itu mungkin dapat diredakan apabila orang-orang Melayu berjaya menarik perhatian kedua-dua parti Melayu ini supaya mereka bersaing antara satu dengan lain untuk mendapat undi orang-orang Melayu dan orang-orang Melayu pula akan hanya memilih satu antara mereka berdasarkan siapa yang lebih mengutamakan kepentingan Melayu dan Islam sekarang.

Disinilah Perkasa boleh memainkan peranannya dalam memaksa kedua-dua parti ini bersaing sesama mereka berdasarkan apa yang mereka dapat tawarkan kepada orang-orang Melayu sekarang. Jika ini berlaku, kedua-dua parti ini tidak dapat tidak terpaksa kembali kepada perjuangan asal mereka iaitu menjaga kepentingan Melayu dan Islam di negara ini sebagaimana tujuan parti-parti ini mula-mula ditubuhkan.


Nordin
Penulis adalah Exco Kelab Chedet Malaysia dan boleh dihubungi di www.kelabchedet.com

No comments:

Post a Comment