Minda Hijrah Headline Animator

Monday, June 24, 2013

#Black505 Tindakan SAMM berkhemah jelas menyimpang



Tindakan Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) berkhemah di Padang Merbok, Jalan Parlimen, di sini menimbulkan tanda tanya terhadap tujuan sebenar Perhimpunan Black 505 anjuran pembangkang bagi membantah keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 pada 5 Mei lepas.
   
Walaupun perhimpunan itu umumnya berlangsung aman, tindakan sekumpulan SAMM berkhemah di situ selepas perhimpunan petang semalam, boleh menjurus kepada pertembungan antara mereka dengan pihak penguatkuasa dan undang-undang sekiranya mereka tetap berdegil.
   
Perbuatan berkhemah di tempat awam bawah jagaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu menjelang majlis angkat sumpah anggota Dewan Rakyat Isnin ini sudah menyimpang daripada janji penganjur bahawa mereka sekadar mahu berhimpun secara aman.
   
Seolah-olah mereka tidak berpuashati perhimpunan berlangsung aman tanpa sebarang kejadian tidak diingini seperti peserta tercedera.

   
Sikap polis yang amat berhemah mengendalikan demonstrasi menyumbang kepada amannya perhimpunan, walaupun peserta bersikap provokatif.
 
Krisis awal ke arah konfrontasi mula kelihatan apabila dua anggota penguatkuasa DBKL dikasari oleh peserta perhimpunan termasuk anggota SAMM yang terdiri daripada 500 orang dengan mengemuruni dua petugas DBKL itu.
    
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah berkata dalam kejadian 4.30 petang itu, sekumpulan peserta daripada SAMM cuba mendirikan beberapa khemah menyebabkan dua anggota DBKL menghalang perbuatan mereka.
    
Disebabkan cuba menghalang kumpulan itu, dua petugas DBKL itu dipukul dan mereka diselamatkan polis serta pegawai DBKL dengan melarikan mereka daripada kepungan perserta perhimpunan dan membawa mereka masuk ke dalam van DBKL yang berada di tempat kejadian.
    
Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang turun padang melihat keadaan di Padang Merbok tengah hari semalam menyifatkan penyakit 'hati angkuh' yang dihidapi pemimpin pakatan pembangkang terutama Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan punca mengapa pakatan itu tidak mahu menerima keputusan pilihan raya umum dan menganjurkan perhimpunan hari ini.
      
Tengku Adnan berkata kerana penyakit itu pembangkang sengaja membutakan mata mereka terhadap keputusan dibuat rakyat pada pilihan raya umum ke-13 dan tetap meneruskan perhimpunan walaupun tahu ia bakal mengundang keresahan warga kota.
     
Malah mereka menolak tawaran untuk perhimpunan itu diadakan di Stadium Merdeka dan tetap mahu mengadakannya di Padang Merbok untuk menjerit-jerit dan menarik perhatian orang ramai, katanya.
 
Malah kehadiran penyokong pada perhimpunan itu yang dianggarkan polis seramai 20,000 orang membuktikan pembangkang gagal meraih sokongan umum sedangkan sasaran awal mereka ialah 300,000 orang.
    
Kebanyakan peserta perhimpunan bukanlah mewakili suara umum sebaliknya mereka adalah anggota daripada beberapa pertubuhan antaranya SAMM dan Asalkan Bukan Umno (ABU) serta anggota parti politik daripada PAS, DAP dan PKR.
    
Penganjuran perhimpunan itu juga adalah satu kejanggalan apabila anggota parlimen daripada pembangkang akan turut mengangkat sumpah pada Isnin ini yang memberikan gambaran mereka seolah-olah menerima kemenangan mereka pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13), tetapi mengadakan demonstrasi membantah kemenangan Barisan Nasional (BN).
    
PRU13 menyaksikan pembangkang gagal menerajui negara apabila hanya peroleh 89 kerusi Parlimen berbanding Barisan Nasional dengan 133 kerusi daripada 222 kerusi yang dipertandingkan.
   
Malah pembangkang juga terlepas Kedah, negeri yang diterajuinya pada 2008 tetapi mengekalkan Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan. 

No comments:

Post a Comment