Pakatan Rakyat (PR) hanya mementingkan kuasa sehingga sanggup mengenepikan prinsip demokrasi sekali gus tidak menghormatinya, tegas Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor Datuk Seri Noh Omar.
Beliau berkata demikian mengulas polemik tentang siapa akhirnya yang akan mengisi kerusi Menteri Besar Selangor yang semakin hangat dibahas oleh pimpinan Pakatan Rakyat yang terdiri daripada PKR, PAS dan DAP kerana belum ada apa-apa yang muktamad mengenainya.
Keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) Ahad lalu menyaksikan PAS dan DAP masing-masing memperoleh 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), PKR 14 kerusi, manakala Barisan Nasional (BN) 12 kerusi dan jika dilihat secara individu, tidak ada satupun parti politik memperolehi kerusi majoriti untuk memerintah.
Malah, dengan ketiadaan majoriti itu, tidak pula PAS, PKR dan DAP mempertikaikan keputusan Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU13) Ahad lepas.
"Kalau ikut prinsip demokrasi PAS lah yang sepatutnya menjadi menteri besar sebab mereka ada 15 orang,PKR ada 14, DAP sdah tentu tidak boleh sebab dalam penubuhan Selangor menteri besar mesti Melayu beragama Islam.
"Ini menunjukkan PKR hanya memikirkan jawatan semata-mata begitu rakus nakkan jawatan mereka sanggup mengenepikan prinsip-prinsip demokrasi," katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis sambutan Majlis ulang tahun Umno ke-67.
Khamis lepas Abdul Hadi telah menyatakan sokongan PAS agar Abdul Khalid kekal Menteri Besar Selangor, bagaimanapun sebelum itu Pesuruhjaya PAS Selangor Dr Abdul Rani Osman telah menyatakan kesediaannya bagi menduduki kerusi panas itu.
Permainan politik PKR dan PAS pula berterusan apabila Dewan Pemuda PAS Selangor melalui Timbalan Ketuanya Mohd Sany Hamzan menegaskan tiada sebarang perjanjian mengatakan jawatan itu mesti diperuntukkan kepada PKR jika gabungan parti PAS, PKR dan DAP memerintah negeri itu.
Mohd Sany berkata kenyataan Azmin, Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin dan Ketua Penerangan PKR Selangor Shuhaimi Shafiei yang menekankan bahawa kerusi itu adalah kerusi tetap PKR ibarat orang tamak haloba yang tidak sedar diri terhadap kemampuan diri sendiri.
Percakaran dalaman PKR mengenai jawatan itu pula bertambah buruk apabila Azmin mempersoalkan surat yang dihantar Presidennya Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail kepada Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung calon Menteri Besar.
Azmin, yang juga ADUN Bukit Antarabangsa berkata surat yang dihantar Dr Wan Azizah semalam itu dibuat tanpa sebarang perbincangan dan persetujuan bersama oleh semua Anggota Dewan Undangan Negeri parti itu.
Mengulas lanjut Noh Omar berkata, ia bukti jelas bahawa pakatan pembangkang langsung tidak mengamalkan budaya hormat-menghormati antara satu sama lain dan hanya memberi fokus untuk merampas Putrajaya semata-mata.
"Nampaknya dalam pakatan pembangkang ini bukan sahaja tidak meghormati keputusan rakyat tetapi antara mereka satu sama lain pun tidak menghormati satu sama lain," ujar beliau.
Sementara itu,Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin menegaskan krisis ini merupakan bukti kepincangan pemerintahan parti pembangkang akibat kegagalan menyelesaikan masalah memilih calon menteri besar di Selangor.
Katanya, Pakatan dilihat menemui jalan buntu untuk memilih calon menteri besar yang layak.
Malah, beliau turut meramalkan krisis pemilihan itu akan menjadi lebih buruk sekiranya pakatan pembangkang itu berjaya menawan Putrajaya pada PRU-13 baru-baru ini.
Sehubungan itu, Khairy berkata ia adalah petunjuk jelas kepada rakyat khususnya di Selangor bahawa pakatan pembangkang tidak akan berjaya mentadbir negeri itu dengan baik.
"Saya melihat bahawa ini adalah satu contoh terbaik, kalau sekiranya katalah mereka (pembangkang) dapat kuasa di Putrajaya saya rasa perpecahan yang berlaku adalah lebih besar dari apa yang berlaku di Selangor.
"Saya melihat ini adalah satu pengajaran untuk kita dan untuk rakyat khasnya bahawa mereka (Pakatan Rakyat) khususnya di Selangor tidak dapat kawal dan buat keputusan jelas serta membawa kestabilan pada negeri Selangor," jelasnya.
No comments:
Post a Comment