Minda Hijrah Headline Animator

Saturday, March 2, 2013

[Wira Lahad Datu] - Jenazah Koperal Sabarudin selamat dikebumi



Jenazah Koperal Sabarudin Daud yang terkorban dalam insiden tembak-menembak di Kampung Tanduo, Lahad Datu, Sabah semalam, selamat disemadikan di tanah perkuburan Islam Sungai Besar di sini hari ini.
    
Jenazah Sabarudin, 46, sebelum itu disembahyangkan di Masjid Jamek Makmuriah pada pukul 3.30 petang yang turut disertai Menteri Pertahanan Datuk Seri D Ahmad Zahid Hamidi serta Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar.
    
Turut menyertai solat sunat jenazah itu ialah Pengarah Pengurusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman Datuk Mortadza Nazarene bersama 1,000 yang lain meliputi anggota keluarga, rakan, penduduk kampung dan anggota PDRM.

 
Jenazah Allahyarham tiba di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang pada 12.30 tengah hari tadi sebelum dibawa ke kediaman ibunya di Kampung Sungai Lias, Sungai Besar, bagi memberi peluang kepada anggota keluarga menatap wajah Allahyarham buat kali terakhir.
    
Abang susuan Allahyarham, Che Azni Ahmidun, 48, ketika ditemui pemberita selepas pengebumian itu, berkata belia redha dengan pemergian Allahyarham serta berterima kasih kepada semua pihak, terutama warga PDRM yang menguruskan jenazah adiknya.

"Terima kasih kepada semua warga PDRM yang telah menguruskan jenazah adik saya sebaik-baiknya bermula dari Lahad Datu hingga ke liang lahad pada petang ini.
    
"Walau apa jua keadaan, kami sekeluarga berasa banggga kerana beliau telah digelar wira negara...cuma saya terkilan kerana saya menatap wajahnya buat kali terakhir dalam keadaan dia tidak lagi bernyawa," katanya menambah kali terakhir beliau bertemu Allahyarham ialah pada Aidilfitri lalu.
    
Sementara itu, anak sulung Allahyarham, Haziq Wahiduzzaman, 19, berkata kali terakhir beliau bertemu dengan bapanya ialah pada cuti tahun baharu cina.
    
"...waktu itu saya pulang bercuti (dari kolej) dan tiada tanda-tanda dari dia yang menunjukkan dia akan 'pergi'.
    
"Kami adik-beradik tak sangka perkara ini berlaku pada abah...walau apa pun kami bangga dengannya kerana tugasnya yang diamanahkan padanya sebagai anggota keselamatan negara," katanya yang belajar di Kolej Yayasan Melaka.
    
Selain Haziq, Allahyarham meninggalkan dua lagi anak iaitu Haziqah Zuhairah dan Hazreq Zarif serta balu Nurul Nisah Abu.
    
Sabarudin adalah antara dua anggota komando polis VAT 69 yang terkorban dalam kejadian itu yang tercetus apabila pasukan keselamatan bertembung dengan kumpulan penceroboh bersenjata dari selatan Filipina berkenaan. Turut terkorban ialah Insp. Zulkifli Mamat, 29.

1 comment:

  1. ALFATIHAH...Moga roh allahyarham ditempatkan bersama roh roh para solehen.

    ReplyDelete