Minda Hijrah Headline Animator

Saturday, March 30, 2013

Shahidan Kassim : Juanda, Asri boleh jadi MB Perlis



Antarapos.com - Datuk Seri Shahidan Kassim menyokong sebarang cadangan untuk Mufti Perlis Dr Juanda Jaya bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) dan dilantik menjadi Menteri Besar Perlis. 
 
Mantan pemimpin utama Perlis itu berkata bekas Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin layak juga memegang jawatan itu.
 
Shahidan berkata jika dua tokoh agama itu mendapat perkenan Raja Perlis, beliau akan membimbing mereka dalam aspek pentadbiran kerajaan negeri. 
 
Shahidan menerajui pentadbiran kerajaan negeri Perlis sejak 1995 hingga 2008 sebelum diganti dengan Datuk Seri Md Isa Sabu. 
 
"Saya sokong Dr Asri dan Dr Juanda, mereka orang agama tapi dari segi pentadbiran mereka mungkin kurang sikit.
 
"(Yang) itu kena minta pandangan saya, mungkin (sebagai) penasihat," katanya dalam temubual eksklusif bersama Antarapos.
 
Desas-desus mengatakan pihak istana Perlis mahu Dr Juanda memegang jawatan menteri besar bagi menggantikan Md Isa.

Namun Juanda menafikan khabar angin itu termasuk spekulasi berlaku pertemuan sulit antara diri beliau dan Raja Perlis. 
 
Shahidan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tambun Tulang berkata beliau menghormati tokoh agama dan laluan sentiasa terbuka jika mereka mahu menceburi dunia politik.
 
Tegas beliau, tokoh agama yang berpegang dengan al-Quran dan Hadis boleh menjadi contoh kepada rakyat. 
 
Namun menurut beliau ahli politik seperti Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat harus dielakkan kerana tabiatnya yang suka mengumpat.  
 
"Saya kalau tokoh agama saya (tidak ikut)...sebarang tokoh agama, kalau tokoh agama dok cakap tanpa ikut al-Quran dan Hadis saya tak mahu ikut.
 
"Mereka (Juanda dan Asri) pakar al-Quran dan Hadis (sebab itu) saya ikut. Orang yang buat pandai sendiri saya tidak mahu ikut," katanya.
 
"Ada tokoh agama yang tak boleh ikut sebab mulut dia selalu mengata orang.
 
"Tokoh agama yang jaga diri dan jaga mulut (akan dicontohi). Macam Datuk Nik Aziz tak boleh sebab dia selalu mengata orang," kata Shahidan. 

No comments:

Post a Comment