Minda Hijrah Headline Animator

Tuesday, January 15, 2013

[Pakatan TIPU Rakyat] SYABAS jawab tohmahan Regim Pakatan Selangor (Bahagian 2)



Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) hari ini mengadakan sidang akhbar dan menjelaskan 15 dakwaan daripada pelbagai pihak kepada syarikat konsesi air itu akhir-akhir ini. Berikut dilampirkan kenyataan penuh SYABAS bersabit semua dakwaan yang dilemparkan terhadapnya :-

SYABAS sangkal dakwaan dan tuduhan berbagai pihak berkenaan gangguan bekalan air di Wilayah Kuala Lumpur ekoran kegagalan rumah pam Wangsa Maju.

KENYATAAN MEDIA  (Bahagian 2)
15 JANUARI 2013

11) YB Xavier juga mendakwa bahawa isu air berlaku disebabkan keangkuhan SYABAS dan SYABAS tidak menghubungi SUK, Datuk Kushrin bagi mendapatkan bantuan lori tangki dari PBT tetapi SYABAS meminta bantuan dari syarikat bekalan air daripada luar.

SYABAS ingin menegaskan bahawa dalam mesyuarat harian Jawatankuasa Khas Pemantauan Bekalan Air Negeri Selangor yang ditubuhkan oleh kerajaan negeri dan dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, YB Dato Khusrin atau wakilnya, perkara ini telah dibincang dan dibentangkan. Oleh yang demikian, tidak timbul isu di mana SYABAS tidak meminta bantuan atau tidak memaklumkan kepada kerajaan negeri. Oleh itu, kenyataan tersebut adalah tidak benar.

Walaupun dalam mesyuarat yang diadakan setiap hari, pihak SYABAS telah maklumkan kepada kerajaan negeri tentang bantuan yang diperlukan bagi meringankan masalah yang ditanggung oleh pengguna, namun bantuan yang diterima tidak seperti yang diharapkan oleh SYABAS. Kerajaan negeri Selangor menerusi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), memulakan penghantaran bantuan 4 buah lori tangki hanya mulai 5 Januari 2013 iaitu selepas 6 hari kejadian berlaku. Berikutnya pada 7 Januari 2013, 3 buah lori, 8 Januari 4 buah, 9 Januari 4 buah, 10 Januari 2 buah, 11 Januari 10 buah, 12 Januari 13 buah, 13 Januari 10 buah dan 14 Januari 2 buah lori.

Penghantaran lori-lori tangki daripada pihak PBT ini tidak tetap di mana ada di antara hari-hari yang tiada lori dihantar kepada SYABAS. Selain dari itu, bantuan yang dihantar oleh kerajaan negeri Selangor juga tidak menyeluruh kerana tidak menyediakan sukarelawan dan petugas-petugas untuk membantu mengangkat air ke rumah-rumah pengguna.

Sebagai sebuah negeri yang besar seperti Selangor sepatutnya lebih ramai petugas sukarelawan dan bantuan lori-lori tangki dapat disediakan. Malahan sebahagian lori-lori yang digunakan juga didapati tidak menepati piawaian kualiti air yang ditetapkan dan tidak sesuai digunakan untuk membekalkan air. Oleh itu, lori-lori tersebut terpaksa dihantar semula untuk proses cucian dan selepas diuji barulah ianya boleh digunakan.

12) YB Zuraidah Kamaruddin, Ahli Parlimen Ampang telah mendakwa SYABAS tidak mengambilkira perancangan jangka panjang dalam aspek penyenggaraan, sistem naiktaraf, pemantauan berkala, sistem sokongan yang lebih efektif dan pengurusan berwibawa.

SYABAS menafikan kenyataan ini dan ianya tidak benar kerana program penyenggaraan berkala rumah pam ini adalah sebahagian daripada program penyenggaraan tahunan peralatan infrastruktur sistem agihan air terawat yang dimajukan pada awal tahun setiap tahun kepada SPAN untuk kelulusan seperti termaktub di dalam Perjanjian Konsesi SYABAS. Manakala laporan status kerja-kerja penyenggaraan dimajukan sekali dalam tempoh enam bulan kepada SPAN untuk pemantauannya. Bagi kerja-kerja menaiktaraf, membaik pulih, mengganti dan pembangunan baru infrastruktur sistem agihan yang melibatkan program perbelanjaan modal (CAPEX), SYABAS telah dihalang daripada melaksanakannya apabila ianya dibekukan oleh SPAN atas arahan kerajaan negeri Selangor sejak bulan Julai 2008.

Berikutan itu, SYABAS hanya dibenarkan untuk menjalankan kerja-kerja kritikal sahaja serta penyelenggaraan rutin, itupun selepas mendapat kelulusan SPAN. Dalam keadaan seperti ini SYABAS seolah-olah terikat tangannya dan tidak banyak yang mampu dilakukan daripada arahan pembekuan ini. Oleh itu, mendakwa SYABAS tidak mengambil kira perancangan jangka panjang adalah tuduhan yang tidak berasas dan tidak adil sama sekali.

13) YAB Menteri Besar turut mendakwa bahawa gangguan bekalan air membuktikan kegagalan projek penswastaan air kepada syarikat yang tidak berkelayakan dan kompeten SYABAS menyangkal dakwaan ini dan bertegas bahawa gangguan bekalan air adalah disebabkan kegagalan rumah pam yang telah beroperasi secara ‘overload’ dalam tempoh yang panjang disebabkan permintaan yang meningkat berterusan. 

Kegagalan rumah pam ini berfungsi adalah berkait dengan permintaan yang meningkat sehingga menyebabkan rumah pam terpaksa beroperasi melebihi kadar kebiasaannya sementara menunggu bekalan air terawat tambahan yang belum disediakan oleh kerajaan negeri Selangor. Kerajaan negeri atas alasannya sendiri tidak mahu menerima hakikat yang disokong oleh fakta-fakta bahawa negeri Selangor mengalami kekurangan dalam pengeluaran air terawat berbanding permintaan yang meningkat.

14) Dalam keadaan yang sama, ADUN Teratai, YB Janice Lee mendakwa bahawa isu masalah air menunjukkan ketidakupayaan Puncak Niaga dan SYABAS mengendalikan pengurusan air kerana krisis ini bukanlah yang pertama kali berlaku di Selangor.

SYABAS menyangkal dakwaan ini dan menegaskan bahawa YAB Menteri Besar sendiri dan kerajaan Selangor telah dimaklumkan semenjak tahun 2005 lagi bahawa permintaan air terawat di negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya meningkat iaitu pada kadar 3.5% setiap tahun dan pengeluaran air dari kapasiti loji-loji yang sedia ada tidak mencukupi dan sememangnya ada di antara 34 loji sedia ada telah beroperasi melepasi kapasiti rekabentuk. Keadaan bertambah buruk apabila rezab bekalan air yang tinggal pada masa ini adalah lebih kurang 1% sahaja. Kerajaan negeri bertanggungjawab menambah kapasiti rawatan air manakala di bawah Perjanjian Konsesi,

SYABAS hanya dipertanggungjawabkan ke atas pengagihan air terawat kepada pengguna berdasarkan kuantiti yang dibekalkan oleh operator loji, syarikat konsesi yang dilantik oleh kerajaan negeri bagi merawat dan membekalkan air kepada SYABAS.

Kerosakan pada pam disebabkan rumah pam Wangsa Maju terpaksa beroperasi melebihi kapasiti rekabentuk sejak beberapa tahun kebelakangan ini bagi memastikan pengguna mendapat bekalan air. Kerosakan ini boleh berlaku dan telah berlaku walaupun ianya disenggara secara berjadual sepanjang masa. Keengganan kerajaan negeri Selangor meluluskan projek Loji Rawatan Air Langat 2 dan kelewatan dalam membangunkan sistem pam tambahan yang hanya diluluskan pada bulan Mac 2012 menyebabkan SYABAS terpaksa menguruskan rumah pam ini pada tahap ’overload’ untuk memenuhi permintaan yang tinggi.

Selain daripada itu, tindakan terhadap Puncak Niaga adalah tidak adil sekali kerana Puncak Niaga tidak terlibat dalam isu ini, sebaliknya telah membantu dalam mengoperasikan loji Sungai Langat pada tahap ‘overload’ sehingga 520 JLH daripada biasa 470 JLH.

15) Ahli Parlimen Ampang, YB Zuraidah Kamaruddin seperti disiarkan di Sinar Harian mendakwa bahawa SYABAS gagal menyediakan back-up bekalan air yang mencukupi kepada penduduk dan SYABAS tidak mempunyai pelan kecemasan untuk mengatasi masalah ini.

Dakwaan tersebut adalah tidak berasas kerana ‘back-up’ bekalan air wujud dengan adanya kapasiti rezab bekalan air terawat yang mencukupi. Pada masa ini, rezab kapasiti bekalan hanya sekitar 1%, jauh lebih rendah daripada paras selesa industri bekalan air (20%). Tanggungjawab bagi menyediakan rezab kapasiti bekalan air terawat yang mencukupi adalah kerajaan negeri, bukannya SYABAS. Situasi di kawasan Gombak dan Kuala Lumpur boleh dielakkan jika bekalan air terawat mempunyai rezab kapasiti yang mencukupi. Pihak SYABAS telah menjalankan tanggungjawabnya seperti yang terkandung dalam Perjanjian Konsesi. Namun demikian dalam keadaan-keadaan tertentu, SYABAS tidak dapat mengelak daripada berlaku masalah yang mengakibatkan SYABAS tidak dapat menjalankan obligasinya dengan berkesan jika terdapat pihak lain tidak menjalankan tanggungjawabnya.

Misalnya jika berlaku pencemaran sungai akibat tumpahan minyak dan loji-loji rawatan terpaksa berhenti operasinya, SYABAS tidak dapat menyalurkan air kepada pengguna. Namun sebagai memenuhi tanggungjawabnya SYABAS terpaksa membekalkan air menerusi lori-lori tangki bagi memastikan bekalan air sampai kepada pengguna. Namun demikian bukanlah tanggungjawab SYABAS untuk membersihkan sungai dari tumpahan minyak atau memastikan sungai tidak tercemar. Ianya adalah tanggungjawab pihak kerajaan negeri Selangor. Oleh itu adalah tidak adil untuk meletakkan kesalahan ini kepada SYABAS jika dalam isu gangguan bekalan air ini jika ianya berpunca daripada kegagalan kerajaan negeri menjalankan tanggungjawabnya. Apatah lagi kerana kerajaan negeri memiliki 30 peratus saham di dalam SYABAS tetapi membiarkan SYABAS berhadapan dengan segala kekangan tanpa menghulurkan sebarang bantuan, sebaliknya hanya mencari kesalahan dan kelemahan SYABAS semata mata.

Sementara itu, semasa krisis ini berlaku, Pelan Tindakan Kecemasan (ERP) Kod Kuning telah diaktifkan oleh SYABAS pada 29 Disember 2012 jam 8:00 pagi. Pelan ERP ini yang beroperasi 24x7 adalah sekretariat bertindak setempat bagi memantau dan mengurus bekalan bantuan air kepada pengguna yang menghadapi gangguan bekalan air. Bekalan air dihantar kepada pengguna bagi kawasan gangguan kali ini diberikan melalui lori-lori tangki (86 buah) dengan jumlah penghantaran sebanyak 2,891 trips (sehingga 12 tengah hari 12 Januari 2013) dan 287 tangki statik. Walau bagaimanapun, keupayaan pelan Tindakan Kecemasan adalah terhad kerana mana-mana bekalan air tidak dirancang, direkabentuk dan dibina untuk kegagalan (designed to fail).

Saya ingin menegaskan di sini bahawa sepanjang tempoh 39 tahun saya berada dalam industri perkhidmatan air, belum pernah terjadi keadaan di mana sebuah kerajaan negeri menghalang kerja-kerja penambahbaikan perkhidmatan yang memberi manfaat kepada rakyat. Kerajaan negeri Selangor perlu memikirkan soal kesejahteraan rakyat, kebajikan rakyat dan meluluskan program-program yang dicadangkan oleh SYABAS untuk kebaikan rakyat.

Sikap menyalahkan SYABAS yang memberikan perkhidmatan kepada rakyat tanpa memberikan bantuan yang sewajarnya selaku sebuah kerajaan adalah umpama 'Baling Batu Sembunyi Tangan'. Tindakan kerajaan negeri menghalang program-program menaiktaraf, membaik pulih, mengganti dan menjalankan projek-projek baru sistem agihan bekalan air menerusi pembekuan Perbelanjaan Modal (CAPEX) SYABAS adalah tidak wajar. Selain itu, kerajaan menghalang kenaikan tarif tetapi pada masa yang sama melemparkan tuduhan SYABAS tidak mempunyai sumber kewangan yang kukuh untuk menaik taraf sistem bekalan air sedangkan apa yang berlaku ialah kerajaan negeri sendiri menghalang program naik taraf dan menangguhkan kenaikan tarif.

Di samping itu, sementara pihak-pihak tertentu hanya berminat untuk menuding jari dan menyalahkan SYABAS tanpa apa-apa tindakan diambil untuk menyelesaikan isu ini, SYABAS telah pun memajukan cadangan dan mendapatkan kelulusan untuk membuat satu paip pintasan (bypass) untuk membawa air ke kawasan yang terganggu bekalannya di Kuala Lumpur.

Sukacita juga dimaklumkan bahawa kerja-kerja pintasan ini telah dilaksanakan mengikut kaedah ‘fast track’ dan telah siap semalam dan mula beroperasi petang semalam, iaitu satu hari lebih awal dari jadual asal. Seterusnya, bekalan air telah mula disalurkan melalui pintasan tersebut ke kawasan-kawasan AU3 dan kawasan- kawasan di Kuala Lumpur yang terjejas. Setakat hari ini, kesemua 100% kawasan di Gombak telah menerima bekalan air, sementara di Kuala Lumpur sejumlah 95% kawasan telah menerima bekalan air, dengan bakinya dijangka akan mendapat bekalan selewat-lewatnya pada esok pagi. Pintasan ini sebenarnya tidak perlu dibuat sekiranya projek Langat 2 dilaksanakan mengikut jadual ataupun rumah pam tambahan yang kerajaan negeri sendiri setuju untuk bangunkan pada bulan Mac 2012 dilaksanakan dengan lebih cepat dan bukan pada peringkat rekabentuk sahaja selepas sembilan (9) bulan berlalu.

Sebagai langkah sederhana (medium terms), sementara menunggu rumah pam tambahan siap dibangunkan oleh kerajaan negeri Selangor, SYABAS juga bercadang untuk melakukan kerja-kerja menaiktaraf (upgrading) di rumah pam sedia ada di Wangsa Maju ini. Kertas cadangan untuk kerja ini telah pun dihantar kepada pihak SPAN untuk kelulusan.

SYABAS juga berharap kerajaan negeri Selangor yang mempunyai tanggungjawab di bawah undang-undang untuk membantu menyelesaikan masalah-masalah berkaitan menambah kapasiti bekalan air terawat dapat melihat perkara ini dengan lebih serius dan mengambil tindakan sewajarnya bagi menyelesaikan isu ini. SYABAS hanya menguruskan perkhidmatan pengagihan air terawat yang dikeluarkan oleh syarikat-syarikat operator loji rawatan air yang dilantik oleh kerajaan negeri sendiri.

No comments:

Post a Comment