Minda Hijrah Headline Animator

Saturday, December 8, 2012

Veteran ATM Menerima Bantuan RM31.31 Juta Sejak 10 tahun lalu #JHEVbantuVeteran




Veteran ATM Menerima Bantuan RM31.31 Juta Sejak 10 tahun lalu #JHEVbantuVeteran

Kerajaan sentiasa mengambil berat mengenai hal ehwal kebajikan veteran- veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kerana ingin memastikan kehidupan mereka akan lebih terjamin serta terbela selepas tamat perkhidmatan.

Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor berkata, kerajaan telah membelanjakan sebanyak RM31.31 juta sejak 10 tahun lalu bagi membantu golongan veteran ATM menerusi skim- skim yang telah dilaksanakan oleh Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM.

“Jabatan Hal Ehwal (JHEV) ATM berfungsi untuk mempertingkatkan taraf sosioekonomi dan kebajikan veteran ATM dengan melaksanakan pelbagai skim seperti Skim Bantuan Kebajikan dan Pendidikan seperti bantuan sara hidup, bantuan persekolahan, bantuan peralatan pesakit, bantuan kemasukan ke institut pengajian tinggi serta bantuan bencana alam.

“Kerajaan turut membantu veteran ATM mendapatkan pekerjaan di sektor awam dan swasta, mendapatkan peluang dan kemudahan dalam bidang keusahawanan serta menyelaraskan khidmat bantuan dari jabatan dan agensi berkaitan,” katanya ketika berucap di Majlis Pelancaran Rayuan Hari Pahlawan 2012 di Auditorium Besar Angkasapuri hari ini. 

Rosmah yang juga merupakan Penaung Rayuan Hari Pahlawan berkata, kerajaan tidak pernah terlepas pandang terhadap golongan veteran dan membantu golongan ini dari semasa ke semasa.

Hadir sama pada majlis tersebut ialah Menteri Pertahanan Malaysia Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, isteri Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datin Seri Utama Masnah Raih serta Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zin.

Tambah Rosmah, kempen Rayuan Hari Pahlawan ini merupakan satu tindakan yang proaktif dan amat berkesan kerana telah berjaya mengumpulkan RM6.87 juta.

“Kolaborasi diantara Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM dan Persatuan Bekas Tentera Malaysia ini merupakan satu langkah yang baik kerana jumlah yang kita perolehi setakat ini amat memberangsangkan berbanding dengan tahun- tahun lepas, ” ujarnya.

Di majlis yang sama, sepuluh buah organisasi telah menyerahkan mock cheque kepada penaung kempen ini yang kesemuanya berjumlah RM2.2 juta.

Antara organisasi yang menyerahkan sumbangan ialah, Lembaga Tabung Angkatan Tentera sebanyak RM1 juta, MTU Services (RM300, 000), GPD Corporation Sdn. Bhd (RM250, 000), Boustead Naval Shipyard Sdn. Bhd (RM200, 000), Affin Bank (RM160, 000) serta Genting Malaysia Berhad sebanyak RM100, 000.

Disamping itu, Rosmah turut menyeru kepada masyarakat untuk menghargai pengorbanan yang telah dilakukan oleh golangan ini untuk mencapai kemerdekaan negara.

“Nilai wang ringgit tidak sama dengan segala kerahan jiwa raga yang telah diberikan oleh mereka. Bagi mereka, bukan simpati yang ditagih mahupun pingat kebesaran yang dicari, malahan bukan wang ringgit semata- mata tetapi cukuplah sekadarkesedaran dan ucapan terima kasih kepada mereka yang telah menggadaikan nyawa demi keamanan sejagat,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment