Minda Hijrah Headline Animator

Thursday, December 6, 2012

Veteran ATM Menerima Bantuan & Latihan sebelum Bersara #JHEVbantuVeteran




Veteran ATM Menerima Bantuan & Latihan sebelum Bersara #JHEVbantuVeteran

Semua warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan menjalani latihan peralihan dengan Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (Perhebat) sebelum bersara sebagai mempersiapkan diri bagi mengharungi kehidupan sebagai orang awam.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata setelah selesai latihan itu mengikut pilihan kemahiran dan minat masing-masing, mereka akan menceburi bidang kerjaya kedua sama ada di sektor awam atau swasta, menjadi usahawan atau peniaga.

Beliau berkata pada masa ini Perhebat menawarkan 38 jenis kursus antaranya pembangunan keusahawanan, kejuruteraan automotif, kejuruteraan elektrik dan elektronik, binaan dan kejuruteraan serta pengurusan perkhidmatan katering.

“Ini adalah sejajar dengan hasrat kerajaan untuk membekalkan mereka dengan ilmu mengikut kecenderungan masing-masing supaya dapat membina hidup baru selepas tamat perkhidmatan,” katanya pada sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Menurut Ahmad Zahid, sejak tahun 2005, Perhebat telah melatih lebih daripada 50,000 bakal pesara tentera dan akan terus berperanan dalam membantu golongan ini. Kurus pengurusan kewangan adalah antara yang penting dan sedang dilakukan oleh penceramah adalah dari Bank Muamalat dan Agensi Kaunseling & Pengurusan Kredit (AKPK)


Selain itu, beliau berkata Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) sentiasa membantu dalam meningkatkan pembangunan sosio ekonomi veteran ATM yang menceburi bidang keusahawanan dan pertanian supaya mereka mampu berdikari apabila sudah tiada lagi dalam perkhidmatan.

JHEV juga bertanggungjawab untuk menjaga kebajikan semua veteran melalui Skim Bantuan Kebajikan dan Pendidikan di mana melalui skim itu, bantuan sara hidup diberikan kepada mana-mana veteran yang daif dan 
miskin terutama mereka yang tidak berpencen. Ianya disalurkan dalam bentuk wang tunai atau kemudahan kesihatan, perumahan dan lain-lain lagi.

“Setakat ini, bantuan maksima yang diberikan ialah sebanyak RM300 sebulan. Selain daripada itu, JHEV juga menyediakan peruntukan yang secukupnya untuk bantuan bayaran perubatan termasuk rawatan hemodialisis, peralatan pesakit dan ubat-ubatan,” katanya.

Bantuan yang dihulurkan oleh JHEV dilakukan di seluruh Negara berdasarkan maklumat melalui persatuan-persatuan bekas tentera ataupun melalui media massa.

Selain itu, Kerajaan masih mempertimbangkan permintaan pemberian imbuhan khas kepada bekas warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang tidak layak mendapat pencen kerana berkhidmat kurang daripada 21 tahun diberikan bergantung kepada kemampuan kerajaan memandangkan pelbagai inisiatif dan bantuan khas dinikmati rakyat di negara ini termasuk veteran ATM.

Ketika ini, seramai 220,685 bekas warga ATM tidak layak mendapat pencen kerana berkhidmat kurang daripada 21 tahun, berbanding 100,333 veteran yang berpencen dan pelbagai bantuan berterusan dilakukan bagi membantu mengurangkan bebanan yang ditanggung warga veteran itu antaranya skim bantuan sara hidup, bantuan pendidikan anak-anak melanjutkan pengajian di peringkat universiti, bantuan bencana alam, perubatan percuma dan bantuan peralatan perubatan termasuk pembedahan.

No comments:

Post a Comment