Veteran ATM Menerima Bantuan di Pantu, Sarawak
#JHEVbantuVeteran
Adalah menjadi objektif utama Jabatan Hal Ehwal
Veteran (JHEV), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk membantu pesara/veteran
ATM untuk meningkatkan taraf sosio-ekonomi mreka setelah mereka keluar dari
perkhidmatan. Ini adalah usaha berterusan kerajaan di bawah Kementerian
Pertahanan Malaysia dengan peruntukan yang disediakan setiap tahun.
Masalah kesempitan hidup yang melanda pasangan
suami isteri Warga Emas dari Rumah Lanyau, Pantu akhirnya mendapat perhatian
kerajaan setelah kisah mengenai mereka disiarkan dalam akhbar Utusan Sarawak
(20 Mac).
Ia terbukti apabila Pengarah Jabatan Hal Ehwal
Veteran Negeri Sarawak iaitu Leftenan Kolonel Monday Juhid bersama rombongannya
bertindak turun padang untuk menemui pasangan keluarga tersebut.
“Pihak kami pun mengenalpasti masalah kemiskinan
yang dihadapi oleh Chama anak Manchu, 68, dan isterinya iaitu Januri anak
Samat, 60, setelah bertindak untuk turun padang menemui mereka.
“Atas sebab ini pihak kami telah bertindak
membantu Chama untuk memohon bantuan Skim Kebajikan Sara Hidup, Jabatan Hal
Ehwal Veteran bagi tujuan tindakan selanjutnya selepas ini,” katanya.
Bantuan yang dihulurkan oleh Jabatan Hal Ehwal
Veteran tidak terhenti setakat itu. Katanya juga akan membantu Chama untuk
disenaraikan dalam e – kasih demi memudahkan pihak beliau membantu memohon
rumah baru di bawah Program Perumahan Rakyat Termiskin.
Malah pihak Jabatan Hal Ehwal Veteran kata
Monday juga akan membuat kad keahlian Persatuan Bekas Tentera Malaysia untuk
Warga Emas terbabit bagi tujuan pengenalan identiti dan lain-lain urusan
kemudahan berkaitan di masa akan datang.
“Berhubung masalah kad pengenalan pula, beliau
(Chama) sudah pun boleh menuntut kad pengenalannya di Jabatan Pendaftaran
Negara, Kuching selepas ini setelah pihak kita memohon kad tersebut dihantar
dari Putrajaya ke sini,” katanya.
Monday juga menasihatkan bekas tentera yang
mengalami masalah kesulitan hidup agar bertindak melaporkan segera perkara
terbabit kepada Jabatan Hal Ehwal Veteran untuk tindakan susulan selepas ini
dalam usaha mereka membantu veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM)
“Kami juga ingin berterima kasih kepada pihak
Utusan Sarawak kerana membantu Jabatan Hal Ehwal Veteran untuk menjejak bekas
anggota tentera yang mengalami kesulitan hidup selama ini,” katanya.
Terdahulu Chama dan isterinya, Januri menetap di
sebuah pondok usang selama 31 tahun setelah berhenti dari perkhidmatan Angkatan
Tentera Darat Malaysia pada 22 Jun 1980 dahulu.
Beliau yang hanya mampu meraih pendapatan
sebanyak RM300 hingga RM350 sebulan itu pernah mengalami kecederaan di lengan
kiri dan dada akibat tembakan pengganas komunis ketika operasi di Sarikei pada
tahun 1972.
Kedua-dua Warga Emas terbabit hanya dikurniakan
seorang cahaya mata iaitu Rayong, 31, yang kini sudah berumahtangga dan bekerja
sebagai seorang mekanik di kawasan Pantu.
No comments:
Post a Comment