Pemimpin akar umbi DAP hari ini menyelar tindakan segelintir pemimpin atasan parti itu yang tamak untuk memonopoli jawatan untuk diri mereka sendiri.
Pengerusi DAP Taman Chi Liung Indah, K. Yogasigamany berkata sekiranya perkara ini tidak diatasi dengan segera, ianya akan menyebabkan ahli semakin menjauhkan diri dari parti dan aktiviti-aktiviti anjuran parti.
"Kita mempunyai banyak pemimpin yang berkaliber pada masa sekarang dan sebelum ini.
"Tetapi malangnya, pemimpin-pemimpin ini diketepikan disebabkan sikap tamak segolongan pemimpin yang ingin monopoli kesemua kedudukan ataupun jawatan untuk diri mereka sendiri.
"Salah satu contoh terbaik ialah bilangan ahli yang tidak hadir pada Konvensyen DAP Selangor baru-baru ini," katanya pada sidang media di sebuah restoran di sini, hari ini.
Pengerusi Kebangsaan DAP, Karpal Singh sebelum ini berkata, wakil rakyat DAP yang menyandang dua kerusi perlu memilih hanya satu kerusi untuk ditandingi pada pilihan raya akan datang.
Bagaimanapun, cadangan beliau itu mendapat bantahan daripada beberapa pemimpin DAP.
Yogasigamany, yang mewakili pemimpin akan umbi dari Selangor, turut merayu dan meminta semua perwakilan di Konvensyen Kebangsaan DAP menyokong penuh kepimpinan Karpal dan memberi kepada beliau di pemilihan pucuk pimpinan hujung minggu ini dengan majoriti yang lebih besar.
Bekas Ahli Majlis Bandaraya Shah Alam itu mendakwa, terdapat usaha untuk menjatuhkan Karpal pada Konvesyen Kebangsaan ke-16 DAP pada 15 dan 16 Disember di Pulau Pinang.
Tanpa menamakan individu tersebut, Yogasigamany berkata, usaha untuk menjatuhkan Karpal telah dikesan sebulan lalu apabila beberapa pemimpin DAP Selangor hanya mengiktiraf Lim Kit Siang, Lim Guan Eng dan 'seorang pemimpin wanita' sebagai pemimpin utama parti itu sahaja.
"Beliau (Karpal) adalah ikon DAP dan seorang yang berprinsip dan tidak berubah sejak dulu sehingga hari ini.
"Ada pemimpin DAP Selangor telah bertemu perwakilan dari DAP Klang dan meminta sokongan dari Kit Siang, Guan Eng, dan dirinya sendiri (pemimpin wanita DAP) yang mengiktiraf dirinya sebagai pemimpin, tetapi tidak menamakan Karpal.
"Ada ura-ura mahu Karpal digantikan dengan anaknya Gobind," katanya.
Jelas beliau lagi, DAP dan Pakatan Rakyat memerlukan Karpal untuk membetulkan semua tindakan yang tidak betul, khususnya dalam tempoh transformasi di barisan pembangkang terhadap parti pemerintahan.
No comments:
Post a Comment