Minda Hijrah Headline Animator

Saturday, December 15, 2012

Ibrahim Ali Nafi Dirinya & PERKASA Bersifat Perkauman

KUALA LUMPUR: Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali menafikan dirinya dan pertubuhan tersebut sebagai rasis kerana mendakwa mereka hanya mempertahankan apa yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan. 

Ahli parlimen Pasir Mas itu turut menambah, label rasis itu timbul oleh kerana Perkasa memperjuangkan hak Melayu dan Bumiputera walaupun ianya termaktub dalam perundangan tertinggi negara semenjak Malaysia mula merdeka pada tahun 1957.

"Saya perjuangkan agenda Melayu dan agenda Bumiputera, mengikut Perlembagaan, saya mempertahankan asas Perlembagaan dan Perkara 153 hak keistimewaan orang Melayu, ada pihak menuntut pada sesuatu perkara yang pada pandangan saya secara tidak langsung bertentangan dengan Perlembagaan, atau tuntutan yang bertentangan dengan dasar-dasar nasional," kata beliau dalam wawancara eksklusif bersama Sinar Harian Online.

Tambah Ibrahim, jika benar beliau adalah seorang rasis, mengapa sepanjang beliau menjadi pemimpin semenjak 1986 sehingga menjawat jawatan timbalan menteri, beliau tidak pernah dituduh rasis.

"Sepanjang saya memimpin Perkasa, orang tuduh rasis dan macam-macam lagi, saya tidak pernah menerima laporan polis terhadap saya, orang lain yang tidak kata rasis, mereka menerima banyak laporan polis, saya tak ada," katanya.

Ibrahim turut mempersoalkan mengapa orang tidak mengatakan apa-apa kepada pertubuhan Dong Zong dan Hindraf sedangkan menurutnya pertubuhan-pertubuhan tersebut lebih rasis kerana membuat tuntutan bertentangan dengan perlembagaan.

"Sebagai contoh bila Dong Zong tuntut macam-macam hal pendidikan, kita hanya tekankan kerajaan kena tegas, sebab ada tuntutan-tuntutan itu bertentangan dengan perlembagaan, begitu juga Hindraf sebelum ini mereka buat memorandum, mereka tuntut macam-macam, mereka burukkan nama negara, jadi kita kritik Hindraf mengapa mereka patut buat demikian, kenapa mereka perlu ke luar negara dan burukkan nama negara, jadi ini akhirnya mereka kata kita (Perkasa) rasis.

"Tidak pernah dalam sejarah sejak saya tubuhkan Perkasa, pernahkah saya mengeluarkan kenyataan yang menyuruh jangan bantu orang India, jangan bantu orang Cina?," tambah beliau. 

Menurut Ibrahim, dalam mempertahankan Perlembagaan negara, mereka bukan sahaja mempertahankan Islam sebagai agama persekutuan, Bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan, kedaulatan Raja Melayu, hak Melayu termasuk juga hak kerakyatan semua warganegara. 

"Siapa saja persoalkan hak kerakyatan kita tentang mereka, pasal kita inklusif, kita mempertahankan kontrak sosial dalam Perkara 153 termasuk kerakyatan, malah sekarang pun kalau orang India layak dapat kerakyatan, sebab ramai orang India bising kerana soal kerakyatan, kita tidak tentang, kalau kita rasis, kita akan tentang, cuma kalau kita nak tegur kerajaan, lakukan dengan betul, maknanya, orang yang layak saja boleh terima kerakyatan, kalau dia baru datang Malaysia satu atau dua tahun, mereka tak boleh dapat kerakyatan, tetapi kita tidak menentang supaya tidak beri kerakyatan ini, di mana yang dikatakan saya atau Perkasa rasis?," tambah beliau lagi.

Menurut Ibrahim, Perkasa dituduh rasis kerana dilabel oleh surat khabar Cina, termasuk terus memutar belitkan isu pemberian angpau bersampul putih walaupun dibuat dengan ikhlas tapi isu ini dibesarkan oleh portal berita Malaysiakini.

Ahli parlimen Pasir Mas itu menambah, mereka lakukan itu kerana sebab politik sebab mereka tengok pendirian Perkasa sebagai NGO tidak menyokong pembangkang. 

Pada pilihan raya 2008, Ibrahim Ali memenangi kerusi parlimen Pasir Mas dibawah tiket PAS.

Walaubagaimanapun tidak beberapa lama selepas itu, beliau mengisytiharkan dirinya sebagai ahli parlimen bebas dan menubuhkan NGO yang digelar Perkasa.

Perkasa aktif dalam memperjuangkan kepentingan bangsa Melayu dan seringkali mengkritik Pakatan Rakyat (PR) – gabungan PKR, PAS dan DAP yang dikatakan menggugat kepentingan  Melayu dan bumiputera sepertimana yang dijamin oleh perlembagaan persekutuan.

Kehadiran Perkasa tidak disenangi oleh sesetengah pihak terutamanya dari PR yang menggangap pertubuhan tersebut sebagai perkauman dan tidak menghormati Malaysia sebagai sebuah negara berbilang kaum.

- The Malaysian Insider


No comments:

Post a Comment