Majlis prapelancaran biografi itu disempurnakan Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah. Turut berangkat Sultanah Pahang Sultanah Kalsom.
Turut hadir Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan dan Pengerusi Yayasan Amanah Perdana Malaysia (YAPM) yang juga penerbit biografi itu Shamsulbahrin Ludin.
Buku setebal 164 muka surat itu dan berharga RM150 senaskhah ditulis oleh Siti Rohayah Attan dan Noraini Abdul Razak. Ia akan dilancar dan diedar untuk jualan bulan depan.
Pada majlis hari ini, sebuah lagu dicipta khas untuk Rosmah, bertajuk 'Wanita Perdana' didendangkan penyanyi terkenal tanah air, Misha Omar. Lagu itu dicipta oleh Pak Ngah (Datuk Suhaimi Mohd Zain) dan liriknya nukilan penggiat teater serta pengarah filem dan drama, Rosminah Tahir.
Rosmah turut menerima kejutan apabila diberi sambutan hari lahir beliau yang jatuh pada hari ini.
Pada sidang media kemudian, Ahmad yang juga penasihat kepada penerbitan biografi itu, berkata penerbitan buku tersebut diharap dapat memberi gambaran sebenar mengenai Rosmah dan menangkis pelbagai tohmahan yang dilemparkan terhadap beliau.
Katanya ini kerana kadang kala segala perjuangan yang dilakukan oleh isteri Perdana Menteri itu disalah anggap dan wujud tuduhan meleset tentang keikhlasan beliau dalam melaksanakan aktiviti untuk rakyat seperti Permata.
"Saya ingin maklumkan dalam buku ini yang pada saya amat menarik dan dinantikan ialah soal jawab oleh kedua-dua penulis dengan Datin Seri Rosmah dan beliau menjawabnya secara terus terang terhadap isu-isu yang dibangkitkan, pelbagai isu tohmahan dan fitnah dan dijawab oleh beliau," katanya.
Beliau berkata buku ini sesuai untuk semua peringkat umur terutama kumpulan dewasa, mereka yang terlibat dalam bidang pendidikan berikutan terdapat bab khusus mengenai Permata, orang politik dan juga orang biasa.
Shamsulbahrin pada sidang media yang sama, berkata buku itu ditulis secara santai dan idea untuk menerbitkannya tercetus ketika beliau berada di London pada Mei lalu untuk menghadiri majlis bersama Perdana Menteri dan isteri di negara berkenaan.
"Ekoran daripada pertemuan tersebut dan melihat laporan yang tersiar di Internet, saya mendapati banyak perkara yang dilaporkan bertentangan dengan apa sebenarnya yang terjadi.
"Hasil daripada kesedaran tersebut, saya berunding dengan Datuk Ahmad Maslan untuk merangka gerak kerja bagi menyediakan biografi ini, dengan dibantu dua penulis tersebut untuk menyediakan buku ini melalui proses penyelidikan, temu bual dan temu ramah terutama bersama Datin Seri Rosmah dan orang yang dikenal pasti," katanya.
Shamsulbahrin berkata penyediaan buku tersebut telah selesai dan pada masa ini dalam proses penelitian dan rebiu bagi tujuan percetakan.
Siti Rohayah pula berkata terdapat 12 bab dalam buku itu dan memaparkan kehidupan Rosmah sejak zaman kanak-kanak, remaja, zaman persekolahan, universiti, alam pekerjaan, perkahwinan, anak-anak dan keluarga serta kehidupan sebagai isteri pemimpin.
Terdapat pandangan rakan dan kenalan lama antaranya Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, rakan-rakan yang dikenali sejak 1964 di Kolej Tunku Kursiah yang mana pada zaman itu, beliau mempunyai empat rakan yang digelar pengetuanya sebagai 'the giddy group', mereka nakal tetapi cerdik dan pintar dan kebanyakan mereka ini adalah orang yang berjaya," katanya.
Katanya beliau mengenali isteri perdana menteri itu sejak awal perkahwinan Rosmah dan Najib, bukan selepas menjadi isteri timbalan perdana menteri atau perdana menteri.
"Kenapa saya bersetuju untuk menulis buku ini, saya menulis buku ini kerana saya sayang Datin Seri Rosmah dan saya mengenali hati budinya. Oleh kerana itu, apabila kita membaca sebuah buku, kita tidak boleh melihat kulit buku itu tetapi dari dalam," katanya. - Bernama
No comments:
Post a Comment