Minda Hijrah Headline Animator

Friday, November 23, 2012

Permohonan Rafizi ketepi tuduhan Bafia ditolak

Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Mohd Rafizi Ramli untuk mengetepikan pertuduhan mengikut Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan (Bafia) 1989 terhadapnya di Mahkamah Sesyen.

Hakim Datuk Ghazali Cha membuat keputusan itu selepas mendapati permohonan dibuat Mohd Rafizi bersifat pramatang berikutan saksi pendakwaan masih belum dipanggil untuk memberi keterangan.

Beliau berkata mahkamah tidak boleh membuat keputusan bahawa tiada kes prima facie hanya berdasarkan kepada keterangan sebelah pihak Mohd Rafizi.

"Terlalu awal juga untuk pemohon (Mohd Rafizi) menyatakan bahawa pertuduhan ke atasnya adalah 'mala fide' (berniat jahat), bermotifkan politik dan sebagainya.

"Afidavit jawapan yang difailkan oleh responden antara lain menyatakan bahawa terdapat bukti dalam bentuk keterangan langsung dan dokumen mengenai pertuduhan ke atas pemohon (Mohd Rafizi)," katanya.

Sehubungan itu, Ghazali berpuas hati bahawa tidak berlaku ketidakadilan undang-undang apabila Timbalan Pendakwa Raya memutuskan untuk mendakwa Mohd Rafizi di Mahkamah Sesyen.

Beliau berkata mahkamah juga tidak boleh mempersoalkan tindakan Timbalan Pendakwa Raya yang mempunyai kuasa mutlak di bawah Perlembagaan Persekutuan.

"Dengan ini mahkamah menolak permohonan pemohon (Mohd Rafizi) dan memerintahkan kes di Mahkamah Sesyen diteruskan tanpa sebarang kelewatan," katanya.

Peguam R.Sivarasa yang mewakili Mohd Rafizi kemudian memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihaknya akan memfailkan notis rayuan terhadap keputusan itu di Mahkamah Rayuan pada Isnin ini.

Beliau juga memohon supaya prosiding di Mahkamah Sesyen ditangguhkan sementara menunggu proses rayuan di Mahkamah Rayuan.

Ghazali membenarkan permohonan itu.
   
Mohd Rafizi, 35, didakwa mendedahkan dokumen penyata baki akaun pelanggan Public Bank iaitu National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFC), National Meat & Livestock Sdn Bhd, Agroscience Industries Sdn Bhd dan Pengerusi Eksekutif NFC Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail, yang beliau mempunyai akses, kepada Yusof Abdul Alim dan Erle Martin Carvalho di ibu pejabat PKR di Merchant Square, Jalan Tropicana Selatan, Petaling Jaya pada 7 Mac lepas.

Dia mengaku tidak bersalah ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada 1 Ogos lepas mengikut Seksyen 97(1) Bafia yang membawa hukuman maksimum penjara tiga tahun atau denda RM3 juta, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pada 10 September lepas, Mohd Rafizi memfailkan permohonan di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi di sini untuk mengetepikan pertuduhan ke atasnya atas alasan prosiding jenayah di Mahkamah Sesyen bermotifkan politik.- Bernama

2 comments:

  1. Berani buat beranilah tanggung...

    ReplyDelete
  2. Berani buat beranilah tanggung ...lepasni masuk dalam makan tanggung berak cangkung...

    ReplyDelete