Pas Perak menggesa
kepimpinan parti Pakatan Rakyat (PR) lain seperti PKR dan DAP turut mewajibkan
syarat ‘baiah’ terhadap calon-calon pilihan raya yang bakal diketengahkan
parti-parti berkenaan di negeri ini bagi mengelakkan senario lompat parti yang
berlaku sebelum ini berulang.
Pesuruhjaya Pas Perak, Abu
Bakar Hussain berkata, perkara ini pernah dibangkitkan Pas melalui mesyuarat
Sekretariat PR sebelum ini dan kedua-dua parti berkenaan berjanji untuk
mewujudkan satu mekanisme bagi mengatasi masalah calon ‘lompat parti’ sehingga
menyebabkan Kerajaan PR di Perak digulingkan pada tahun 2009.
Menurutnya, sehingga kini,
PR masih belum menemui formula terbaik dalam memastikan calon yang dipilih
tidak berpaling tadah dan pihaknya melihat pendekatan ‘baiah’ diguna pakai Pas
adalah langkah terbaik.
“Gesaan PKR dan DAP
meletakkan satu syarat khas bagi mengelakkan senario wakil rakyat lompat parti
berulang amat penting memandangkan krisis rampasan kuasa yang berlaku ke atas
PR sebelum ini benar-benar memberi kesan kepada hubungan PR.
“Tidak salah sekiranya PKR
dan DAP mengikut jejak langkah Pas dalam mewajibkan syarat ‘baiah’ terhadap
setiap calon dan ahli parti bagi memastikan kesetiaan terhadap parti dan lebih
utama, rakyat tidak dikhianati individu berkenaan,” katanya ketika dihubungi
Sinar Harian, semalam.
Abu Bakar berkata, Pas
Perak pernah mencadangkan perlaksanaan Enakmen Anti Lompat Parti sebagaimana
diluluskan Sidang Dun Pulau Pinang baru-baru ini.
Bagaimanapun, cadangan yang
dikemukakan pada sidang Dun sebelum ini tidak mendapat sambutan
memberangsangkan oleh sidang dewan.
“Pas sedia membawa semula
perkara ini untuk diberi perhatian sidang dewan sekiranya Pakatan Rakyat (PR)
memenangi semula negeri Perak pada PRU akan datang.
“Pas sama sekali tidak
berkompromi dengan tindakan wakil rakyat yang lompat parti kerana perbuatan itu
mengkhianati sokongan rakyat yang mahukan pembaharuan dari PR,” katanya.
Sementara itu, Abu Bakar
turut menegaskan Pas Perak bakal mempertaruhkan sebahagian besar calon muka
baru termasuk penambahan calon Muslimat Pas bagi memastikan parti itu membantu
kemenangan Pakatan Rakyat (PR) pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Menurutnya, seramai 65
hingga 70 peratus daripada bilangan kerusi diperuntukkan parti itu bakal diisi
oleh calon muka baru terdiri daripada sayap Pemuda, manakala tambahan satu
kerusi bakal diperuntukkan kepada calon Muslimat.
“Strategi mengetengahkan
ramai muka baru sebagai calon pilihan raya penting demi memastikan parti
mendapat nafas baru selain memenuhi kehendak pengundi yang mahukan pemimpin
lebih dinamik, cergas dan berkarisma,” katanya.
SELAMAT TINGGAL PAS....SEJAK SEKIAN LAMA KOJE NYYA HANYA MENIPU RAKYAT !!
ReplyDelete