Minda Hijrah Headline Animator

Wednesday, October 31, 2012

Tiga versi hudud PAS... mana satu nak laksana?

Baru-baru ini, kita melihat satu keberanian luar biasa yang ditunjukkan oleh beberapa pemimpin Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang berkumpul di hadapan Wisma MCA, Kuala Lumpur kerana membantah kenyataan Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek tentang hukum hudud.

Tetapi persoalannya kenapakah Pas dan pemimpin Melayu PKR hanya berani berhadapan dengan pemimpin MCA? Bagaimanakah dengan pemimpin DAP yang sejak dulu, kini dan selamanya membantah hukum hudud? Apakah kerana DAP adalah sekutu dalam pakatan pembangkang maka pemimpin parti itu tidak perlu diprotes jika mereka menentang hukum berkenaan?

Inilah sikap hipokrit pemimpin Pas dan pemimpin Melayu dalam PKR! Sepatutnya mereka bertanya kenapakah ada pemimpin bukan Islam yang berani memperlekehkan hukum hudud?

Tidakkah ia berlaku kerana sikap Pas yang gagal menjelaskan banyak kecelaruan terhadap hukum berkenaan sehinggalah ia dilihat bertentangan dengan apa yang ditetapkan oleh Allah SWT.

Sememangnya banyak perkara jika mahu dipersoalkan, tetapi penulis paparkan beberapa sahaja persoalan besar yang timbul terhadap isu hukum hudud Pas ini.

Persoalan utama yang perlu dijawab ialah berhubung wujud tiga versi tentang hukum hudud parti itu. Pertama, hudud Pas Kelantan yang dinamakan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) 1993 mempunyai 72 fasal. Kedua, hudud Pas Terengganu yang dibentang di seminar pada 12 Mei 2002 bernama Draf Cadangan Undang-undang Kesalahan Jenayah Syariah (Hudud dan Qisas) Terengganu mempunyai 74 fasal. Dan ketiga, Rang Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (EKJS) (Hudud dan Qisas Terengganu yang mengandungi 67 fasal sahaja.

Oleh itu versi mana yang Pas hendak laksanakan? Tambahan pula ketika mula-mula isu hukum hudud ini diperkenalkan oleh Pas, terdapat perbezaan antara hukum hudud Pas Kelantan dan Pas Terengganu.

Pas Kelantan melalui Rang Undang-undang Kanun Jenayah Syariah (ii) 1993 Negeri Kelantan pada perkara (4) Bahagian 1 menetapkan hanya enam jenis kesalahan yang perlu dihukum dengan hukum hudud iaitu zina, qazaf (tuduh zina tanpa bukti), mencuri, minum arak, murtad dan merompak.

Bagaimanapun Pas Terengganu pula menetapkan tujuh kesalahan dengan memasukkan bughah (derhaka). Apabila dikritik kerana terdapat perbezaan antara kedua-dua Pas itu, maka Pas Terengganu menggugurkan bughah.

Selain itu hudud yang hendak dikemukakan oleh Pas boleh berubah-ubah dan ini terbukti dalam Seksyen 9 dalam hudud Pas Terengganu yang dianggap menzalimi wanita itu memperuntukkan bahawa: "Seseorang yang mengadu diri dirogol dengan tiada bukti yang nyata atau tiada sebarang qarinah (bukti yang kuat selain saksi) yang menyokong dakwaannya telah melakukan kesalahan qazaf (hukuman tuduhan zina yang dikenakan 80 kali sebatan)."

Tetapi selepas ditentang oleh pelbagai pertubuhan wanita termasuk wanita dalam Pas sendiri, maka parti itu pun meminda dan mengubahsuai Seksyen 9 dengan ditambah subseksyen 2 kepadanya. Subseksyen 2 itu memperuntukkan:

''Aduan oleh seorang perempuan yang dia dirogol oleh orang tertentu tanpa berupaya membawa saksi yang disyaratkan tetapi ada qarinahnya, hendaklah disiasat dan jika syarat-syarat yang dikehendaki syarak tidak dipenuhi untuk menghukum pesalah di bawah hukuman hudud dan sebaliknya ada cukup bukti yang tidak boleh disangkalkan dengan keterangan sama ada secara langsung atau tidak langsung yang menunjukkan pesalah telah melakukan persetubuhan ke atasnya dengan kekerasan dan tanpa kerelaannya maka pesalah itu hendaklah dihukum dengan hukuman takzir dan perempuan itu boleh dikatakan telah melakukan qazaf."

Pindaan dan pengubahsuaian itu hanya mampu menyebabkan wanita yang dirogol terlepas daripada hukuman qazaf (80 sebatan) jika dia membuat pengaduan bahawa dia dirogol dan tidak dapat membawa qarinah atau bukti yang kuat dan mencukupi selain daripada empat orang saksi. Bagaimanapun, pindaan dan pengubahsuaian tersebut belum memadai untuk menjadikan Seksyen 9 itu terbebas daripada kezaliman. Ini kerana subseksyen 2 hanya memperuntukkan hukuman takzir terhadap perogol.

Hukuman takzir adalah hukuman ringan yang tidak ditetap kadarnya secara muktamad oleh al-Quran.

Begitu juga dalam soal hukuman terhadap bukan Islam. Dalam soal ini bekas Setiausaha Dewan Ulama Pas Kelantan, Wan Ismail Wan Ahmad, 86, pernah mendedahkan pada awal tahun ini bahawa bahawa hukum hudud yang diperjuangkan Pas tidak lagi berlandaskan al-Quran dan hadis kerana ia telah dipinda pada 1993 susulan daripada kerjasama antara Pas, Semangat 46 (S46), DAP dan Parti Bersatu Sabah (PBS) pada Pilihan Raya Umum 1990.

Menurut beliau, pada Pilihan Raya Umum 1986, Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang ketika itu Pesuruhjaya Pas Kelantan telah mengeluarkan manifesto antara lain pelaksanaan undang-undang Islam turut berkuat kuasa ke atas orang bukan Islam tetapi pindaan telah dibuat di mana hukuman hudud tidak akan dikenakan kepada masyarakat bukan Islam dan hudud kepada orang bukan Islam tidak termasuk dalam perkara yang dinaskan al-Quran dan hadis.

"Di sinilah bermula perbezaannya. Asalnya pada 1986 dalam muka surat lima manifesto dinyatakan iaitu menguatkuasakan undang-undang Islam di seluruh negeri dengan tidak meletakkan perbezaan atas sebab-sebab berlainan keturunan, bangsa, agama dan pangkat kecuali perkara berhubung dengan ibadat dan undang-undang kekeluargaan.

"Dalam muka surat 24 pula dinyatakan bahawa hak-hak orang bukan Islam sama sahaja di sisi undang-undang jenayah dan sivil dengan orang-orang Islam dan ini adalah hudud sebenar berlandaskan Islam,'' katanya.

Pas juga sehingga kini gagal memberikan penjelasan berhubung dakwaan Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Datuk Zulkifli Noordin yang pada 20 Oktober 2011 membangkitkan persoalan Seksyen 14 Enakmen Jenayah Syariah, Qisas dan Takzir yang digazetkan pada 2004 berhubung hukum meliwat isteri.

Ketika membentangkan hujahnya dalam sidang Dewan Rakyat, Zulkifli berhujah, "Paling saya terperanjat, ada berbelas-belas kesilapan yang bercanggah dengan Islam tapi yang saya nak tunjuk, ini bukan datang dari syariat Islam. Contoh, berkaitan dengan liwat. Disebut dalam ini (enakmen) liwat ialah (dalam) Seksyen 14. Ini enakmen yang telah digazetkan.

"Tafsiran liwat (di dalam enakmen) ialah satu kesalahan yang merupakan persetubuhan di antara seorang lelaki dengan seorang lelaki... kita faham lah itu... atau di antara lelaki dengan seorang perempuan yang dilakukan di luar tabii iaitu melalui dubur. Yang saya terperanjat dia (hukum hudud) kata 'selain daripada isterinya'. Makna kata kalau seorang suami bersetubuh melalui dubur isteri itu (bermakna) tidak liwat dalam hudud Pas ini," kata Zulkifli.

Beliau juga mendedahkan di dalam enakmen itu berhubung pelantikan hakim yang turut membenarkan orang bukan Islam dilantik menjadi hakim bagi undang-undang hudud serta perkara berkaitan qazaf yang melibatkan empat saksi bagi zina di mana sekiranya salah seorang saksi menarik diri maka tiga lagi saksi boleh dihukum.

Itu belum lagi mengambil kira bagaimana Penasihat Agama Menteri Besar Terengganu, Mohd. Kamal Saidin menegaskan hukum hudud yang digubal kerajaan Pas Kelantan bertentangan dengan al-Quran dan hukum Allah.

Mohd. Kamal mengambil contoh bagaimana hukum hudud Pas menetapkan, had umur bagi 'Mukkalaf' atau akil baligh ialah 18 tahun ke atas sedangkan di dalam Islam, 'Mukkalaf' ini adalah pada usia 15 tahun ke atas.

Sebenarnya bagi lagi perkara berkaitan hukum hudud Pas yang dilihat bercanggah dengan hukum hudud yang ditetap oleh Allah SWT.

Atas sebab itulah, Pas seharusnya memberi tumpuan untuk memperbetulkan kelemahan dalam hukum hududnya dan bukan terus menuduh pihak lain menolak Islam.

Sebagai orang Islam tidak siapa pun yang menolak hukum hudud tetapi biarlah ia benar-benar hukum hudud yang ditetapkan oleh Allah SWT dan bukan diwujudkan demi kepentingan politik mana-mana pihak.-

1 comment: