Antarapos.com - Kerajaan negeri Selangor hari ini mengarahkan projek pembinaan dua blok kondominium 29 tingkat berhampiran kuil di Batu Caves dihentikan buat sementara waktu ekoran desakan pelbagai pihak.
Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata sebuah jawatankuasa bertindak bebas akan dibentuk esok untuk menangani masalah tersebut.
Beliau berkata anggota jawatankuasa itu akan dilantik oleh Dewan Undangan Negeri Selangor.
"Anggota jawatankuasa akan dilantik dari kalangan profesional seperti peguam, bekas hakim dan perancang bandar," katanya pada sidang akhbar di Lobi Parlimen hari ini.
Ditanya sama ada pihak pengurusan kuil Batu Caves akan dilantik dalam jawatankuasa itu, Abdul Khalid berkata ia tidak membabitkan mereka yang berkepentingan termasuk dari pengurusan kuil tersebut.
Kira-kira 300 orang mengadakan demonstrasi di depan Kuil Sri Subramaniar Swamy pada 26 Oktober lepas bagi membantah cadangan pembinaan kondominium berhampiran bukit batu kapur di Batu Caves.
Bagaimanapun Exco Selangor, Dr Xavier Jayakumar ketika dihubungi Antarapos hari ini menyalahkan Ahli Jawatankuasa Persatuan Kuil Sri Subramaniam Swamy kerana tidak membantah lebih awal projek pembinaan kondominium 29 tingkat berhampiran Batu Caves.
Malah, beliau turut mempersoalkan mengapa bantahan dikemukakan selepas pembinaan projek itu diluluskan sejak empat tahun lalu.
"Sebab-sebab projek tu dipertikaikan oleh persatuan Kuil Sri Subramaniar Swamy sahaja, empat tahun dahulu (persatuan) kuil tak ambil soal untuk mempertikaikan projek ini, kalau kita ada bantahan sahaja majlis tempatan boleh ambil tindakan-tindakan sewajarnya.
"Tetapi tidak ada bantahan macam mana kita nak buat sesuatu, pihak kuil tak boleh lepas tangan sebab empat tahun mereka diam dan sebelah kuil ada bangunan yang pamerkan ini semua. Ada beberapa orang jawatankuasa kuil juga (sudah beli) kondominum itu...sudah tempah," katanya dihubungi Antarapos.
No comments:
Post a Comment