Minda Hijrah Headline Animator

Wednesday, October 10, 2012

Shahnon Ahmad : PAS Tak Tepati Islam

Perjuangan politik PAS kini tidak lagi menepati kehendak Islam apabila parti itu bekerjasama dengan DAP, kata ahli seumur hidup parti itu, Prof Emeritus Datuk Dr Shahnon Ahmad.

Beliau yang juga Sasterawan Negara berkata, apa yang dilakukan PAS sekarang ialah hanya menuruti kehendak politik DAP dan pendekatan seumpama itu bercanggah dengan kehendak Islam kerana PAS sepatutnya memimpin dalam memperjuangkan Islam.

Bercanggah cara Rasulullah

Shahnon berkata adalah sangat menyedihkan kerana kerjasama PAS dengan DAP itu bukan seperti yang diharapkan dan ia bercanggah dengan pendekatan yang diambil Rasulullah SAW ketika memerintah dan bekerjasama dengan golongan bukan beragama Islam.

"Sepatutnya DAP tertakluk kepada peraturan Islam, kalau mereka hendak bekerjasama dengan PAS," katanya.

Beliau yang juga bekas Ahli Parlimen Sik, berkata dasar PAS sekarang tersasar daripada perjuangan asalnya apabila terpaksa menuruti kehendak DAP.

DAP menyatakan tidak akan menyokong penubuhan negara Islam seperti yang dimahukan PAS.

Shahnon yang pernah bertugas sebagai Pengarah Pusat Islam Universiti Sains Malaysia (USM) berkata, pendekatan Rasulullah SAW bekerjasama dengan kaum Yahudi, Kristian dan munafik bukan seperti kerjasama PAS dan DAP kerana ketika itu Islam memerintah dan memimpin mereka.

E-novel Mahabbah

Terdahulu itu, beliau menghadiri perasmian pameran 'Shahnon Ahmad dalam Media, Persidangan Kebangsaan Shahnon Ahmad dalam Sastera, Budaya, Media' dan pelancaran buku serta prototaip e-novel Mahabbah di USM, semalam.

Menyentuh e-novel Mahabbah, Shahnon berkata ia mengenai perjuangan seorang tua yang tiada kuasa tetapi ada hati menyatupadukan orang Melayu menerusi doanya kepada Allah. E-novel itu turut melambangkan masyarakat Malaysia yang berbilang kaum tetapi bersatu untuk hidup damai dan harmoni. – BERNAMA

No comments:

Post a Comment