Kesilapan kecil ini bukanlah sesuatu yang biasa bagi Anwar kerana beliau selama ini cukup bijak mengatur kata-kata dan tindakan dalam berpolitik sehingga berjaya memperdaya begitu ramai orang termasuk Yahudi dan pemimpin bertaraf dunia, Tun Mahathir Mohamad selama berpuluh-puluh tahun.
Namun, akhir-akhir ini, Anwar kerap membuat kesilapan sama ada kerana terperangkap dalam situasi yang sukar seperti apabila disoal mengenai pendiriannya terhadap Israel dan undang-undang liwat, atau kerana gabra terkantoi seperti kes jam omega.
Tetapi dalam kes pengumuman anugerah Menteri Besar Terbaik, Anwar tidak berada di dalam keadaan tertekan, terdesak atau terperangkap. Justeru, kemungkinan pengumuman tersebut bukan kesilapan tetapi Anwar memang benar-benar berniat membuat pengumuman itu tanpa memikirkan kesannya.
Pakatan Rakyat mempunyai 4 Menteri Besar dan bagi Anwar untuk memuji salah seorang pastinya akan membangkitkan rasa kurang senang di kalangan 3 yang lain. Sedangkan, prestasi seseorang MB tidak wajar diadili melalui pendapatan negeri kerana setiap negeri mempunyai masalah yang berlainan berdasarkan sumber negeri dan landskap masyarakat.
Di sudut lain pula, memilih untuk memuji seorang MB sebagai terbaik juga dilihat sebagai cubaan menyelamatkan MB tersebut yang telah dilihat lemah. Ini adalah strategi biasa politik di mana apabila seseorang politikus itu semakin lemah, maka semakin banyaklah puji-pujian dilemparkan sekadar untuk memastikan pengundi terus yakin dengan parti.
Oleh itu, tindakan Anwar memuji Khalid berlebihan menjadi senjata yang bukan sahaja makan tuannya tetapi semua orang-orang disekelilingnya sekali. Menurut beberapa blog, tindakan ini boleh ditafsirkan sebagai talian hayat untuk Khalid tatkala prestasi MB dilanyak teruk oleh Azmin Ali dan kumpulannya dengan menjadikan Faekah Hussin, Setiausaha Politik MB sebagai kambing hitam.
Dan secara semulajadi, apabila ada yang terbaik, pastinya ada yang tercorot. Jadi, siapakah MB PR yang tercorot? Walaupun Anwar tidak mengumumkannya, tetapi mengikut logik, Nik Aziz yang telah memerintah Kelantan selama 22 tahun pastinya secara automatik menjadi yang tercorot.
Memuji Khalid yang belum sampai sepenggal menjadi MB secara tidak langsung boleh ditafsirkan sebagai menyindir Nik Aziz kerana tidak berjaya membangunkan Kelantan dari apa-apa segi sekali pun. Malah, Kelantan kekal sebagai negeri termiskin dan termundur di dalam Malaysia selama lebih dua dekad.
Dalam masa yang sama, bukan rakyat tidak tahu bahawa Khalid Ibrahim juga adalah MB yang lemah, walaupun tidak selemah Nik Aziz tetapi tetap lemah dalam kategori seorang MB. Di bawah beliau, isu-isu politik yang merugikan PR tidak mampu ditangani dengan baik. Antaranya, isu murtad, arak dan rumah-rumah urut.
Selain itu, di bawah Khalid juga rakyat menyaksikan UNISEL lingkup, peniaga Melayu di PKNS kini menghadapi risiko, tanah YBK ingin dirampas, isu air yang semakin hari semakin meruncing tetapi kerajaan Selangor masih tidak memberi jawapan bagi penyelesaian yang meyakinkan.
Justeru, walaupun pada dasarnya, Anwar dilihat sebagai memuji Khalid, tetapi tafsiran yang dibuat oleh rakyat ialah Anwar cuba memulihkan imej Khalid dan menyindir Nik Aziz sekali gus. Tindakan Anwar bagaikan membaling sebiji batu tetapi terkena dua ekor burung yang bukan menjadi sasarannya.
Walau apapun, Nik Aziz wajar difahamkan akan isyarat Anwar ini. Anwar diketahui tidak pernah mempunyai rasa hormat terhadap PAS. Oleh itu, secara tidak langsung, sindiran terhadap Nik Aziz tersebut merupakan cara halus untuk Anwar mengingatkan PAS betapa lemahnya mereka dan betapa mereka tidak layak untuk duduk sama tinggi dengan PKR atau DAP dalam PR.
PAS tidak mampu membangunkan walau satu negeri dalam masa 22 tahun, bagaimana PAS boleh bermimpi untuk memberi tekanan kepada PKR dan DAP untuk melaksanakan hudud atau apa saja yang berkaitan undang-undang Islam jika PR memerintah?
Kesimpulannya, Anwar telah berusaha untuk memberi 'muka' kepada Khalid tetapi langsung tidak berbuat yang sama terhadap Nik Aziz. Anwar secara halus telah mengesahkan bahawa Nik Aziz adalah lemah, dan bahawa PAS adalah tidak lebih dari sekadar tukang sorak dan tukang cuci bagi PR.
sebenarnya disebabkan pergolakan tiga parti pembangkang ni akhirnya rakyat yang teruk.
ReplyDelete