Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo BANYAK sahabat dan pemberita bertanyakan saya mengenai kontroversi sambutan Hari Kemerdekaan Negara peringkat negeri Selangor yang ke-55 pada 31 Ogos lalu. Kontroversi ini berlaku kerana Kerajaan Negeri tidak menjemput Tuanku Sultan Selangor sebagai tetamu kehormat acara utama kerajaan negeri ini.
Jawapan saya ialah, kerajaan Negeri Selangor di bawah Barisan Nasional sentiasa menjemput Tuanku Sultan Selangor ke acara-acara kebesaran negeri termasuklah Sambutan Hari Kemerdekaan Negara peringkat negeri.
Tuanku sebagai tunggak pemerintahan negeri tidak wajar diketepikan atau dilupakan. Selain itu, Barisan Nasional juga amat menghargai dan menghormati sumbangan para Sultan termasuk susur galur Tuanku Sultan Selangor yang banyak menyumbang dan menyokong usaha mendapatkan kemerdekaan daripada Inggeris.
Acara sambutan Hari Kemerdekaan peringkat negeri merupakan antara acara utama kepada negeri Selangor. Tuanku Sultan Selangor akan dijemput menghadiri Bacaan Yassin dan Tahlil sempena hari Kemerdekaan, ini diikuti dengan sambutan Ambang Kemerdekaan pada malam 30 Ogos dan akhirnya acara kemuncak Perbarisan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Selangor pada pagi 31 Ogos. Adalah menjadi satu kemestian untuk kerajaan negeri menjemput Tuanku Sultan Selangor sebagai tetamu kehormat acara ini.
Lazimnya Tuanku Sultan akan menghadiri bacaan Yassin dan Tahlil dan Perbarisan Hari Kebangsaan peringkat negeri. Manakala bagi sambutan Ambang Merdeka yang diadakan menjelang detik 12 malam, selalunya Tuanku Sultan hanya mewakilkan Menteri Besar.
Saya difahamkan kerajaan negeri tidak mengadakan mengadakan Perbarisan Hari Kebangsaan peringkat negeri pada pagi 31 Ogos seperti kelazimannya. Sebaliknya, perbarisan tersebut diadakan pada malam 30 Ogos 2012. Oleh itu adalah wajib Tuanku Sultan Selangor dijemput untuk menyertai program kemuncak sambutan kemerdekaan peringkat negeri Selangor pada malam tersebut.
Malangnya ini tidak berlaku kerana Pakatan tidak dapat memisahkan kepentingan politik kepartian dengan pentadbiran negeri. Ketika mereka menuduh kononnya, kerajaan Persekutuan menjadikan sambutan hari kemerdekaan acara politik, apa yang yang mereka lakukan sama seperti pepatah "mengata dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih."
Menteri Besar pada mulanya menyatakan bukan amalan kerajaan negeri menjemput Tuanku Sultan ke acara sambutan kemerdekaan peringkat negeri. Namun setelah menyedari kesilapannya, beliau dan konco-konconya menyalahkan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Khusrin Munawi, yang tidak menjemput Tuanku.
Alasan awal Menteri Besar ini mendedahkan niat sebenar beliau untuk tidak menjemput Tuanku. Ini kerana kehadiran Tuanku akan menyebabkan Penasihat Ekonomi Negeri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, tidak akan menjadi tetamu utama malam tersebut.
Saya mendapat maklumat bahawa kerajaan negeri mahukan Anwar Ibrahim sebagai tetamu utama sambutan Kemerdekaan peringkat negeri Selangor.
Saya fikir atas sebab inilah Mohd Khusrin Munawi tidak menjemput Tuanku Sultan Selangor. Sebagai seorang pegawai kanan kerajaan beliau mengetahui bahawa adalah salah dari segi protokol untuk menjemput Tuanku Sultan Selangor ke majlis peringkat negeri yang tetamu utamanya bukanlah Tuanku sendiri.
Dari segi bidang tugas memang tanggungjawab Khusrin menjemput para tetamu kehormat dalam acara sambutan kemerdekaan. Namun tugas Khusrin terhad kepada susunan protokol sedia ada. Menteri Besar dan barisan Exco negeri harus mengambil tanggungjawab ini. Jika Menteri Besar telah menentukan Anwar Ibrahim sebagai tetamu kehormat majlis tersebut, apakah Menteri Besar berharap Khusrin akan melakukan jemputan kepada Tuanku Sultan?
Tindakan menjadikan Anwar Ibrahim sebagai tetamu utama sambutan kemerdekaan peringkat negeri Selangor menunjukkan Pakatan bukannya BN yang bermain politik kepartian dalam sambutan kali ini. Jika mahu menjadikan Anwar sebagai tetamu utama eloklah dibuat sambutan kemerdekaan Pakatan atau PKR sahaja.
Sebelum ini Menteri Besar Selangor merupakan orang kedua dalam hirarki kerajaan negeri selepas Tuanku Sultan. Sekarang ini Menteri Besar sudah menjadi orang nombor tiga kerana Penasihat Ekonomi negeri lebih utama dari beliau.
Cuma kita belum pasti siapa nombor satu dalam hirarki kerajaan negeri Selangor - Tuanku Sultan atau penasihat Ekonomi. Dalam keadaan sekarang seolah-olah Selangor mempunyai dua Sultan. Seorang Sultan sebenar, manakala seorang lagi didewakan seumpama raja di Selangor ini sehinggakan kedudukannya lebih tinggi daripada Menteri Besar.
Inilah kali pertama sejarah politik negeri Selangor menyaksikan satu permainan politik yang rakus, sombong dan bongkak sehingga tidak menghormati institusi-institusi sedia ada termasuk institusi beraja. Dengan sedikit kemenangan dalam pilihan raya lalu mereka sudah "bersultan di mata, beraja di hati" sehingga Sultan sebenar dikesampingkan. Bayangkanlah jika mereka mempunyai kuasa yang lebih besar nanti.
* Dr Mohamad Khir Toyo, bekas Menteri Besar Selangor
No comments:
Post a Comment