Pada setiap tahun sejak 1963, September 16 merupakan hari untuk memperingati penubuhan persekutuan Malaysia.
Sepanjang lima dekad ini, negara Malaysia telah ditadbir oleh kerajaan Barisan Nasional yang telah melalui liku perjalanan yang penuh dengan cabaran dan rintangan daripada kuasa asing.
Sebelum ini Malaysia diancam oleh kuasa asing seperti British, Jepun, Belanda, Singapura, Indonesia, Filipina dan sebagainya tetapi kini bumi yang bertuah ini pula menerima ancaman daripada anasir dalaman (Pakatan Rakyat) untuk meruntuhkan tamadun Malaysia yang sudah lama dibina oleh Barisan Nasional.
Politik jijik dan kotor semakin meningkat hanya disebabkan cita–cita dan impian seorang individu untuk menjadi Perdana Menteri negara kita.
Adakah keseluruhan kemajuan, kestabilan dan kedaulatan negara kita hendak kita robohkan hanya demi membantu memenuhi hawa nafsu seseorang individu untuk menjadi Perdana Menteri negara kita?
Dahulu bangsa Melayu, Cina, India, Kadazan, Bidayuh dan pelbagai rakyat etnik Malaysia hidup dengan aman dan bersatu. Namun, perpaduan dan keamanan yang sudah lama kita nikmati bersama sudah berada pada tahap keretakan sejak penubuhan Pakatan Rakyat yang sanggup bersikap Machiavelli dengan melakukan apa–apa sahaja demi menawan Putrajaya.
Mereka terus memainkan sentimen perkauman bagi membakar api kemarahan dan kebencian rakyat terhadap sesebuah kerajaan yang sudah lama berbakti dan berjasa kepada negara.
Mereka terus menyemarakkan api kemarahan dan kebencian rakyat dengan menumpah minyak penipuan dan pembohongan. Mereka sanggup menaburkan janji–janji yang tidak realistik demi memberi harapan palsu kepada seluruh rakyat Malaysia termasuk menjanjikan bumi dan langit.
Mereka sanggup merisikokan keselamatan rakyat dan nyawa ribuan rakyat Malaysia dan memperdaya mereka untuk bangkit bertindak ganas dan berdemonstrasi di jalanan.
Negara Malaysia, sekiranya rakyatnya tidak membuka mata dan telinga dan terperangkap dalam agenda jahat Pakatan Rakyat, sudah semakin hampir dengan ambang zaman kegelapan.
Runtuhnya tiang Barisan Nasional yang selama ini menunjangi kestabilan, keamanan dan perpaduan negara Malaysia maka runtuhnya sinar dan cahaya negara Malaysia yang tercinta.
Mereka terus menjampi dan memukau rakyat dengan segala seribu harapan yang realitinya indah khabar dari rupa.
Laungan reformasi mereka hanya akan membasikan negara kia. Laungan Bersih mereka hanya akan membersihkan segala nikmat yang telah lama kita kecapi.
Ulang tahun keempat pembohongan
Laungan perubahan mereka hanya akan mengubah negara kita kepada keruntuhan dan kemusnahan serta kehancuran yang sukar untuk kita bayangi.
Hari demi hari mereka terus menambah bisa mereka yang lebih berbisa daripada bisa seekor ular demi meracuni pemikiran rakyat negara kita yang kurang peka terhadap niat tersirat mereka.
Apa yang tersurat hanyalah lakonan dan drama semata–mata. Mereka sebenarnya merupakan barah yang sukar untuk dikesan dan hanya akan mula menyerang pada tahap yang kritikal dan pada ketika itu sudah lambat untuk kembali kepada lambang kestabilan dan keamanan yang menjadi kemegahan dan tradisi negara kita selama ini.
Mereka sanggup melacurkan jiwa dan prinsip mereka dengan terus membutakan mata dan memekakkan telinga rakyat demi mencapai agenda jahat mereka.
Hari ini juga merupakan ulang tahun pembohongan terbesar dalam sejarah tanah air kita apabila tarikh ini merupakan ulang tahun keempat pembohongan Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa akan berlakunya kejatuhan negara melalui hasrat beliau untuk menumbangkan Barisan Nasional pada tahun 2008.
#Shen Yee Aun adalah Presiden NGO Kami Sayangi Selangor dan Malaysia Youth Rights Movement.
No comments:
Post a Comment