Minda Hijrah Headline Animator

Wednesday, August 29, 2012

Nasharudin Mat Isa dapat sokongan pimpinan PAS

Selepas menerima sokongan secara terbuka daripada Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib, bekas Timbalan Presiden parti itu, Nasharudin Mat Isa terus dipertahankan dan kali ini disuarakan oleh lebih ramai pemimpin Pas di seluruh negara.

Sokongan tersebut dizahirkan kerana Nasharudin yang juga Ahli Parlimen Bachok dilihat sebagai seorang pemimpin masa depan bagi parti itu dan mempunyai pengalaman luas berdasarkan pembabitannya dari usia muda dalam perjuangan parti.

Pesuruhjaya Pas Johor, Datuk Dr. Mahfodz Mohamed berkata, sejak berkecimpung di dalam bidang politik, Nasharudin telah memegang pelbagai jawatan penting iaitu daripada Setiausaha Agung Pas sehingga pernah dipilih sebagai Timbalan Presiden Pas dan itu menunjukkan kewibawaannya sebagai seorang pemimpin.

Sehubungan itu beliau berkata, berdasarkan rekod sememangnya kepimpinan serta pengalaman Nasharudin yang juga Ahli Parlimen Bachok masih diperlukan di dalam Pas.

''Saya sebenarnya yakin pada mesyuarat Ahli Majlis Syura Ulama Pas pada 9 September ini iaitu mereka tidak akan terikut-ikut dengan rentak pihak yang mahu mengetepikan Nasharudin.

''Dengan kata lain tiada keputusan drastik yang akan dibuat. Insya-Allah keputusan yang bakal diambil pada mesyuarat berkenaan lebih memberi manfaat kepada kedudukan Nasharudin dalam Pas,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan akhbar hari ini mengenai sokongan terbuka Harun terhadap Nasharudin yang selama ini kurang disenangi golongan 'Anwarinas' di dalam Pas.

Ia merupakan sokongan terbuka pertama yang diterima Nasharudin daripada pucuk pimpinan Pas selepas banyak pihak dalam parti itu termasuk Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sendiri mengambil pendirian seolah-olah Ahli Parlimen Bachok itu sudah tidak penting.

Mahfodz yang juga salah seorang Ahli Majlis Syura Ulama berkata, tidak dinafikan sekiranya keputusan drastik diambil, kemungkinan besar ia boleh memberi kesan negatif kepada parti lebih-lebih lagi dalam usaha Pas menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 akan datang.

Sementara itu, Ketua Dewan Ulama Pas negeri Selangor, Muhamad Zin Abdul Rahman berkata, semua pihak termasuk pemimpin parti itu tidak seharusnya menghukum Nasharudin tanpa memberi peluang kepada beliau terlebih dahulu memberi penjelasan kepada Majlis Syura Ulama Pas.

"Saya bukannya hendak kata yang saya sokong Ustaz Nasharudin atau tidak tetapi adalah tidak adil untuk kita menghukum beliau hanya berdasarkan apa yang kita lihat melalui media. Beliau juga berhak untuk mempertahankan diri dan menjelaskan apa yang berlaku kepada Majlis Syura Ulama Pas.

"Hanya selepas memberi penjelasan dan mempertahankan tindakannya itu, barulah Majlis Syura Ulama boleh menilai sama ada beliau bersalah atau sebaliknya," katanya

Ketua Dewan Pemuda Pas negeri Terengganu, Mohd. Nor Hamzah pula berkata, Nasharudin sangat relevan kepada perjuangan Pas kerana beliau merupakan anak didik bekas Presiden Pas, Allahyarham Datuk Fadzil Noor dan juga pemimpin Pemuda yang menjadi harapan perjuangan Pas.

"Dari segi rekod, Nasharudin memang sangat rapat dengan Allahyarham Datuk Fadzil Noor, malah beliau telah dibawa masuk dan dididik oleh arwah untuk menjadi pemimpin Pas. Harapan saya, dia sepatutnya boleh diberi ruang lagi kerana kelebihan yang dia ada.

"Masing-masing ada jasa dan setiap insan ada kelemahannya, begitu juga dengan Ustaz Nasharudin, setiap orang ada kelebihannya dan perjuangan Pas terbuka untuk sesiapa sahaja," katanya.

Dalam pada itu, Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas, Nik Zawawi Nik Salleh berkata, beliau bersetuju Nasharudin masih relevan kepada perjuangan Pas dan bekas Timbalan Presiden parti juga telah banyak memberi sumbangan dan buah fikiran.

"Pas tidak akan meminggirkan sesiapa, perkara ini terpulang kepada individu masing-masing yang sanggup berkhidmat,'' katanya.

No comments:

Post a Comment