Minda Hijrah Headline Animator

Tuesday, August 7, 2012

Hudud: DAP, Karpal tak faham Islam, kata Tuan Ibrahim


Perbalahan parti-parti Pakatan Rakyat semakin melebar apabila mereka saling berbalah berhubung hukum hudud yang mahu dilaksanakan oleh PAS.

Malah, kata Ketua Penerangan PAS Pusat Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, isu itu semakin tidak terkawal kerana DAP terutama, pengerusinya, Karpal Singh tidak memahami ajaran Islam.

"Mungkin beliau (Karpal) anggap ia di luar kewajiban (umat Islam), beliau tidak memahami sebab itu kita tengok tiada seorang Islam pun berani menolak hukum tuhan sebab menolak hukum tuhan bermakna menolak al-Quran dan boleh merosakkan akidah," katanya ketika dihubungi Antarapos.

Tegas Tuan Ibrahim, sebagai sebuah parti yang memperjuangkan dasar Islam, PAS perlu melaksanakan kewajiban di samping mentaati perintah Allah SWT termasuk melaksanakan hukum hudud.

"...kalau kita tak mampu nak buat kita tidak berdosa tapi kita kena berusaha untuk menunaikan kewajiban itu, mungkin beliau tidak memahami (hukum hudud) dari sudut kewajiban Islam.

"Kewajiban Islam tidak melampau kepada bukan Islam seperti puasa, sembahyang dan sebagainya," katanya.

Menurut beliau, DAP bimbang kehilangan sokongan pengundi bukan Melayu sekiranya hukum hudud terus dijadikan polemik menjelang pilihan raya umum ke-13 (PRU13).

Sebelum ini, Karpal dalam kenyataannya berkata, DAP tetap menentang pelaksanaan hukum hudud di negara ini biarpun mengakui Islam agama rasmi negara mengikut perlembagaan.

Malah beliau menegaskan bahawa kenyataan itu adalah pendirian DAP bukan pandangan peribadinya.

Kenyataan yang dikeluarkan Ahli Parlimen Bukit Gelugor ini dilihat bercanggah dengan pendirian yang dipegang oleh kepimpinan PAS yang berkeras untuk melaksanakan undang-undang Islam ini.

"Sebenarnya kalau lihat dan kita memahami dari sudut beberapa hak dalam beragama dan hak untuk mengamalkan agama masing-masing satu perkara yang dijamin di dalam perlembagaan dan apa yang penting bagi kita adalah memahami hak dan tanggungjawab agama serta tidak melampaui batas-batas yang dibenarkan perlembagaan.

"Muafakat dalam memahami tuntutan agama adalah sebahagian tanggungjawab kita kepada negara demi menjaga keharmonian negara. Sebagai seorang Islam kita ada kewajiban, mesti melaksanakan kewajiban, mentaati perintah Allah termasuk pelaksanaan hukum-hukum Allah...ini kewajiban orang Islam," kata Tuan Ibrahim.

Jelas beliau, PAS bukan mahu menimbulkan polemik dengan membangkitkan isu hukum hudud menegaskan ia adalah hukum Islam yang perlu dilaksanakan.

"Soal boleh buat atau tidak perkara yang subjektif, bagi kita bukan untuk menimbulkan polemik dan menjadikan isu sebaliknya kita cuba memahami hak dan tuntutan agama.

"Bagi PAS dan umat Islam melaksanakan hukum Allah adalah sebahagian daripada perintah kewajiban agama yang mesti difahami," katanya.

Tuan Ibrahim menambah pandangan keras Karpal itu mungkin kerana bimbang sokongan pengundi bukan Melayu terutamanya bangsa Cina terjejas pada PRU13 nanti.

1 comment:

  1. Tsk apa... Kalau PAS gagal laksana Hudud, hangpa masih masuk Syurga. Sekali dgn Karpal dan Peliwat Negara tu. Kan Nik Aziz dah janjikan Syurga utk org PAS? Apa yg nak sibuk Karpal faham atau tidak? Org BN dah lama tahu Karpal mmg x faham dan tak akan nak faham.
    RSO

    ReplyDelete