Minda Hijrah Headline Animator

Thursday, May 24, 2012

PAS,, UMNO dan filem Sangam

Pas dan Bollywood tidak boleh dicampur-adukkan. Justeru barang siapa melakukannya juga maka nescaya para sahibul samahah ulamak muktabar parti tersebut akan memfatwakan pihak terbabit sebagai lebih teruk daripada Amanat Hadi.

 

Sewaktu menulis kolum ini, terkenang saya zaman kanak-kanak tatkala hampir satu kampung orang menyanyikan lagu 'Suku Suku'.

 

Tapi 'suku' yang dimaksudkan itu bukanlah 'suku' sebagaimana dalam amanat Ayah Chik, nama timang-timangan Datuk Seri Hadi Awang dalam kalangan pengikutnya.

 

Apa pun, lagu 'Suku Suku' dari filem 'Junglee' lakonan ikon industri Bollywood Shammi Kapoor mendahului amanat Hadi di Kampung Banggol, Peradong, Kuala Terengganu pada 7 April 1981 itu selama hampir bertepatan 20 tahun.

 

Di Bombay (kini Mumbai), India, ketika berpasangan dengan aktres Saira Banoo untuk filem 'Junglee' tahun 1963, Shammi Kapoor baru berusia 30 tahun dan di Malaysia pula Hadi baru mencapai usia 14 tahun dan mula berjinak-jinak dengan Pas Cawangan Kampung Rusila, Terengganu.

 

Namun setahun kemudian, apabila filem 'Sangam' dibintangi seorang lagi Kapoor, iaitu Raj Kapoor, abang kepada Shammi Kapoor ditayangkan di pawagam di seluruh Malaysia, Haji Hadi sudahpun dikatakan memegang jawatan setiausaha cawangan Pas berkenaan.

 

Sudah tentu perjalanan hidup Hadi amat layak dibiografikan. Dia bukan calang-calang pemimpin politik. Andai kata Pakatan Rakyat memenangi PRU13, maka sudah semestinya Hadi akan ditabalkan sebagai Perdana Menteri.

 

Walaupun gelaran Yang Amat Berhormat itu pernah dipakai beliau sepenggal, tapi itu setakat menjadi MB Terengganu.

 

Kini, jawatan negeri Hadi dah tak main. Sudah ada desas-desus kuat mengatakan Hadi cuma akan bertanding kawasan Parlimen.Ramalan Hadi menjadi PM itu adalah sebagaimana diceritakan oleh si empunya ceritalah.

 

Tapi terdapat juga versi lain. Ramai juga pemerhati politik mengatakan sekiranya Pakatan Rakyat menang sekalipun, bukan semudah itu Hadi akan dinobatkan.

 

Ini kerana kisah Pakatan Rakyat adalah ibarat kisah dalam filem Bollywood Sangam.

 

Tragedi cinta tiga segi dalam Sangam berakhirnya dengan kematian watak utama Sundar (Raj Kapoor) sebagai pengorbanannya ke atas cinta dua watak lain.Apakah ia tidak mungkin terjadi kepada Hadi dalam konteks Pakatan Rakyat sekiranya mereka berjaya menguasai Putrajaya? Apakah Anwar Ibrahim yang sering termimpi-mimpi dan terigau-igau jawatan PM sanggup menjadi Sundar demi cintanya kepada Islam dan Hadi Awang?

 

Justeru senario Sangam, tidak boleh tidak, pasti akan berlaku. Tidaklah dapat dirumuskan dengan pasti mengapa Hadi, khususnya dan Pas amnya boleh berkompromi dengan sesiapa sahaja asalkan bukan Umno.

 

Sebagai parti yang cuba menonjol imej Islam dan mendakwa memperjuangkan hudud dan kerajaan Islam (kadangkala berdolak-dalik seperti didakwa Karpal Singh), Pas sepatutnya lebih ikhlas dari Umno dalam apa saja aspek.

 

 Bukankah Pas sering merasakan ia parti lebih Islam dari Umno? Kalau Pas merasakan Umno  tidak ikhlas dan "unislamik", ia harus menunjukkan contoh yang harus diikuti oleh Umno dan ahliahlinya.

 

Kalau dengan DAP yang anti-Islam ia bergelak-ketawa dan bersenda loka serta sanggup duduk semeja dan ikut bersama dalam perjuangan menjatuhkan Umno (dan BN), tidak ada sebab ia tidak patut berdamai dengan Umno.

 

Kalau dengan Anwar Ibrahim yang mempunyai hubungan yang tidak konsisten seperti permainan yoyo sejak 1970an lagi, Pas boleh dan sanggup bertolak ansur dan mengandaikan prinsip, masakan dengan Umno ia tidak boleh berbuat demikian.

 

 Soalnya mengapa ia tidak sanggup dan asyik berdolak-dalik? Isu muzakarah bukanlah baru bagi mana-mana pemimpin, sama ada dalam Pas mahupun dalam Umno.

 

Ia pernah dicadangkan  pada zaman Tunku lagi, namun seperti umum ketahui ia tidak menjadi kenyataan kerana kedua-duanya tidak ikhlas untuk berdamai, terutama Pas.

 

 Kuasa seperti kita semua faham sukar dikongsi kerana masing-masing ada agenda tersendiri. Harus diingatkan betapa kedua-dua parti ini pernah bekerjasama di peringkat negeri dan pusat tapi jodoh tidak panjang kerana sebab-sebab

tertentu.

 

Memang benar tidak mudah untuk bekerjasama jika ia melibatkan kuasa kerana keduadua parti berkenaan mempunyai pemimpin tertentu yang obses dengan kuasa.

 

Kini Datuk Nik Aziz Nik Mat, pemimpin Pas yang dianggap sebagai dalang kepada segala usaha muzakarah ini membuat pengumuman mengejutkan apabila tiba-tiba menunjukkan adanya ruang untuk berbuat demikian.

 

Malangnya, Hadi pula  yang bercakap tentang kerajaan perpaduan Pas-Umno tidak begitu lama dulu berkeras tidak mahukan muzakarah.

 

Nampaknya skrip Bollywood yang dimainkan oleh baik Nik Aziz mahupun Hadi mengatasi bukan sahaja Sangam, malah semua filem Hindustan yang pernah dibuat di semua studio di Mumbai. - oleh Yusof Harun, Sinar Harian

 

 

No comments:

Post a Comment