Pengerusi Bersama Bersih 2.0, Datuk S. Ambiga dan sembilan yang lain disaman oleh kerajaan - menuntut gantirugi RM122,000 ekoran perhimpunan Bersih 3.0 yang diadakan di ibu negara 28 April lalu.
Kesemua mereka menerima notis diminta agar hadir di mahkamah pada 13 Jun ini di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Prasad Sandosham Abraham bagi menghadapi kes saman menuntut gantirugi.
Ia tuntutan secara rasmi ke atas pihak penganjur perhimpunan itu setakat ini.
Salinan writ saman dan pernyataan tuntutan bertarikh 15 Mei 2012 diedarkan kepada media malam tadi oleh sekretariat Bersih 2.0.
"Sila ambil perhatian bahawa kes ini telah ditetapkan untuk sebutan pada 13 Jun 2012 jam 9 pagi di Kompleks Mahkamah
Selain Ambiga, lapan lain yang disenaraikan dalam tuntutan saman ialah Maria Chin Abdulah, Zaid Kamarudin, Haris Fathillah Mohamed, Arumugam Kalimuthu, Arul Prakkash Sinnapan, Wong Chin Huat, Dr Ahmad Farouk Musa, Toh Kin Woon dan Andrew Khoo.
Tuntutan saman itu mahu kesemua 10 responden itu membayar ganti rugi kerosakan harta benda yang berjumlah RM122,000.
"Tuntutan plaintif adalah untuk deklarasi dan kerugian yang ditanggung akibat tindakan defendan-defendan mengingkari tugas dan tanggungjawab statutori di bawah Seksyen 6(2)(g) Akta Perhimpunan Aman 2012 serta cuai menjalankan tanggungjawab mereka sehingga menyebabkan kerosakan harta benda plaintif. (Maka) plaintif menuntut gantirugi khas RM122,000," kata notis tuntutan yang difailkan di mahkamah pada 15 Mei lalu.
Tuntutan itu antara lain mendakwa perhimpunan Bersih 3.0 telah menyebabkan kerosakan ke atas kereta polis dan beberapa kenderaan lain.
Selain itu, notis tuntutan juga mendakwa pihak defendan telah cuai kerana membawa peserta-peserta perhimpunan yang terlalu ramai tetapi gagal untuk mewujudkan atau mengadakan kawalan yang efektif dan secukupnya, gagal mengambil langkah-langkah sewajarnya untuk memastikan perhimpunan tersebut berjalan dengan aman dan gagal melantik bilang orang yang perlu untuk bertanggungjawab bagi mengendalikan perhimpunan dengan teratur.
"Akibat daripada kegagalan dan atau tinggalan defendan-defendan, kenderaan-kenderaan milik plaintif telah mengalami kerosakan dan plaintif terpaksa menaggung kerugian yang telah ditaksirkan oleh Jabatan Kerja Raya," kata notis tuntutan itu lagi.
Perhimpunan Bersih 3.0 diadakan untuk menuntut pilihan raya bebas dan adil, dianjurkan di kawasan sekitar Dataran Merdeka selepas kebenaran menggunakan lokasi itu tidak diluluskan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan polis.
Sumber : Sinar Harian
No comments:
Post a Comment