Menurutnya, punca dan sumber maklumat lama blog Perakite sekadar cerita "April Fool."
"Sebenarnya, jika diperiksa punca dan sumber maklumat berkenaan datangnya daripada cerita 'April Fool'. Saya tidak ada bercakap sedemikian. Bukan saya yang cakap.
"Saya tidak ada apa-apa komen mengenai hal ini. Siapa yang percaya dengan laporan berkenaan bermakna sudah kena temberang," kata beliau kepada Sinar Harian ketika dihubungi di sini, semalam.
Wakil rakyat berusia 63 tahun ini berkata demikian ketika diminta mengulas laporan Perakite yang mendakwa beliau bersama 2,000 ahli Umno mengumumkan keluar parti itu untuk menyertai Pas, pada satu sidang akhbar.
Blog itu turut memuatkan satu gambar seolah-olah sidang media Shahrir, yang pertama kali bertanding dalam pilihan raya umum pada 1978. Adiknya, Khalid merupakan Ahli Parlimen Shah Alam dan Yang Dipertua Pas kawasan Shah Alam.
Seolah-olah Shahrir bercakap, blog itu memetik beliau berkata, 'tiada jalan lagi memperjuangkan agenda negara di dalam kerajaan sedia ada. Jangan lontar batu dari luar bagi membetulkan keadaan sudah tidak terpakai. Penyelesaian yang tepat ialah tukar dan bersama membina negara tercinta dengan idea dan kematangan."
Menurut laporan blog terbabit, berlaku kekacauan dipercayai dilakukan oleh ahli Umno yang ingin menggagalkan sidang akhbar berkenaan selain mendakwa empat individu termasuk seorang wartawan cedera dan dikejarkan ke hospital.
Shahrir juga didakwa mahu membuat 'roadshow' bermula di luar Johor sebelum memberi tumpuan di negeri itu secara habis-habisan menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
Selain itu, Perakite juga mendakwa Pakatan Rakyat (PR) akan bermesyuarat Jumaat ini untuk membincangkan keperluan meletakkan Ketua Umno Johor Bahru itu sebagai Menteri Besar tanpa mengira parti mana yang menang banyak sekiranya Barisan Nasional (BN) berjaya ditumbangkan pada PRU13.
Sementara itu, Pengerusi Biro Kebajkan Umno Johor Bahru, Faridah Mustafa berkata, laporan berkenaan satu gurauan keterlaluan daripada pihak tidak bertanggungjawab.
"Ia amat keterlaluan. Perkara seperti ini tidak boleh dibuat main-main. Ramai rakan dalam Umno yang menghubungi saya untuk mendapatkan pengesahan mengenai hal ini.
"Kami baru sahaja selesai bermesyuarat bersama semalam dan tidak timbul isu ini," katanya.
No comments:
Post a Comment