Minda Hijrah Headline Animator

Wednesday, April 25, 2012

BERSIH 3.0 : Perkahwinan Sejenis - Apa Pandangan Ambiga?

DALAM kekecohan adanya rakyat Malaysia bernama Ariff Alfian Rosli yang didakwa berkahwin dengan teman sejenis di Dublin, Ireland, timbul desas desus yang tidak enak berkaitan dengan Pakatan Rakyat lanjutan dari sokongan parti komponennya DAP kepada program Seksualiti Merdeka yang mempromosikan cara hidup yang sama.

 

Ini kerana sejak isu ini tersebar luas, sudah ada dikalangan rakyat yang mengaitkannya dengan kemungkinan bahawa amalan perkahwinan sejenis juga akan dibenarkan berlaku di Malaysia jika Pakatan Rakyat memerintah.  Selain DAP, kerjasama tidak rasmi yang wujud diantara penganjur utama program tersebut, Majlis Peguam dan penaungnya, Datuk Ambiga Sreevenasan dengan Pakatan Rakyat turut menguatkan desas desus yang timbul

 

Jika tidak ditangani dengan baik, penulis takut nanti berlakunya salah tanggap yang lebih besar kepada Pakatan Rakyat seterusnya menjejaskan sokongan dalam pilihanraya akan datang kerana Ambiga dan Majlis Peguam sering dikaitkan dengan Pakatan Rakyat seperti dalam hal penganjuran perhimpunan Bersih 2.0 pada bulan Julai.

 

Peliknya, Ambiga sendiri pun tidak pula mahu tampil memberikan penjelasan dalam hal ini.

 

Penulis akui perkahwinan sejenis ataupun hubungan sejenis ini memang dilarang secara tegas dalam Islam, tujuan penulisan hari ini bukan mahu mempertikaikan soal tersebut, jauh sekali menyokong perbuatan Ariff Alfin.

 

Tapi memandangkan rakyat negara ini bukan sahaja terdiri daripada orang Islam, malah orang bukan Islam juga, maka tidak hairan kenapa kekeliruan di atas timbul dikalangan masyarakat.

 

Program Seksualiti Merdeka mendedahkan masyarakat Malaysia dengan keperluan baru yang dulu seringkali dianggap taboo iaitu mengiktiraf dan menyediakan perlindungan sewajarnya kepada golongan ini daripada apa bentuk penindasan oleh masyarakat Malaysia yang kuat dengan pegangan konservatifnya.

 

Ambiga perlu menjelaskan kepada rakyat adakah 'pengiktirafan' dan 'perlindungan'  yang dimaksudkan itu termasuk membenarkan perkahwinan sejenis dikalangan golongan ini dilakukan di Malaysia?  Lebih lagi bila isu berkaitan Seksualiti Merdeka ini telah turut sama menyeret Pakatan Rakyat, dalam hal perbalahan dalaman yang timbul antara PAS dan DAP berhubung kewajaran penganjurannya.

 

Walaupun Datuk Seri Nazri Aziz telah menjelaskan kepada The Star hari ini yang kerajaan sekarang tidak sama sekali akan membenarkan perkahwinan sejenis dilangsungkan di negara ini atas dasar perlembagaan yang menetapkan Islam sebagai agama rasmi negara, tapi satu hakikat yang perlu difahami semua, tidak ada undang-undang sivil di Malaysia yang boleh menghalang perkara tersebut dari berlaku, jikapun ia mahu dilakukan.

 

Datuk M. Kaveas atas kapasiti sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 2005 telah memaklumkan kepada parlimen bahawa kerajaan tidak ada kuasa untuk menghalang perkahwinan sejenis di negara ini kerana tidak ada peruntukan sedemikian dalam perundangan sivil negara.

 

 

Ketiadaan peruntukan undang-undang dan kewajaran penganjuran program Seksualiti Merdeka yang dinaungi Ambiga serta Majlis Peguam, menjadikan masyarakat liberal negara ini berada kedudukkan yang keliru tentang apa yang dikatakan dengan mengiktiraf golongan LGBT ini?

 

Penulis boleh faham kenapa pemimpin-pemimpin kanan parti politik termasuk dari DAP tidak berani untuk mengulas isu ini kerana mereka terikat dengan kepentingan politik masing-masing tapi sebagai individu yang sering dikaitkan dengan Pakatan Rakyat tapi tidak memegang apa-apa jawatan dalam mana-mana parti komponen, pandangan Ambiga amatlah penting kerana lebih neutral dan kelihatan tidak berpihak.

 

Penulis juga menyambut baik kalau Majlis Peguam sudi turut serta bersama-sama dengan Datuk Ambiga menjelaskan kekeliruan yang timbul.

 

 

Pandangan Penulis yang dipetik dari Sumber - http://suarapakatanrakyat.com/2011/12/perkahwinan-sejenis-apa-pandangan-ambiga/

 

1 comment:

  1. Di mana cacatnya ajaran agama, sehinga tidak dapat sampai ke pengetahuan melayu yg bernama Ariff Alfian Rosli itu...huh...apa pula koment dari ibu bapa yg punya anak sedemikian rupa...siapa yg tahu kata2 kedua org tuanya...tlg dedahkan juga disini.....rasanya nak tahu juga apa kata kedua org tua dia...terima kasih.

    ReplyDelete