TIGA hari lepas, penulis sudah katakan bahawa tindakan Timbalan Presiden PKR, YB Azmin Ali mempertikaikan kos pembinaan pejabat Datuk Dr. Hasan Ali semasa masih menjadi Exco Selangor, adalah satu tindakan yang tidak kena pada masanya.
Justifikasi penulis ketika itu pendedahan itu (jika benar) hanya menggambarkan Pakatan Rakyat melindungi kesalahan pemimpin negeri semasa berkuasa dan mendedahkannya setelah pemimpin itu tidak lagi bersama Pakatan Rakyat.
Kebimbangan penulis itu ternyata berasas apabila Hasan Ali bukan setakat menjawab tuduhan yang dikenakan ke atasnya disini, jawapan itu pula mendapat sokongan Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim yang mengesahkan kos tinggi untuk membina pejabat Hasan Ali itu mengikut prosedur disini.
Semua ini membuktikan bahawa tuduhan Azmin itu dibuat secara 'mala-fide' bagi memburukkan Hasan Ali setelah dia disingkirkan dari barisan Exco Selangor dan sebagai ahli PAS sejak Januari.
Tidak setakat itu, tuduhan Azmin ini telah membuatkan Hasan Ali membuat dakwaan balas bahawa ada anggota Exco yang mengubahsuai pejabat masing-masing dengan kos yang jauh lebih tinggi dari pejabatnya. Kita sangka Hasan Ali paling tinggi, rupanya ada yang lebih tinggi.
Tak pasal-pasal kerajaan negeri dipaksa mendedahkan pula kos pembinaan pejabat anggota Exco yang lainnya bagi menyanggah dakwaan Hasan Ali.
Semua ini berlaku ketika tarikh pilihanraya semakin hampir.
Walaupun Hasan Ali ada membangkitkan dakwaan bersifat peribadi ke atas Azmin, tapi penulis tidak berminat untuk menyatakannya disini kerana penulis yakin Azmin mampu menjawab semua tuduhan itu, atau paling tidak menyaman semua mereka yang terbabit.
Yang penulis utamakan ialah kerajaan negeri. Seperti yang pernah penulis sebutkan dahulu, keutamaan sekarang ialah mempertahankan negeri-negeri yang kita menangi pada 2008 terutama sekali Selangor!!
Jadi amat penting untuk kesucian intergriti kerajaan Selangor dipertahankan sehingga ke akhirnya. Selangor perlu dipertahankan dan digambarkan sebagai negeri yang paling atas dari segi keterbukaan dan ketelusan serta bebas penyalahgunaan kuasa dan dana awam.
Kalau pun ada sebarang perkara yang tidak kena, ia patut dilaporkan kepada pihak berwajib, bukan menggalakkan perang mulut yang hanya merugikan Pakatan Rakyat.
Tidak keterlaluan penulis katakan, apa yang dilakukan Azmin ini telah menghancurkan semua usaha yang telah dilakukan kerajaan Pakatan Rakyat Selangor selama memerintah sejak tahun 2008.
Untuk menyelesaikan masalah ini dan mengelakkan polemik politik berpanjangan, penulis suka mencadangkan disini agar Azmin memohon maaf kepada Hasan Ali secara terbuka.
Penulis tidak nampak sebarang masalah, sebaliknya rakyat akan menghargai tindakan Azmin itu dan mengekalkan sokongan terhadapnya.
Mungkin ada bising sana sini terutama sekali di ruang siber yang tidak terbatas ini, tapi itu bukanlah satu masalah besar dan ia akan lenyap dengan sendirinya juga.
No comments:
Post a Comment