Minda Hijrah Headline Animator

Tuesday, January 10, 2012

Najib Razak gesa bersiap siaga hadapi Pembangkang !

Gesaan Perdana Menteri memang tepat pada masanya. Nampaknya jentera parti-parti pemerintah terutamanya UMNO sudah mula bergerak. Namun masih ramai pemimpin yang lena dibuai mimpi dek penangan mahu menjadi calon BN. Sedang menurut laporan dari rakan-rakan seluruh Malaysia bahawa jentera pembangkang sudah bergerak sejak tahun lepas lagi bagi menghasut rakyat.

 

Ambil contoh, UMNO Gombak dibawah kepimpinan Haji Rahim Kamarudin telah mula menyusun jenteranya di Peti Daerah Mengundi (PDM) di bawah parlimen Gombak sejak minggu lepas dalam usaha merampas kembali kerusi itu.

 

Hanya usaha keras dan tawakkal kepada Allah adalah ramuan terbaik untuk mencapai kejayaan. Lebih-lebih lagi selepas Anwar didapati tidak bersalah oleh Mahkamah Tinggi semalam. Akan berkokok lah dia di seluruh Malaysia bahawa ini adalah konspirasi kerajaan sedangkan keputusan hakim jelas tiada campurtangan kerajaan.

 

Ayuh bangkit dari lena !. Mula gerakkan jentera walaupun agak terlambat. Rakyat sedang berkira-kira untuk mengundi siapa.

 

 

'Siap siaga hadapi pembangkang'

 

Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan seluruh parti komponen Barisan Nasional (BN) supaya jangan sesekali memandang ringan soal persaingan dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) nanti susulan pakatan pembangkang begitu beria-ia 'cakap besar' mahu menumbangkan parti pemerintah itu.

 

Tegas Perdana Menteri, kerana itu BN mesti meningkatkan kesiapsiagaan dalam pelbagai aspek dan memberi tumpuan sepenuhnya soal itu supaya boleh memperoleh kemenangan besar seperti yang diharapkan.

 

"Kita lihat seperti biasa bila ada pertandingan seperti bola (sepak) dan badminton, masing-masing akan kata dapat atasi pihak lawan, jadi, bukanlah suatu yang aneh apabila parti-parti pembangkang mendakwa mereka ada kelebihan dan boleh takluki negeri tertentu.

 

"Masalahnya, kita tahu selepas pilihan raya umum 2008, dia (Anwar Ibrahim) kata akan tubuh kerajaan (pembangkang) pada September tahun itu tetapi kita tahu ia meleset sama sekali.

 

"Ini bukanlah satu kaedah kempen yang bersifat psikologi yang asing bagi kita tetapi kita jangan pandang ringan dan BN mesti meningkatkan kesiapsiagaan dalam pelbagai aspek," kata beliau.

 

Beliau berkata demikian kepada wartawan Malaysia selepas menerima kunjungan hormat Naib Presiden Kenya, Stephen Kalonzo Musyoka di sini semalam.

 

Najib yang juga Pengerusi BN ditanya mengenai kenyataan parti-parti pembangkang yang meramalkan mereka boleh memperoleh banyak kerusi di negeri tertentu pada PRU13 nanti.

 

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng ketika ditemubual oleh Sin Chew Daily baru-baru ini menyasarkan pembangkang boleh merampas Perak, meraih banyak kerusi di Negeri Sembilan serta menguasai satu pertiga kerusi di Johor.

 

Anwar pula menjangkakan pembangkang akan memperoleh kemenangan besar di Sabah iaitu negeri yang paling sukar ditembusi pembangkang setakat ini - Utusan Online.

 

 

 

No comments:

Post a Comment