Minda Hijrah Headline Animator

Tuesday, December 13, 2011

Tumpu pelabur tempatan - Dr. Mahathir

KUALA LUMPUR 12 Dis. - Kerajaan perlu mengehadkan pemberian pelbagai tawaran insentif dan inisiatif kepada pelabur asing, sebaliknya keutamaan itu perlu diberikan kepada pelabur tempatan.

 

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, strategi pemberian insentif kepada pelabur asing mesti diubah memandangkan sumbangan mereka tidak banyak berbanding insentif yang diperoleh.

 

Menurut beliau, sudah sampai masanya kerajaan memberi perhatian kepada pelabur tempatan bagi membolehkan mereka mengembangkan perniagaan.

 

Dengan bantuan itu, ia membuka peluang kepada para pelabur tempatan meningkatkan modal, menambah kemahiran dan teknologi supaya mereka mampu membesarkan perniagaan sedia ada.

 

Malah, dengan bantuan tersebut, pelabur tempatan boleh mewujudkan lebih banyak pekerjaan, menambah gaji kakitangan, meningkatkan produktiviti dan menambah eksport, katanya.

 

''Apa salahnya kerajaan memberi pelabur tempatan lebih banyak insentif termasuk pengurangan cukai.

 

''Sekurang-kurangnya dengan memberi tumpuan kepada pelabur domestik, mereka akan menyumbang semula keuntungan kepada negara.

 

''Pelabur asing sebenarnya tidak memberi banyak sumbangan pun kepada Malaysia, segala keuntungan yang mereka peroleh hasil insentif dan inisiatif yang diberi kerajaan dibawa keluar," katanya pada Forum Pelaburan 2011 anjuran MIDF Investment Bank Bhd..

 

Acara tahunan bank pelaburan itu disertai lebih 100 peserta yang terdiri daripada pengurus-pengurus dana tempatan.

 

Malah, tambah beliau, kebanyakan syarikat multi nasional di Malaysia juga hanya menggunakan perkhidmatan bank-bank asing yang diperbadankan di negara ini untuk keperluan pelaburan mereka.

 

''Ini jelas menunjukkan pelaburan asing tidak banyak membantu untuk memakmurkan ekonomi negara,'' ujar beliau.

 

Beliau mengakui dahulu Malaysia memang berusaha menarik penyertaan pelabur asing ke Malaysia tetapi ia bertujuan untuk mendapatkan kepakaran dalam teknologi.

 

Mengulas sama ada negara mampu mencapai status negara maju pada tahun 2020 dalam suasana ekonomi tidak menentu, Mahathir berkata, kerajaan perlu mengubah strategi daripada menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara berpendapatan tinggi kepada negara yang menghasilkan produk bernilai tinggi.

 

Mahathir berkata, matlamat untuk menjadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi hanya akan menyebabkan kenaikan kos.

 

Bagaimanapun, tambahnya, sekiranya strategi itu dibuat, Malaysia akan meningkatkan produktiviti, sekali gus mampu meningkatkan jualan barangan.

 

''Dengan ini, kakitangan akan memperoleh gaji yang lebih besar kerana produk yang dihasilkan dapat dijual pada harga lebih tinggi,'' ujarnya - UtusanOnline

No comments:

Post a Comment