Minda Hijrah Headline Animator

Wednesday, March 2, 2011

Tempoh bayar saman sudah lebih dari cukup

KUALA LUMPUR 1 Mac - Kaunter-kaunter pos yang sebelum ini sesak dengan kehadiran orang ramai yang mahu melunaskan saman kembali lengang setelah tempoh membayar saman yang diberi hingga semalam, berakhir.

Tinjauan Utusan Malaysia di beberapa pejabat pos di sini mendapati pelanggan tidak perlu lagi beratur panjang dan bersesak-sesak di dalam pejabat pos untuk melakukan sebarang urusan.

Seorang pelanggan, Mohd. Husin Abu Bakar, 39, berkata, tarikh yang diberi kepada pesalah lalu lintas untuk melunaskan saman selama ini sudah lebih daripada mencukupi dan tidak perlu dipanjangkan tempoh pembayaran tersebut.

"Tidak perlu ditambah tempoh pembayaran itu. Sepatutnya mereka yang disaman sedar kesan yang akan diterima sekiranya mereka menangguhkan pembayaran saman.

"Pada pandangan saya tempoh dua bulan yang diberi itu sudah mencukupi untuk melangsaikan saman," kata Mohd. Husin yang merupakan seorang peguam ketika ditemui di sini hari ini.

Tambahnya, orang ramai tidak harus mempersalahkan kerajaan yang selama ini telah memberi banyak peluang kepada mereka untuk melunaskan saman.

"Ia memudahkan semua pihak sekiranya pesalah lalu lintas segera melunaskan saman yang diterima. Buat-buat lupa bahawa mereka telah disaman itulah punca kepada masalah yang timbul ini," katanya.

Suri rumah, Hafizah Jusoh, 50, pula berkata, sikap sesetengah orang yang suka berlengah untuk melakukan sesuatu perkara menjadi punca kepada masalah yang dihadapi itu.

Katanya, jika selama ini masyarakat mempunyai kesedaran akan pentingnya melunaskan saman, sudah tentu tidak timbul masalah akibat kelewatan membayar saman tersebut.

"Biasalah orang kita, jika belum sampai saat terakhir jangan harap nak buat kerja. Sama juga dalam membayar saman, bila kerajaan umum mahu senarai hitam mereka yang tidak membayar saman baru berebut-rebut nak melangsaikannya.

"Ini merupakan pengajaran kepada orang ramai supaya tidak melengahkan lagi membayar saman yang diterima pada masa depan," katanya.

Seorang pelajar, Hong Tuck Cho, 21, berkata, walaupun kerajaan mahu menyenaraihitamkan pesalah lalu lintas yang tidak membayar saman sebagai sesuatu yang baik, dia berharap tempoh tersebut dilanjutkan.

"Tempoh tersebut harus dilanjutkan lagi kerana kita dapat lihat beberapa hari lepas orang ramai menyerbu pejabat pos dan balai polis untuk melunaskan saman.

"Saya yakin sekiranya dilanjutkan tempoh sekurang-kurangnya hingga minggu depan dapat meringankan beban orang ramai yang tidak sempat membayar saman semalam," ujarnya.
Dalam pada itu, Samad Busakan, 24, pekerja swasta berkata, tindakan pihak polis membuka kaunter pembayaran hingga tengah malam tidak berupaya menyelesaikan masalah yang dihadapi orang ramai.

"Kita bersyukur kaunter dibuka hingga tengah malam, tetapi diharap tempoh membayar saman dilanjutkan lagi supaya pesalah lalu lintas berpeluang melunaskan saman dengan segera," katanya.

2 comments:

  1. jangan zalim sangat. lagipun system down semalam. patutnya kerajaan boleh lanjutkan tempoh.

    ReplyDelete
  2. Saya pemandu jugak,kena saman saya bayar segera.Dah salah bayar je,ni nak tunggu diskaun la,potongan harga la,ingat jualan murah ke.Macam2 alasan nak bagi,tak cukup masa la,gaji tak keluar la,oversea la,tak tau la.Naaa....dah bagi tempoh 2 bulan pun tak boleh nak bayar.Baru padan dgn muka dah senaraihitamkan.Bukan salah kerajaan ke polis ke jpj ke,dbkl ke salahhhhh diri sendiri.

    ReplyDelete