Minda Hijrah Headline Animator

Thursday, March 3, 2011

PRK Kerdau : MB bidas pembangkang manipulasi bajet kerajaan Negeri


Menteri Besar berkata, pembangkang sudah kekeringan isu sehingga mendakwa kerajaan negeri sudah bankrap dan tidak mampu membela nasib rakyat.
ADNAN Yaakob (tengah) bersalaman dengan penduduk kampung di Dewan Sri Ketumbit, Temerloh, semalam.

Menurutnya, sejak beliau menerajui kerajaan negeri pada 1999, hanya dua kali Pahang mengalami bajet defisit manakala yang lain mencatatkan dua bajet berimbang dan enam kali lebihan hasil.

"Parti pembangkang tidak ada isu. Soal teguran Ketua Audit Negara adalah keseluruhan. Tidak melibatkan negeri ini sahaja.

"Kalau kerajaan negeri bankrap kenapa kita boleh berikan biasiswa kepada pelajar sekolah rendah sebanyak RM350 setahun dan sekolah menengah RM600 setahun," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas tindakan pembangkang yang memainkan isu kerajaan negeri bankrap dalam ceramahnya pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan (DUN) Kerdau di sini.

Adnan berkata, rakyat negeri ini khususnya di Kerdau tidak terpengaruh dengan kempen pembangkang itu kerana mereka bijak menilai dan memahami situasi yang berlaku di Pahang.

Menurut beliau, soal berhutang dengan Kerajaan Pusat tidak timbul kerana mana-mana negeri di negara ini turut berhutang termasuk yang ditadbir oleh pihak pembangkang.

"Isu itu tidak mempengaruhi rakyat dan kerajaan. Kalau rakyat terpengaruh sudah tentu kerajaan negeri ini tidak boleh mentadbir dengan berkesan," jelasnya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan, Barisan Nasional (BN) tidak menggunakan aset kerajaan dalam menjalankan kempen pada pilihan raya kecil tersebut.

Jelasnya, kempen yang dilaksanakan itu menggunakan kemudahan sendiri tanpa melibatkan mana-mana aset kerajaan yang terdapat di kawasan itu.

No comments:

Post a Comment