Minda Hijrah Headline Animator

Thursday, December 18, 2014

Bencana Banjir - Ismail Sabri Hulur Bantuan, BKMM Siap Sedia


1. Banjir adalah satu bencana kerana banyak kemusnahan boleh berlaku. Mangsa banjir kehilangan harta benda dan mengambil masa yang lama untuk pulih semula. Ada sebahagian kawasan banjir pula berlaku kerap setiap tahun, manakala ada kawasan yang mengalami banjir kilat yang mengakibatkan nilai kerosakan harta benda yang cukup tinggi kerana kurang persediaan menghadapi banjir. Maksudnya disini banjir adalah kesengsaraan dari segi harta dan diri.

2. Apa-apa pun Malaysia tetap bumi bertuah. Dimana ada kesengsaraan, di situ ada bantuan. Banyak pasukan sukarelawan ditubuhkan membantu mangsa banjir bagi menjalani kehidupan harian sehingga keadaan pulih kembali. Saya sendiri tidak pernah menghadapi banjir - syukur kepada Allah dan tidak pernah juga menjadi sukarelawan membantu mangsa banjir. Tetapi bersandarkan cerita dari rakan-rakan sukarelawan, ianya bukan sesuatu yang menyeronokkan. Banyak dugaan dan kepayahan dihadapi namun kepuasan hati menjadi bekalan bila pulang nanti. Semoga Allah memberkati usaha kalian. InsyaAllah saya akan menjadi sukarelawan satu hari nanti.

3. Saya dijemput untuk hadir ke Majlis Penyampaian Bantuan Banjir oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani di Putrajaya. Sebanyak 3000 kampit beras sumbangan BERNAS diserahkan oleh Menterinya DS Ismail Sabri Yaakob kepada sekumpulan Sukarelawan di bawah Pemuda UMNO Malaysia yang menggelarkan diri mereka sebagai Briged Kesatria Muda Malaysia (BKMM) yg sinonim dgn ketuanya, bro Armand Azha diwakili Timbalan Ketuanya, bro Razak Boss yang juga Ketua Pemuda UMNO bahagian Kepong. 

4. Menurut Razak Boss, bantuan ini akan diagihkan kepada Ketua Pemuda UMNO Negeri dan kemudian kepada Ketua Pemuda UMNO bahagian ke lokasi yang terjejas dengan banjir. Dan DS Ismail Sabri pula menyatakan bahawa bantuan kepada mangsa banjir melalui kementeriannya akan terus disalurkan dari semasa ke semasa sebagai bukti kerajaan yang bertanggungjawab menjaga kebajikan rakyat.

5. Usaha sukarelawan BKMM dan sumbangan kerajaan dan agensinya adalah suatu usaha murni. Sebenarnya banyak lagi bantuan- bantuan dari kerajaan cuma ada sahaja sebilangan kecil rakyat yang termakan hasutan pembangkang hanya tahu komplen keburukan kerajaan tanpa ada rasa syukur bahawa kerajaan Malaysia adalah kerajaan bertanggungjawab. 

6. Semoga usaha murni ini diberkati Allah. Terima kasih DS Ismail Sabri yang prihatin. Kepada sukarelawan BKMM, selamat bertugas. Semoga segala urusan bantuan banjir akan dipermudahkan oleh Allah.

No comments:

Post a Comment