Minda Hijrah Headline Animator

Tuesday, March 19, 2013

Dr Asri tidak tanding PRU13



Bekas Mufti Perlis, Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin mengesahkan beliau tidak akan bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

"Saya tidak bertanding. Saya mahu kekal dalam sempadan yang saya berada sekarang," katanya kepada Sinar Harian Online.

Sebelum ini, Asri yang juga pensyarah Universiti Sains Malaysia mengakui pernah ditemui oleh pemimpin kedua-dua Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR).

Mereka termasuklah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Pengerusi BN dan Ketua Umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Asri berkata, beliau mahu memainkan peranan sebagai golongan pemikir yang dapat menegur kerajaan yang memerintah.

"Kalau semua bertanding dan mengambil pendirian memihak mana-mana satu kumpulan, siapa yang akan menjadi kumpulan kritis," katanya lagi.

Lain pula di pihak Mufti Perlis Dr Juanda Jaya yang memberitahu Antarapos bahawa beliau 'sudah hampir' membuat keputusan bersabit pelawaan beberapa parti untuk beliau bertanding pada PRU13 akan datang.
 
"...dah hampir ada keputusan sebenarnya cuma kita lihat hari yang semakin hampir itu (tarikh PRU13)," kata Juanda ketika temubual ekslusif dengan Antarapos di kediamannya.
 
Juanda, 41, adalah lulusan Universiti Al-Azhar dan mempunyai Ijazah Sarjana Syariah dengan pengkhususan Penggubalan Undang-Undang Keluarga Islam Malaysia daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
 
Juanda yang sering kali muncul di stesen TV tempatan sejak akhir-akhir ini dilihat mempunyai pemikiran dan pandangan yang lebih cenderung kepada Pakatan.

"Status? Kita tunggu sehingga Parlimen dibubarkan, kita pun tidak tahu bila pilihan raya dan pada masa sama kedua-dua pihak sedang cuba mencipta manifesto yang paling baik.
 
"...dan sudah pasti dengan sistem demokrasi yang semakin difahami masyarakat pada hari ini sudah tentu kita mahu terlibat dengan pihak yang boleh membawa agenda perubahan yang terbaik dalam negara.
 
"Kita juga tahu sekarang ini kedua-dua pihak BN dan Pakatan Rakyat sudah sampai di tahap yang hampir sama kekuatannya, ini diakui kedua-dua pihak...ia bukan lagi rahsia atau pun propaganda yang dibuat-buat," kata anak kelahiran Sarawak ini.

No comments:

Post a Comment