Minda Hijrah Headline Animator

Thursday, January 3, 2013

Wira Negara Kanang Anak Langkau Meninggal Dunia, Diberi Penghormatan Negara Ahad Ini



KUCHING: Pahlawan negara, Datuk Temenggong Kanang Anak Langkau, meninggal dunia awal hari ini di Hospital Umum Sarawak.
Mendiang berusia 68 tahun.

Beliau meninggal dunia pada pukul 1.45 pagi, tidak lama selepas digegaskan ke hospital setelah pengsan di rumah akibat sesak nafas, kata balunya Datin Brawang Chunggat.

"Kami sekeluarga masih terkejut kerana beliau tidak pernah mengadu sakit dan memang kelihatan sihat walafiat,” katanya.

Kanang, yang bersara sebagai Pegawai Waran 1 daripada 8 Batalion Ranger, Angkatan Tentera Malaysia, merupakan soldadu tunggal yang menerima pingat Sri Pahlawan Gagah Perkasa (SP) iaitu pingat keberanian tertinggi negara, ketika masih hidup.
Mendiang Kanang Anak Langkau Diberikan Penghormatan Negara Ahad Ini
KUALA LUMPUR: Pahlawan negara, Datuk Temenggong Kanang Anak Langkau, yang meninggal dunia awal pagi ini, akan diberikan penghormatan negara apabila disemadikan di Sarawak, Ahad ini, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengarahkannya untuk melakukan persiapan bagi memberikan penghormatan kepada mendiang dengan kerajaan negeri yang akan turut menyelaras majlis penghormatan itu.

"Kami mengenang jasa-jasa Kanang Anak Langkau bukan sahaja kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tetapi juga kepada negara.

"Saya kehilangan seorang teman yang merupakan pahlawan yang menerima dua anugerah terbesar negara iaitu Pingat Seri Pahlawan Gagah Perkasa (SP) dan Pingat Gagah Berani (PGB)," katanya pada sidang akhbar selepas majlis Graduasi Maktab Pertahanan Angkatan Tentera (MPAT) di sini, hari ini.

Beliau berkata mendiang menerima kedua-dua pingat itu pada 3 Jun 1981. 


Katanya mendiang berkesempatan meriwayatkan perjuangannya melalui beberapa wawancara dan pengkisahan perjuangannya, namun filem yang bertajuk 'Kanang Anak Langkau' itu belum sempat disiapkan.

"Saya terkilan kerana filem tersebut belum sempat disiapkan. Bagaimanapun, saya akan meminta penerbit dan pengarah berkenaan agar menggunakan bahan-bahan penggambaran yang telah ada itu untuk disiapkan bagi dipertontonkan kepada khalayak umum.

Ahmad Zahid berkata jawatan terakhir mendiang semasa berkhidmat dengan ATM adalah Pegawai Waran 1.

"Mendiang semasa khidmatnya, telah menempuh beberapa pertempuran terutamanya di Perak. Oleh sebab itu pengkisahan beliau dilakukan sebagai mengenang jasa beliau untuk dijadikan contoh kepada pegawai-pegawai dan anggota tentera yang ada sekarang," katanya.

Kanang, 68, meninggal dunia di sebuah hospital umum di Kuching, Sarawak, akibat serangan jantung pukul 1.45 pagi ini.

Kanang adalah anak jati Sarawak, yang menjadi kebanggaan negara, kerana keberaniannya menentang komunis ketika bersama Angkatan Tentera Malaysia dari 1962 hingga 1983.
- Bernama

No comments:

Post a Comment